Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Sunday, April 30, 2023

NILUFER [EBOOK]





BAB 7


AMARAN yang Nilufar berikan pada Nuqman bagai angin yang lalu. Masuk telinga kanan dan keluar telinga kira. Malah semakin hari, dia rasakan Nuqman semakin gila talak. Ada saja panggilan masuk daripada lelaki itu dan dia memilih untuk biarkan saja panggilan itu tidak berjawab. Tiada kepentingan untuknya melayan panggilan itu.

Serabut memang serabut. Ingin saja dia tukar nombor lain tetapi memandangkan nombor ini juga yang digunakan untuk urusan kerja, maka dia tahankan saja. Ingin melihat sejauh mana Nuqman mampu bertahan.

Sedang Nilufar menanti Hazrel ke tandas, Laila tiba-tiba datang menyergahnya.

“Mana Nuqman?”

Berkerut dahi Nilufar dengan soalan Laila. Entah datang dari mana, tiba-tiba tanya pasal Nuqman pula. Laila ingat dia jaga tepi kain bekas suami? Tiada masa dan tidak berminat.

Di mana Nuqman? Manalah dia tahu. Lelaki itu bukan suaminya.

“Tak payah nak berkerut sangat dahi you tu, Nilufar! I tanya ni Nuqman mana?” soal Laila dengan nada yang kasar. Mencerlung matanya memandang Nilufar. Geram apabila wanita itu tidak menjawab pertanyaannya. Seperti dia tunggul pula di situ.

“Manalah I tahu Nuqman tu ke mana. Diakan suami you. Buat apa you tanya I? Dia bukannya suami I lagi.” Dia cuba menahan sabar yang masih berbaki memandangkan ini merupakan kawasan umum. Dan dia tidak suka diserang dan dituduh sebegini. Laila ingat dia tiada perasaan dan cuma patung?

“You bohong. I tahu Nuqman dengan you! Sekarang ni mana dia?” soal Laila lagi yang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan. Tidak percaya dengan kata-kata yang diberikan oleh Nilufar.

Sudah berapa hati suaminya tidak pulang ke rumah. Dia syak yang Nuqman dan Nilufar menjalin hubungan kembali dan kerana itulah suaminya tidak pulang. Bila ingatkan balik, rasa sebal hatinya.

Pergaduhan mereka tempoh hari gara-gara dia cemburukan bekas madunya. Dia menganggap yang suaminya masih cintakan wanita yang sedang berdiri di depannya ketika ini. Dan dia tidak akan biarkan perkara itu berlaku. Tidak akan sesekali!

Nilufar menarik nafas dan menghembus sedikit kasar. Cuba bersabar memandangkan Laila sengaja ingin menguji kesabarannya ketika ini. Dia tidak gila hendak menjilat ludah kembali.

“I tak tahu! Dan memang I tak tahu di mana suami kesayangan you, Puan Laila!” tekannya dengan nada yang geram. Nada suara masih lagi dikawal. Tidak mahu menarik perhatian orang ramai. Dan nasib baik sekarang ini dia berada di tempat yang agak tersorok. Jadi, tidaklah terlalu nampak yang dia dan Laila sedang bertikam lidah.

Matanya melilau mencari Hazrel. Lama pula mamat ni pergi tandas. Cepatlah. Dia dah tak tahan nak blah dari sini.

“You jangan nak bohong I, Nilufar. Sekarang ni you tengah tunggu dia kan?” tekan Laila lagi.

Ya Allah, minah ni memang tak faham bahasa betul! Baru saja dia ingin membuka mulut, suara Hazrel terlebih dahulu kedengaran. Dan panggilan Hazrel padanya buat dia ingin tercekik dan muntah hijau. Suka hati betul lelaki itu.

“Kenapa ni baby? You tunggu siapa baby? You ada janji dengan orang lain ke selain I, baby?” hebat betul lakonan Hazrel. Dia melihat Hazrel mengangkat kening menyoalnya kenapa Laila ada di sini.

“Dia cari suami kesayangan dia. Dan tuduh I sorokkan suami kesayangan dia, sayang. I dah cakap yang I tak tahu di mana suami kesayangan dia. Tapi dia paksa I mengaku juga.”

Sengaja dia mengadu domba pada Hazrel. Dah alang-alang Hazrel mulakan drama swasta, jadi apa salahnya dia turut berlakon bersama dalam dramanya ini. Manalah tahu dapat panggilan untuk berlakon. Ahaks!

Ketika itu muka Laila seakan berubah selepas dia memanggil Hazrel ‘sayang’. Malulah tu serangnya tanpa usul periksa. Padan muka! Dan sengaja dia senyum sinis memandang Laila. Rasakan! Suka sangat menuduhnya tanpa usul periksa.

“Puan Laila, untuk pengetahuan you, Nilufar tak pernah ambil tahu tentang Nuqman selepas mereka berpisah. Nuqman saja yang terhegeh-hegeh ingin rujuk balik dengan Nilufar. Nasihat I pada you, jaga suami you elok-elok Puan Laila. I yakin yang Nilufar tak akan kembali pada Nuqman tetapi tak mustahil perempuan lain akan rampas Nuqman daripada you. Sama macam you rampas Nuqman dari Nilufar dulu.”

Bersahaja Hazrel menuturkan kata-kata yang berunsur nasihat itu. Dia tidak suka melihat Nilufar diganggu oleh Nuqman mahupun Laila. Baginya kisah itu sudah tamat lama dan dia yakin yang Nilufar pun sudah tidak mahu bertemu dengan Nuqman. Dan tuduhan Laila itu sangat berat.

Pedas dan berapi kata-kata Hazrel. Merah padam muka Laila ketika itu. Sindiran pedas berapi daripada Hazrel mampu membuatkan muka Laila yang putih sudah berubah merah. Menahan marah atau malu, Nilufar tidak pasti. Tetapi muka itu seperti bengang kerana di sindir oleh Hazrel barangkali. Itulah, sebelum serangnya, pandang kiri kanan dulu. Jangan main serang saja.

“Clear, Laila? I tak pernah nak rampas Nuqman balik daripada you. Jangan risau. Cinta I pada Nuqman sudah lama mati. Sila jaga suami you elok-elok ya Puan Laila. Bak kata Hazrel, I memang dah tak berminat untuk kembali pada Nuqman tapi manalah tahu perempuan lain berminat.” Sengaja dia menambah bara api, biar Laila terbakar sendirian. Berharap yang Laila faham dan jelas bahawa dia memang sudah tiada hati pada Nuqman.

“Jom, sayang. Tiba-tiba selera I mati pula. Kita makan di tempat lainlah.” Pantas Nilufar melangkah pergi dari situ. Tanpa sedar dia masih memanggil Hazrel, sayang.

Dan Hazrel tanpa banyak soal mengikut langkah Nilufar dengan bibir yang tidak lekang dari senyuman. Bahagia hatinya kerana Nilufar memanggilnya ‘sayang’. Jika kerana bukan kemunculan Laila, jangan harap dia dapat mendengar perkataan itu daripada Nilufar. Bagus juga Laila muncul ketika ini. Kalau tak makan tengah hari pun, perutnya dah kenyang.

“Thanks, Haz sebab selamatkan I daripada mangsa cemburu buta si Laila tu,” ujar Nilufar setelah mereka berada jauh dari situ. Mencari restoran lain untuk makan tengah hari.

“No need to thank me, Luf. I pernah cakapkan yang I tak nak tengok orang lain lukakan you lagi. You berhak hidup bahagia, Luf.”

Balas Hazrel bersama senyumannya. Lesung pipit yang menghiasi pipi kanannya menambahkan lagi kekacakkannya. Senyuman Hazrel sungguh manis. Dia lakukan semua ini kerana dia masih sayangkan Nilufar dan tidak mahu wanita itu disakiti sekali lagi.

 Melihat senyuman Hazrel itu, teringat akan kisah dulu. Dia terpikat dengan Hazrel sebelum ini kerana senyuman lelaki itu yang baginya sangat menarik di matanya. Pernah suatu ketika dahulu dia meminta Hazrel untuk tidak senyuman sebegitu pada wanita lain kerana dia cembur. Dan sekarang, jantungnya berdetak kembali saat melihat senyuman itu.

Rasa apakah ini?

“I own you, Haz. Jadi, untuk makan tengah hari, I belanja you.” Beritahu Nilufar sebagai membalas pertolongan lelaki itu tadi. Harap-harap Hazrel tidak menolak.

“I...”

“No objection Haz. It's an order!” pantas dia memintas Hazrel daripada membuka mulut menolak pelawannya.

“I tak habis cakap lagi, baby. I terima offer you tu, Luf.”

Termalu sendiri dia dengan kata-katanya tadi. Ingatkan Hazrel ingin menolak tawaranya. Lain kali jangan gelojoh sangat, Nilufar.

“Jom baby. Perut I dah lapar ni.” Ajak Hazrel yang masih berdiri di sisi Nilufar. Sengaja hendak mengusik Nilufar kerana dia suka melihat wanita itu blushing.

Ah! Dada dia rasa sesuatu saat Hazrel memanggilnya ‘baby’. Janganlah dia jatuh cinta sekali lagi pada Hazrel kerana dia tidak mahu terluka lagi walaupun aura Hazrel ketika ini benar-benar buat jatungnya berdetak dengan hebat.

“Nilufar.” Panggil Hazrel apabila melihat wanita masih lagi mengelamun. Jauh betul Nilufar mengelamun. Adakah teringat akan kejadian tadi? Mungkin dia perlu beri amaran pada Nuqman dan Laila agar tidak menganggu Nilufar lagi.

“Ya. I'm coming.” Kali ini Nilufar pula mengikut jejak langkah Hazrel menuju ke restoran untuk makan tengah hari. Biar Hazrel pula yang memilih tempat makan tengah hari untuk hari ini.

Pulangnya dari melawat site dan juga makan tengah hari dengan Hazrel, Nilufar memilih untuk tidak masuk ofis lagi kerana fikirannya berserabut. Dia mengambil cuti separuh hari dan terus pulang ke rumah dengan harapan dapat tenangkan fikirannya yang berserabut. Fikirnya Nuqman ambil kisah akan kata-katanya tempoh hari tetapi bekas suaminya itu seakan tidak terkesan sedikitpun walaupun tahu yang dia bencikan lelaki itu. Kemunculan Nuqman tadi dan amaran yang diberikan oleh bekas suaminya itu membuatnya sesak nafas seketika.

Sewaktu Nilufar hendak melangkah masuk ke dalam kereta, tiba-tiba Nuqman muncul. Terkejut itu sememangnya. Dan dia rasa Nuqman seperti seorang psiko. Tiba-tiba datang padanya dan mempelawa makan tengah hari bersama.

“Lufa. Jom teman abang lunch. Abang belum makan lagi.”

Bersahaja nada Nuqman mengajak bekas isterinya untuk makan tengah hari bersama. Dia masih melayan Nilufar sama seperti wanita itu menjadi isterinya.

“I dah makan tadi dengan Hazrel. Dah kenyang.” Tolak Nilufar dengan lembut. Itu bukan alasan tetapi sememangnya perutnya sudah penuh. Dan juga dia tidak mahu duduk makan sekali dengan Nuqman walau lapar sekalipun.

“Siapa bagi izin you makan dengan Hazrel? Abang tak izinkan you makan tengah hari dengan Hazrel lagi! Abang tak suka. Sekali lagi abang tengok you keluar dengan Hazrel, tengoklah apa yang akan abang buat.” Tegas Nuqman. Mencerun matanya memandang Nilufar. Rasa sakit hati dan cemburu menjalar di seluruh hatinya. Tidak suka melihat wanita yang dia cinta keluar makan bersama dengan lelaki lain.

Berkerut dahi Nilufar dengan amaran tersebut. Sudah lupakah Nuqman yang lelaki itu sememangnya tidak berhak ke atas dirinya lagi? Tiba-tiba darahnya mendidih naik.

“Hei! You lupa ke yang you dah tak berhak ke atas I? Hak you dah lama hilang Nuqman. Hilang sejak you ceraikan I setahun yang lepas. Sedarlah! Yang kita dah setahun bercerai! Setahun! Bukan semalam!”

Kerana geram, suara Nilufar naik beroktaf. Nasib baik ketika ini hanya mereka berdua saja berada di tempat letak kereta yang lengang itu. Kalau ada orang pun dia tidak kisah. Rasa malunya hilang apabila mengadap manusia yang gila talak seperti Nuqman ini. Kalau boleh dia tidak mahu berjumpa bekas suaminya lagi.

“Abang akan pastikan yang abang akan dapat hak itu balik. No matter what happen, you tetap akan jadi milik abang, Lufa. Abang masih cinta dan sayangkan, Lufa.”

Pengakuan Nuqman buat Nilufar berang. Dasar lelaki gila talak! Waktu ada depan mata, cari yang lain. Bila sudah tiada, tahu pula mengaku sayang! Ingat dia nak percaya? Memang tidaklah!

“Boleh pergi mati dengan cinta dan sayang you pada I. Kalau you betul-betul cinta dan sayang pada I, you takkan mungkiri janji you pada I, Nuqman! You tak akan nikahi Laila kerana janji you pada dia! Sudahlah Nuqman. Move on! Sama seperti I lepaskan dan lupakan you daripada hidup I. You dah ada Laila. Buat apa you cari I lagi?” hambur Nilufar sepuas hati. Semakin dia bersabar, semakin Nuqman menguji dirinya.

Bukan dia tidak tahu yang Nuqman dalam diam mengekorinya kadang-kadang. Cuma dia buat tidak kisah kerana dia fikir tidak akan menjejaskan kehidupan hariannya. Jadi dia memilih untuk diamkan. Tidak mahu membuat laporan polis memandangkan setakat ini Nuqman tidak bertindak melampui batas.

“Lufa...please sayang. Abang betul-betul masih cinta dan sayangkan, Lufa. Kita rujuk kembali ya.” Rayu Nuqman mempamirkan wajah kesian. Dia cuba untuk memegang tangan Nilufar tetapi dengan pantas wanita itu mengelak.

“No, Nuqman! Dengar sini baik-baik apa yang I nak cakapkan. I dah lama lupakan you! I betul-betul move on! Rasa cinta I pada you dah lama hilang. Dah hilang Nuqman! Sikit pun tak ada yang tinggal. Semuanya you sudah bunuh dengan kecurangan you!”

Ujar Nilufar dengan sabar yang semakin menipis. Dia berharap sangat Nuqman faham kerana dia sudah penat untuk hadap semua ini. Sangat penat! 

“You tipu, Lufa! You tipu! You masih cintakan abang!” Nuqman tidak mahu terima akan kenyataan itu. Dia yakin yang bekas isterinya masih cintakannya. Kerana itulah baginya masih ada sinar harapan untuk dia dan Nilufar rujuk kembali.

“I akan dapatkan you kembali dengan apa jua caranya. Walaupun I terpaksa guna taktik kotor!” Ugutan Nuqman buat Nilufar rasa gentar. Jangan Nuqman kotakan kata-katanya itu sudahlah.

Taktik kotor? Apa rancangannya? Adakah dia sudah berasa tidak selamat?

“Luf, jauh termenung. Kenapa ni? Ada masalah ke?” suara Datin Fatimah menyentak lamunan Nilufar tentang kejadian tadi.

“Eh, mama. Mama tak pergi Tasty Bake ke hari ni?” soal Nilufar sedikit hairan apabila mamanya berada di rumah. Sedangkan hari-hari mamanya akan berada di Tasty Bake sampai ke petang.

“Mama baru balik. Papa minta mama temankan dia dinner meeting hari ni. Katanya ada klien dari Jepun.” Beritahu Datin Fatimah yang duduk di sebelah si anak. Jauh betul anaknya termenung.

“Oh. Baru Luf ingat yang papa ada mesyuarat dengan klien dari Jepun pukul 4 nanti. Kejap lagi sampailah tu papa.”

Tadi papanya ada bagitahu ada klien dari Jepun berminat untuk bekerjasama dengan syarikat mereka. Hampir saja terlupa gara-gara masalah yang membelenggu dirinya ketika ini. Nilufar mengukir senyuman buat mamanya. Cuba menutupi apa yang dia rasa ketika ini.

“Luf tak sihat ke?” soalan Datin Fatimah, dia jawab dengan gelengan. Duduk dibetulkan di atas sofa. Pandangan mama padanya seakan kurang menyenangkan.

“Nuqman kacau Luf lagi ke?” soalan mama buat dia terkedu seketika. Mama ni seakan tahu pula masalah yang dia hadapi sekarang ini.

“Tadi dia datang ganggu Luf lepas Luf lunch dengan Hazrel. Dia ajak Luf teman makan tengah hari.” Ceritanya tanpa menyelindung kejadian yang berlaku tadi. Jika hal yang berkaitan dengan Nuqman, memang dia tidak akan rahsiakan kerana tidak mahu mamanya tahu dari mulut orang lain.

“Berani dia tunjuk muka depan Luf lagi. Lepas ni Luf jangan keluar sendirian lagi. Nak pergi mana-mana kena berteman.” Pesan Datin Fatimah yang risau akan keselamatan si anak. Risau jika lelaki gila talak seperti Nuqman itu akan mencederakan anaknya.

“Mama, Luf okey. Jangan risau ya. Nuqman tak akan berani bertindak lebih.” Nilufar cuba menyedapkan hati Datin Fatimah kerana tidak mahu mamanya terlebih risau akan dirinya. Tidak mahu mamanya terlalu fikirkan masalah yang menimpa dirinya kerana dia risau darah tinggi naik nanti.

“Macam mana mama tak risau. Nuqman kacau Luf,”  ujar Datin Fatimah sambil memegang tangan si anak. Dia sangat risau dengan anak perempuannya ini selepas anaknya bercerai. Lagi-lagi hal Nuqman seringkali meniti pada bibir anaknya dan juga dari orang-orang terdekat denganya.

“Jangan risau. Luf pandai jaga diri.” Senyum Nilufar menutup rasa di hati. Dia tidak akan menceritakan tentang ugutan tersebut. Biarlah dia simpan sendiri. Dan dia berharap sangat Nuqman tidak lagi menganggunya. Dia sudah malas hendak mengadap muka lelaki tidak guna itu.

“Tadi Luf ada sebut pasal Hazrel. Dia dah balik ke?” soalan yang tidak terjangka dari mama sehingga dia tidak tahu hendak memberi jawapan apa. Dia tahu yang mamanya sangat berkenan dengan Hazrel sebelum ini.

Melihat Nilufar diam, Datin Fatimah menyeru nama si anak. “Luf...”

“Ya, mama. Hazrel sudah balik. Sekarang ini syarikat kita ada kerjasama dengan syarikatnya.” Jelas Nilufar pada mamanya. Harap-harap mamanya tidak bertanya lanjut tentang Hazrel. Dia tidak mahu bercekap tentang Hazrel buat masa sekarang.

“Baguslah.” Senyum Datin Fatimah penuh makna dan sangat misteri.

Berkerut dahiku dengan balasan mamanya. Rasa seram pula melihat senyuman yang terukir di bibir mamanya itu.

Bagus? Apa yang bagus? Menyemak dalam hidupnya saja. Sama seperti Nuqman.

Eh, betul ke Hazrel menyemak dalam hidupnya?



Tulusly,
Hezy Rose.

Friday, April 28, 2023

NILUFER [EBOOK]

 



BAB 6



PULANGNYA dari pejabat, Nilufar terus naik ke bilik. Ketika berselisih dengan Datin Fatimah, dia hanya menyapa dan terus berlalu dari situ. Tiada mood hendak bercakap dengan sesiapa. Kehadiran Nuqman pagi tadi benar-benar merosakkan moodnya. Banyak kerja yang tergendala gara-gara lelaki itu. Sebaik saja Nuqman pergi, dia terus keluar dari pejabat dan keluar tanpa tujuan. Serabut berada di sana.

Dan dia memandu tanpa arah tujuan sehinggalah terdengar azan dari masjid. Saat sujud padaNya, barulah hatinya terasa tenang dan nyaman. Tiada lagi rasa sakit yang ditinggalkan kerana ketika itu, yang ada hanya dirinya dan Allah.

Sungguh mujarab.

“Luf.” Suara Datin Fatimah kedengaran disertakan dengan ketukan pada pintu bilik tidur anak perempuannya itu.

Nilufar yang baru saja selesai solat maghrib, terkejut dengan ketukan pintu itu kerana mengelamun jauh tadi. Dia bangun untuk membuka pintu tersebut kerana tidak mahu mamanya menunggu lama.

“Ya, mama. Kejap.” Sebaik saja pintu bilik dibuka, terpapar wajah Datin Fatimah yang mengenakan abaya dan juga selendang. Seperti hendak keluar.

“Mama nak pergi mana ni?” berkerut dahi Nilufar melihat penampilan mamanya. Setahunya tiada majlis apa-apa malam ini. PAnya tiada mengingatkannya apa-apa.

“Mama dan papa nak keluar ni. Ada makan malam dengan klien dari New York.” Beritahu Datin Fatimah. Memandangkan tidak sempat hendak memberitahu sewaktu anaknya pulang tadi, dia ke bilik anaknya kerana tidak mahu Nilufar tercari-cari pula.

Tidak tahu pula yang papa ada makan malam dengan klien malam ni.

“Okay. Mama. Take care.” 

“Luf okey?” soalan Datin Fatimah buatkan Nilufar tidak tahu hendak memberi jawapan apa. Nak jawab baik, memang tidak baik sekarang. Nak jawab tidak baik, mama pasti risau.

“Entahlah mama.” Nilufar jungkit bahu. Sukar untuk dia jelaskan situasinya sekarang. Kehadiran Nuqman tadi buat dirinya ingin pergi jauh dari sini. Penat mengadap manusia yang tidak faham bahasa.

“Anything we talk later okay. I know you have problem. Mama dah lewat. Nanti papa bising pula.” Datin Fatimah meminta diri untuk berlalu. Suaminya sudah menunggu dia di dalam kereta.

Nilufar tunduk mencium tangan dan memeluk mamanya seketika. Rasa tenang.

“Pesan pada papa drive safe.” Pesannya lagi sebelum mama berlalu pergi dari situ.

Sebaik saja menutup pintu bilik, badan direbahkan di atas katil. Ingin merehatkan diri dan juga fikiran buat seketika. Terlalu banyak berfikir hari ini.

Deringan telefon menganggu lena Nilufar. Ternyata diaterlelap. Telefon yang terletak di tepi bantalnya dicapai memandangkan masih lagi berdering, nama pemanggil tertera pada skrin.

Hazrel?

Apa mamat ni mahukan? Sibuk saja.

Ikon hijau diseret dan telefon ditekapkan di telinga. Belum sempat dia hulurkan salam, Hazrel sudah memberi salam.

“Assalamualaikum.”

Suara Hazrel di hujung talian kendengaran.

Sebelum menjawab salam itu, suaranya dibetulkan terlebih dahulu kerana tidak mahu lelaki itu mengesan suaranya yang baru bangun daripada tidur.

“Waalaikumussalam, Hazrel. Hmmm...you nak apa?” 

“I nak you!” jawab Hazrel sambal gelak. Lucu barangkali.

“Serius boleh tak?” ujar Nilufar sedikit bengang. Suka sangat main-main dan jarang hendak serius.

“Nak gurau sikit pun tak boleh.” Jelas kedengaran ketawa Hazrel di hujung talian. Nilufar tidak berminat untuk melayan gurauan itu.

“Are you there?” soal Hazrel apabila Nilufar hanya diam. Gurauannya tidak lucu barangkali.

“Ya.”

“Esok you kena turun site sekali dengan I. Projek kita ada sedikit masalah.” Beritahu Hazrel. Bukan selalu dia minta Nilufar ke sana memandangkan anak buah wanita itu yang seringkali ke sana.

Nilufar menarik nafas. Kena turun site pula. Baru dia ingat nak rehat sekejap memandangkan kerja sudah berkurangan sedikit.

“Masalah apa?” Setahunya projek yang dibangunkan bersama Hazrel berjalan dengan lancar. Tiada masalah yang dilaporkan sebelum ini.

“Ada insiden berlaku dekat site petang tadi,” beritahu Hazrel pada Nilufar memandangkan wanita itu tidak dapat dihubungi sejak dari petang tadi. Nasib baik malam ini Nilufar menjawab panggilannya. Jika tidak, dia akan pergi ke rumah keluarga Nilufar.

Kenapa Nilufar tidak tahu akan hal itu? Tiada siapa yang bagitahu padanya. Atau sebab dia terlalu letak kepercayaan seratus peratus pada anak buahnya?

“Sorry. I tak tahu pun. Kenapa anak buah I tak ada inform apa-apa?” terasa dirinya ketua yang tidak berguna pula ketika ini.

“I rasa anak buah you dah cuba reach you tadi. Dan I pergi ofis you tadi, you tak ada.”

Nilufar mengetuk dahi dengan kealpaannya siang tadi. Kenapalah dia boleh campur adukkan masalah peribadi dengan kerja. Tak pasal-pasal kerjanya terjejas.

“I’m sorry. I keluar tadi.” Berharap sangat Hazrel tidak bertanya lanjut. Malas hendak menjawab setiap soalan yang keluar dari mulut lelaki itu.

“Nevermind, Luf. Yang penting esok you turun site sekali dengan I.”

Fuh! Nasib baik Hazrel memahami malam ini dan tidak membuka tazkirah panjangnya. Kalau tak, bersoal jawab juga dengan Hazrel.

“Okey, Hazrel. Kita jumpa esok.”

Perbualan ditamatkan. Nilufar turun dari katil dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat isyak memandangkan jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam. Sempatlah untuk dia menyiapkan kerja yang tergendala tadi dan prepare untuk esok.


Thursday, April 27, 2023

NILUFER [EBOOK]

 



BAB 5


SEMINGGU selepas makan malam, Hazrel sudah tidak lagi berkunjung ke pejabat Nilufar tanpa tujuan. Hazrel hanya akan muncul ketika mesyuarat penting tentang projek yang masih lagi belum siap. Jika tidak pasti wakil syarikat saja yang datang. Merajukkah Hazrel dengan penolakkannya tempoh hari? Tetapi melihatkan layanan Hazrel padanya, tiada yang berbeza. Masih sama.

Tiba-tiba rindu hendak bergaduh dengan Hazrel. Rindu hendak mendengar suara yang sengaja mencari pasal dengannya.

Ah! Kenapa dia perlu rasa begini? Bukankah dia sudah serik hendak menerima mana-mana lelaki dalam hidup lagi?

“Puan Nilufar, Encik Nuqman ingin berjumpa dengan puan.”

Terkejut Nilufar dengan kehadiran Nuqman di pejabat. Apa yang lelaki itu mahukan lagi daripadanya?

“Get him in.” Suruh Nilufar kerana sudah tidak mahu mengelak lagi daripada Nuqman. Rasa cinta pada Nuqman memang sudah tiada tetapi lebih kepada sakit hati. Dia tidak mampu untuk buang itu. Tidak mudah untuknya menyembuh luka di hati.

“Assalamualaikum, Lufa.”

Suara Nuqman menyapa halwa telinga Nilufar yang ralit memandang komputer. Dia mengangkat wajahnya dan menjawab salam yang dihulurkan oleh Nuqman.

“Waalaikumussalam. Silakan duduk, Encik Nuqman.” Nilufar bersikap professional. Tidak akan mencapur adukkan masalah peribadi dengan kerja.

“Ada apa you nak jumpa I?” terus Nilufar bertanya sebaik saja Nuqman melabuhkan duduk.

“Salah ke abang nak jumpa dan melawat tempat kerja bekas isteri sendiri.” Nuqman cuba meraih perhatian dan simpati daripada Nilufar.

Nafas ditarik. Menahan sabar sebelum membalas kata-kata Nuqman yang sangat dia tidak suka.

“Salah sebab I BEKAS isteri you. Bukan lagi isteri.” Sengaja Nilufar menekan perkataan bekas. Biar Nuqman faham apa yang dimaksudkan dengan bekas isteri supaya lelaki ini tidak lagi menganggunya selepas ini.

“You masih ada isteri di rumah. Dan I bukan lagi isteri you. Kita dah tiada apa-apa hubungan lagi, Encik Nuqman. I harap you faham.”

Nilufar cuba membuat Nuqman faham. Kalau boleh dia tidak mahu lagi berhubung dengan lelaki ini lagi. Sudah tidak mahu menatap wajah yang curang di belakangnya.

“Sayang...”

Stop it, Nuqman! Panggilan itu hanya layak buat isteri you. Bukan I.”

Jika dulu dia suka Nuqman memanggilnya dengan panggilan tersebut tetapi kini tidak lagi. Panggilan itu seakan nanah di hatinya dan bekas suaminya tidak layak untuk menggunakan panggilan tersebut. Tidak sedap di dengar di telinganya.

“Benci sangat Lufa pada abang ya.” Rintih Nuqman. Hatinya terluka dengan tingkah-laku bekas isterinya ketika ini. Jelas terpancar kebencian pada wajah Nilufar. Jika dulu Nilufar memandang wajahnya dengan penuh rasa cinta tetapi kini tidak lagi.

Wajah penuh simpati Nuqman sedikitpun tidak mengoyahkan hati Nilufar kerana dia sudah bertekad, tiada lagi peluang kedua buat Nuqman. Sebelum mereka berkahwin, sudah dia bagi amaran kepada Nuqman bahawa dia paling benci dengan orang yang curang tetapi lelaki itu tetap berbuat demikian.

“Ya. Memang I benci pada you! Sangat benci! You lupa yang I pernah nyatakan selepas kita bercerai yang I memang benci you! You tak ingat?” tekan Nilufar supaya lelaki itu jelas bahawa dia sangat benci dan tidak mahu Nuqman muncul di depannya lagi.

“Sehingga Lufa sanggup sembunyikan kenyataan yang Lufa pernah mengandung anak abang dulu?” soal Nuqman meminta penjelasan daripada Nilufar. Tidak sangka yang bekas isterinya pernah mengandung dan dia tidak pernah tahu tentang itu. Jika dia tahu, dia tidak akan meninggalkan bekas isterinya sendirian ketika itu.

Nilufar tidak terkejut andai Nuqman tahu kerana dia tahu lambat-laun pasti bekas suaminya akan tahu jua. Tidak daripadanya mungkin daripada orang yang mengetahui tentangnya.

“Baguslah kalau you tahu.” Balas Nilufar tanpa perasaan bersalah. Dan dia tidak berniat untuk tahu dari mana Nuqman tahu tentang kandungannya sebelum ini.

“Tapi abang berhak tahu, Lufa. Mungkin waktu tu kita dapat berbaik kembali dan selamatkan rumah tangga kita.”

Nuqman cuba meletakkan kesalahan itu ke atas bahu Nilufar. Ya, jika dia tahu pasti dia akan berkeras untuk pertahankan perkahwinannya ketika itu kerana sudah lama dia mahukan anak. Tapi sayang, nasi sudah menjadi bubur.

Berang Nilufar dengan kata-kata Nuqman. Selamatkan rumah tangga yang sudah hancur? Dalam mimpi belum tentu!

“Selamatkan rumah tangga yang sudah hancur? Memang tidak akan selamat lagi, Nuqman! You sendiri yang hancurkan rumah tangga kita dulu! You sendiri yang pilih untuk terus bersama dia hingga ke akhirnya Nuqman. Tiada apa yang perlu diselamatkan lagi. Semuanya sudah hancur!”

Wajah Nuqman sayu memandang bekas isterinya.

Dan Nilufar tidak terkesan langsung dengan riak wajahnya itu. Tiada lagi simpati untuk lelaki itu. Cukuplah luka yang Nuqman berikan padanya.

“Soal I mengandung, I memang sengaja sembunyikan daripada you kerana I yakin yang I mampu besarkan dia sendirian. I mampu berikan dia kasih sayang tetapi sayang, dia tidak sempat menjenguk dunia. Allah sayangkan dia. Mungkin ada hikmah disebalik semua itu.”

Jelas Nilufar panjang lebar. Lebih baik dia jujur daripada sembunyikan kebenaran. Dah alang-alang terbongkar, biarlah semuanya terbongkar. Selepas ini dia sudah tidak mahu lagi mengungkit tentang perkara itu lagi.

“Sampai hati sayang buat abang macam ni. Sayang memang kejam!” Rintih Nuqman sayu. Tidak puas hati apabila Nilufar mengambil tindakan sedemikian.

“Dan you sampai hati duakan I Nuqman! I ingat sampai bila-bila apa yang you dah buat pada I. You mungkiri janji-janji you kerana janji you pada Laila! Siapa yang kejam Nuqman? Siapa?”

Suara Nilufar naik seoktaf kerana sudah tidak mampu bersabar lagi dengan tuduhan Nuqman. Dia tidak akan lakukan semua itu jika Nuqman tidak menyakiti hatinya. Bukan dia hendak nafikan hak Nuqman ke atas anak itu tetapi ketika itu dia sangat sakit hati dengan apa yang berlaku.

You know what Nuqman, I bersyukur sangat bila Allah ambil anak I kerana dia tidak perlu hidup dalam keluarga yang berpecah-belah. Tak perlu hidup dalam kenyataan yang I bencikan bapanya. Dan tak perlu hidup dalam kenyataan yang bapanya telah sakiti hati ibunya. I bersyukur sangat Nuqman!”

Nilufar tahu kata-kata itu kejam pada Nuqman tetapi hatinya puas. Sangat puas dengan apa yang dituturkan. Dia tidak mampu untuk selindungi rasa sakit hati. Tujuh bulan dia menanggung sakit hati sendirian walaupun ketika itu Nuqman cuba berlaku adil. Tetapi dia tidak mampu terima kerana dia tidak mahu berkongsi. Dan dia rela mengundur diri.

Adil macam mana seorang suami jika dimadukan, isteri mana yang tidak terluka?

You changed, Lufa. Abang sudah tidak kenal dengan Nilufar yang sekarang. Di mana Nilufar yang dulu? Yang lemah-lembut dan penyayang.”

Bagi Nuqman, Nilufar yang dia kenal ketika ini bukan lagi Nilufar yang dia kenal dulu. Bekas isterinya benar-benar berubah dan menjadi seorang wanita yang keras kepala dan tidak mudah dipijak.

Sinis senyuman Nilufar dengan kata-kata Nuqman itu.

Dia berubah? Mungkin ya.

Yes. I’ve changed! Change for good! For my life supaya I tidak dipandang rendah oleh lelaki lagi! Dan untuk pengetahuan you, Nilufar yang dulu sudah mati. Mati saat you nyatakan you sudah berkahwin lain, Nuqman Bin Hamdan!”

Puas hatinya kerana dapat luahkan apa yang terpendam ketika ini. Rasa hormat pada Nuqman sudah tiada saat lelaki itu memilih untuk melukakan hatinya.

“Nilufar.”

“Keluar daripada bilik I Nuqman! Keluar dan jangan datang sini lagi. Jangan tunjuk muka you pada I. I benci you!” Hambur Nilufar cuba menahan sabar yang semakin menipis.

Nuqman tiada pilihan lain selain berlalu pergi dari situ saat melihat mata Nilufar tajam mencerlung kepadanya. Tidak pernah Nilufar memandangnya seperti ini sepanjang dia mengenal bekas isterinya itu. Dan lembutnya seorang Nilufar sudah tiada.


 


Wednesday, April 26, 2023

NILUFER [EBOOK]

 




BAB 4



MALAM ini, Nilufar menuju ke lokasi yang sudah dihantar oleh Hazrel tadi. Sebuah restoran mewah yang terletak di hadapannya ini dipandang lama. Kenapa Hazrel perlu bawa dia ke sini. Restoran yang meninggalkan kenangan manis antaranya dan Nuqman. Tetapi masih maniskah sekarang?

Tempat di mana Nuqman melamar dia menjadi isteri dulu. Ah! Lupakan semua itu Nilufar. Sama seperti Nuqman lupakan kau saat dia memilih untuk menikahi wanita lain.

Saat kakinya melangkah masuk ke dalam restoran, pelayan membawa Nilufar ke meja yang sudah di tempah oleh Hazrel. Terbuntang mata Nilufar saat melihat Hazrel sedang menunggunya di meja itu. Lelaki itu mengotakan katanya. Tidak lewat. Memang on time!

“Hi, Luf.” Lebar senyuman Hazrel sebaik saja melihat wajah Nilufar di situ. Nasib baik dia sampai di sini awal berbanding Nilufar. Jadi, tiada alasan untuk Nilufar menolaknya lagi.

“Hi, Hazrel. Awal you sampai.” Sengaja hendak memerli Hazrel. Nampaknya ada perubahan pada lelaki ini setelah lama kami tidak berjumpa.

“Mestilah. You juga yang ugut I tadi. I lambat seminit, means no dinner between us, right?” Nilufar menganggukkan kepala mengiakan kata-kata itu.

“Terima kasih, Luf sebab sudi makan malam dengan I malam ni walaupun I tahu you terpaksa.”

“Baguslah kalau you tahu I terpaksa.” Dah alang-alang Hazrel sebut, baik dia mengaku saja.

“You ni pun. Jagalah hati I sikit. Kecil hati I tau.”

Nilufar buat-buat tidak dengar akan luahan Hazrel itu. Dia memilih untuk membelek menu makanan. Perut sudah terasa lapar.

Sedang mereka berdua asyik melihat pelbagai jenis nama makanan di dalam menu itu, ada suara yang sudah lama Nilufar lupakan datang menyapa.

“Nilufar, Hazrel.”

Saat Nilufar mengangkat kepala, Nuqman dan Laila sedang berdiri di sisi meja kami. Wajah yang terkejut cepat-cepat dia sorok. Buat macam biasa. Seakan tidak terkesan dengan kehadiran dua manusia yang dia tidak mahu jumpa lagi kalau boleh. Dia cuba mengukir senyuman untuk menutupi rasa di hati.

Bukan rasa cemburu dan cinta tetapi dia masih tidak bersedia untuk bersemuka dengan pasangan itu. Saat melihat wajah Nuqman dan Laila, teringat akan dirinya yang dicurangi dan disakiti. Rasa sakit hati masih lagi bertapak di hati.

“Hi, Man and Laila, right?” ramah Hazrel menyapa mereka berdua. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Nuqman.

Manakala Nilufar memilih untuk mendiamkan diri. Cara Hazrel bertanya tentang Laila, seakan lelaki itu tidak pernah berjumpa dengan Laila.

“What are you doing here? Dinner?”

Soalan Nuqman tidak pasti dia tuju kepada siapa. Tetapi matanya tepat pada bekas isterinya.

“Yes. We are having dinner right now. Wanna join us?” pelawaan Hazrel itu buatkan Nilufar ingin ketuk kepala lelaki itu. Dia jengilkan mata pada Hazrel supaya lelaki itu menarik kembali kata-katanya itu tetapi Hazrel sengaja buat-buat tidak faham.

It’ okay. Kita orang baru saja lepas makan.” Penolakan Nuqman buat Nilufar tarik nafas lega. Nasib baik.

“Oh. Baiklah kalau macam tu.” Angguk Hazrel mengerti. Sengaja dia mempelawa Nuqman memandangkan lelaki itu juga merupakan teman baiknya. Rasa macam tidak enak pula membiarkan begitu saja walaupun dia tahu yang Nilufar kurang selesa.

 Dan Nilufar masih mendiamkan diri. Membiarkan Hazrel dan Nuqman berbual. Tidak pula dia menegur Laila kerana wanita inilah yang buat hidupnya kucar-kacir selama tujuh bulan. Bahagia dia direnggut pergi oleh wanita yang bernama Laila.

“Kami minta diri dulu.” Nuqman memandang wajah bekas isterinya buat kali terakhir sebelum melangkah pergi dari situ.

Saat melihat Nuqman dan Laila pergi, Nilufar menarik nafas lega. Nafasnya yang sesak beransur hilang sebaik saja pasangan itu hilang dari pandangan matanya.

“Are you okay, Luf?” soal Hazrel prihatin. Dia tahu yang Nilufar tidak selesa kerana wanita itu hanya diam saja. Nilufar yang dia kenal seorang yang banyak cakap.

“I’m okay, Hazrel.” Angguk Nilufar dengan senyuman yang terlakar di bibir. Tawar dan tiada seri. Ya, dia baik-baik saja.

“Sorry. I didn’t expect that they are here too.” Hazrel meminta maaf. Tidak sangka yang Nuqman akan muncul di sini.

Bagi Nilufar, tidak wajar Hazrel memohon maaf padanya sedangkan lelaki itu sendiri tidak tahu yang Nuqman dan Laila berada di sini.

“Nevermind, Hazrel. It’s unexpected, right?”

Melihat Hazrel menganggukkan kepala, Nilufar memanggil pelayan untuk memesan makanan. Selera yang tiba-tiba hilang datang kembali. Tidak mahu terus berbicara tentang perkara tersebut. Perutnya lagi penting.

“Sebenarnya, restoran ini tempat Nuqman lamar I jadi isterinya dulu.” Beritahu Nilufar tanpa Hazrel bertanya. Bukan hendak mengenang kisah lalu tetapi sebagai peringatan kepada Hazrel supaya tidak mengajaknya untuk makan di sini lagi untuk masa akan datang.

Terkejut Hazrel dengan kenyataan yang baru keluar dari mulut Nilufar. Dia tidak pernah tahu. Jika dia tahu, pasti dia akan mengajak Nilufar makan di restoran lain. Restoran ini merupakan restoran kegemaran ibunya, jadi sengaja dia mengajak Nilufar ke sini memandangkan makanan pun sedap dan berbaloi dengan harga.

“I minta maaf, Luf.” Pinta Hazrel sambil menatap wajah Nilufar yang kelihatan tidak terkesan apa-apa ketika memberitahu kisah lalu.

“You tak perlu minta maaf kerana you tak pernah tahu. I bagitahu you supaya akan datang, you tak bawa I ke sini lagi.” Jelas Nilufar. Dia baik-baik saja kerana hatinya sudah lupakan kisah yang lalu. Cuma apabila berada di sini, seakan membawa dia kembali kepada kisahnya dan Nuqman suatu ketika dahulu.

“Faham. Jadi, you sudilah ya untuk keluar makan dengan I lagi.” Giat Hazrel nakal.

“Mana ada. I tak cakap pun.” Sedar akan keterlanjuran kata-katanya, pantas Nilufar menafikan. Menutup malu. Kenapa dia seakan berharap Hazrel akan mengajaknya untuk keluar makan lagi.

“Tak mengapa, Luf. I faham.” Usik Hazrel dengan senyuman nakal terlakar di bibirnya.

By the way, you tak pernah jumpa dengan Laila ke sebelum ini?” Sengaja Nilufar menukar topik perbualan mereka kerana tidak mahu Hazrel terus mengusiknya.

“Tak.”

Melihat gelengan Hazrel, tepat sekali jangkaannya. Memang Hazrel tidak pernah bertemu Laila memandangkan Hazrel seakan kekok untuk menegur wanita itu dan juga tidak mengenali Laila.

“Bukan ke you dengan Nuqman kawan baik ke?” pelik apabila Hazrel tidak kenal Laila kerana tidak mungkin Nuqman tidak menceritakan apa-apa pada Hazrel. Ketika dia hendak berkahwin dengan Nuqman pun, Hazrel tahu.

We used to be a good friend, Luf. But after I know that he’s hurting you, I’m mad at him. Kami bergaduh kerana dia duakan you.”

Kenyataan Hazrel buat Nilufar terkejut. Tiba-tiba dia teringat ketika Nuqman pulang ke rumah dengan wajah yang lebam. Jadi, bekas suaminya bergaduh dengan Hazrel ketika itu.

“Sama macam you jugakan? You pun pernah lukakan hati I.”

Melihat perubahan wajah Hazrel, entah mengapa Nilufar rasa puas hati. Sudah lama dia ingin balas apa yang Hazrel lakukan padanya tetapi ketika itu dia seorang wanita yang lemah kerana cinta dan seorang lelaki. Sekarang ini, dia seorang Nilufar yang kuat.

Bukan dendam tetapi luka yang Hazrel tinggalkan sangat dalam sehinggalah Nuqman datang memberi salam perkenalan. Tika itu dia fikir Nuqmanlah penyelamat dan penyembuh kepada lukanya tetapi sama saja. Tiada beza dengan Hazrel. Dua-dua menyakiti dan melukai hati wanitanya.

“Tapi I tak pernah curang atau menduakan you, Luf.”

Tutur Hazrel dengan mata yang tidak lepas memandang wajah Nilufar yang sentiasa cantik pada pandangannya. Wanita yang dia cintai dari dulu sehingga sekarang. Cuma dulu, dia mengambil tindakan yang kurang bijak dengan meninggalkan Nilufar selepas berjanji dengan wanita itu untuk mengahwininya.

Kenyataan itu tidak mampu Nilufar nafikan.

Ya! Nilufar tahu. Hazrel tinggalkannya kerana memilih untuk mengejar cita-cita. Kata Hazrel, dia tidak bersedia untuk ada komitmen. Jadi, Hazrel memilih untuk memutuskan hubungan mereka kerana Hazrel tidak mahu Nilufar jadi penunggu setia.

“Tetap sama. Dua-dua melukakan hati I.” Kenyataan yang tidak mampu untuk Hazrel ubah.

“I tahu. Dan izinkan I jadi penyembuh untuk luka you itu. I nak bahagiakan you, Luf.” Pinta Hazrel penuh berharap. Dia mahu menjadi penyembuh luka untuk Nilufar. Merawat setiap luka yang ada. Dia rela.

Terkaku Nilufar dengan kata-kata Hazrel itu. Tidak sangka yang kata-kata itu akan keluar dari mulut lelaki itu. Selepas hubungan mereka putus, dia tidak pernah berharap yang Hazrel akan muncul kembali dalam hidupnya. Sinis senyuman Nilufar dengan kata-kata Hazrel itu.

You know what, Hazrel, I dah tak percayakan lelaki. Bagi I lelaki semua sama. Berjanji tetapi dimungkiri.”

“Habis tu, papa dan abang you, you pun tak percaya juga.” Tembakan Hazrel buat Nilufar terkedu seketika.

“Kecuali mereka Hazrel.” Sengaja Hazrel hendak menduga Nilufar.

“Dan you patut kecualikan I juga, Luf. I lelaki setia.”

Nilufar ingin ketawa dengan kata-kata Hazrel.

“Setia? Boleh percaya ke? Entah-entah you pun sama dengan Nuqman.”

Melihat gelengan Hazrel, lelaki itu tidak setuju dengan tuduhan Nilufar. Dia setia dengan Nilufar hingga ke hari ini. Bukan tidak cuba menerima wanita lain dalam hidupnya tetapi dia tidak mampu kerana tiada seorang wanita yang mampu gantikan nama Nilufar dalam hatinya.

“Ya. I lelaki setia. Enam tahun kita putus, ada I cari wanita lain dan jadikan sebagai kekasih dan isteri I, Luf?”

Kali ini Nilufar terdiam. Tidak mampu untuk menafikan lagi atau membantah apa yang dikatakan oleh Hazrel. Ya! Hazrel betul! Lelaki itu tidak pernah curang dengan Nilufar. Hazrel setia dengannya. Sabar menantinya walaupun pernah memungkiri janji itu. Tetapi dia saja yang tidak sabar menanti Hazrel selama enam tahun.

“Then give me a chance you to make you happy, Luf.”

Permintaan Hazrel berat sekali untuk Nilufar tunaikan. Dia tidak mampu! Kerana pintu hatinya sudah dia tutup rapat daripada dicerobohi lelaki lain.

“I don’t know, Hazrel.”

Hanya jawapan itu yang mampu Nilufar berikan pada Hazrel.

Take your time, Luf. I tak akan paksa. I faham apa yang you alami sangat menyakitkan you. Tapi I nak tengok you hidup bahagia, Luf. I tak mahu you tersakiti lagi.”

Nilufar dapat merasai keikhlasan dalam tutur kata Hazrel itu. Apatah lagi pandangan mata lelaki itu terhadapnya.

“I minta maaf dengan apa yang I pernah buat pada you dulu. I tahu you sangat terluka waktu itu. I pun sama-sama terluka tetapi waktu tu I tak matang lagi. I memilih untuk kejar cita-cita I daripada menunaikan janji I dengan you dan pertahankan cinta kita.”

Selepas enam tahun berlalu, baru hari ini Hazrel memohon maaf pada Nilufar. Ya! Malam ini. Selama enam tahun dia pergi tanpa sebarang permohonan maaf setelah melukai hati Nilufar. Meninggalkan Nilufar sendirian di sini tanpa kata-kata maaf.

“I dah maafkan you, Hazrel. I tahu you buat semua ini kerana cita-cita you. Minat you dan juga masa depan you. Dan sekarang I berbangga dengan kerana sudah mempunyai syarikat sendiri di usia yang muda.”

Sudah tiada dendam pada Hazrel. Nilufar sudah lepaskan semua apa yang berlaku antaranya dan Hazrel. Cuma saat melihat wajah lelaki itu, dia jadi sakit hati saat Hazrel melangkah pergi meninggalkannya tanpa sepatah kata. Tanpa berjumpa dengannya sebelum Hazrel berangkat ke luar negara.

“I dah tua Luf. Umur dah masuk 31 tahun. Dan I patut dah kahwin sekarang ini.” Ujar Hazrel memberi kiasan pada Nilufar. Berharap benar yang Nilufar faham akan maksudnya. Selepas mengetahui yang Nilufar bukan lagi isteri kepada Nuqman, dialah manusia yang paling gembira walaupun dia tahu tidak patut gembira di atas penderitaan orang lain. Tetapi dia tidak mampu sorokkan rasa itu kerana inilah peluang untuknya mendapatkan Nilufar kembali.

“Exactly. You should find someone to take care of you.”

Setuju Nilufar. Memang patut Hazrel mendirikan rumah tangga sekarang ini. Umur Hazrel dengannya jauh berbeza. Ketika mereka bercinta, waktu itu Hazrel sudah pun bekerja. Manakala dia masih lagi belajar.

“But I still want you. And I’m so sorry, Luf.”

Nilufar geleng kepala. Cukuplah sekali Hazrel memohon maaf. Hazrel sudah tiada salah lagi dengannya. Dia maafkan Hazrel!

Biarlah kisah lama terkubur selamanya. Mulai saat ini, dia lepaskan semuanya. Tidak mahu lagi hidup dalam bayangan yang lama.


Monday, April 24, 2023

NILUFER [EBOOK]

 





BAB 3


MEMANDANGKAN projek antara syarikat Nilufar dan Hazrel berjalan dengan lancar, mereka berdua tidak perlu berjumpa kerap-kali tetapi Hazrel kerap kali muncul di pejabat Nilufar. Suka-suki Hazrel menempel di pejabat Nilufar dan kadang-kadang membuat kerja di sana. Sudah puas Nilufar halau Hazrel pergi dari situ tetapi dengan muka tidak malu, Hazrel masih datang ke pejabat Nilufar. Lagi-lagi sekarang ini Nilufar sudah single kembali. Semakin seronok Hazrel melepak di pejabat wanita itu tanpa tujuan.

Dan hari ini pun sama. Hazrel muncul di depan pintu pejabat Nilufar lagi.

“You tak ada kerja ke Hazrel asyik menempel di sini saja? I rimas tahu tak!” Soal Nilufar yang geram dengan gaya Hazrel yang bersahaja itu. Sangat menyakitkan hati!

“Ada tapi kerja tu nanti-nanti boleh buat. Sekarang ni I takkan berganjak dari sini kalau you tak nak terima pelawaan makan malam I.”

Hazrel tetap Hazrel yang dulu. Suka memaksa. Selagi Nilufar tidak setuju, selagi itulah muka lelaki itu masih di sini.

Nilufar ingatkan Hazrel serik selepas hal tempoh hari apabila lelaki itu mengajaknya makan tengah hari bersama dan dia menolak mentah-mentah. Ternyata tidak. Kali ini makan malam pula. Boleh sakit jiwanya mengadap lelaki yang tidak faham bahasa melayu seperti Hazrel ni.

“You faham ke tidak yang I tak nak keluar dengan you!” tekan Nilufar. Berharap Hazrel faham. Dia nak buat kerja pun tidak senang apabila lelaki itu muncul di situ.

“I tak faham! Yang I nak, you keluar makan malam dengan I. Malam ni!” tegas Hazrel. Memaksa wanita yang anggun mengenakan pakaian kasual berwarna peach untuk keluar dengannya. Selagi Nilufar tidak setuju, selagi itulah dia akan terus mendesak supaya wanita itu berkata ‘ya’ pada akhirnya.

Suhu kemarahan Nilufar tiba-tiba mendadak naik. Saat ini dia rasa nak hambur saja si Hazrel ini. Masih tidak faham lagi rupanya.

Fine! I terima. Tapi kalau you lambat seminit, means no dinner between us tonight!

Mahu atau tidak, terpaksa dia bersetuju. Jika dia berkeras, Hazrel akan terus memaksanya. Dan dia tahu yang Hazrel jenis susah hendak menepati masa kerana itulah dia mengenakan syarat sebegitu. Masih dia ingat, sewaktu di universiti dulu, seringkali Hazrel lambat. Kadang-kadang dia merajuk disebabkan menunggu lelaki itu lama.

“Don’t worry, Luf. I will be on time. I jemput you.” Terpancar wajah gembira Hazrel sebaik saja Nilufar menerima pelawaannya. Bukan main lebar lagi senyumannya. Tidak perlu dia meminta pertolongan papa Nilufar untuk membuat wanita itu setuju.

No. I akan drive sendiri. You just send me location for tonight.” Tolak Nilufar kerana dia tidak mahu satu kereta dengan Hazrel. Dia bercadang hendak bertolak terus dari pejabat ke tempat makan malam. Malas hendak pulang ke rumah.

Okey.” Setuju Hazrel tanpa sebarang bantahan. Tidak mahu Nilufar menarik balik persetujuan tersebut.

“Kalau macam itu, I balik ke pejabat I dulu. See you tonight, Luf.”

Langkah Hazrel, Nilufar hantar dengan pandangan mata sehinggalah batang tubuh lelaki itu hilang disebalik pintu kayu pejabatnya. Bukan main gembira muka Hazrel. Dia juga yang sengsara.

Akhirnya, dia mampu menarik nafas lega. Perginya Hazrel, dia mampu membuat kerja dengan aman. Menyemak di ofisnya saja!