Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Sunday, March 29, 2020

MENGAPA AKU KAU LUKAI?






BAB 12
PADA hujung minggu itu, Aralyn membawa Adib keluar ke IOI City Mall kerana Aidan hendak berjumpa dengan Adib. Pada mulanya, Aidan ingin mengambil mereka tetapi lelaki itu ada kerja yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Jadi, Aralyn memandu menuju ke sana.
“Mana papa ni, ibu?” tanya Adib. Sudah masuk 10 minit mereka menuggu Aidan di Mc Donalds tetapi batang hidung lelaki itu tidak nampak. Sudah diberitahu, jika tidak dapat, hari lain boleh tetapi Aidan berdegil juga.
“Sabar ya, sayang. Kejap lagi papa sampai.” Aralyn menggosok kepala Adib yang duduk di sebelahnya.
“Sorry, sayang. Papa lambat.” Ujar Aidan sebaik saja duduk di atas kerusi, berhadapan dengan Adib.
“Adib ingatkan papa tak datang dah.” Muncung Adib. Merajuk dengan Aidan.
“Alaaa...sorry okay. Papa ada kerja tadi. Okay, Adib cakap saja nak apa. Papa belanja.” Aidan memujuk Adib. Biasanya taktiknya yang ini menjadi.
“Adib nak toys.” Beritahu Adib dengan gembira.
“Okay. Kejap lagi kita beli toys ya. Makan dulu.” Angguk Aidan. Selesai memujuk anaknya. Tidak susah. Tetapi memujuk ibu kepada anaknya agak susah.
Aralyn menggelengkan kepalanya. Itu saja yang Aidan tahu. Belikan mainan untuk Adib.
“You ni, manjakan sangat Adib.” Aralyn kurang berkenan apabila Aidan terlalu manjakan Adib. Kalau dengan dia, memang dia tidak akan ikut apa yang anak lelakinya minta.
“Biarlah. I manjakan dia puas-puas. Dah you jual mahal sangat.”
Kata-kata Aidan mendiamkan Aralyn. Tidak tahu hendak membalas apa.
“I tak cemburu pun. Manjalah kalau you nak manjakan Adib.” Ujar Aralyn sebelum memasukkan fries ke dalam mulutnya.
“Eh! Bila masa pula I cakap you cemburu. I tak cakap pun. Ke you memang cemburu dengan Adib?” Aidan senyum mengusik. Dan Aralyn malu-malu apabila terkantoi.
“Dahlah. Makan.” Ditolak makanan ke arah Aidan untuk menutup malunya.
“Aralyn...kita rujuk kembali. Please…” pinta Aidan tiba-tiba. Separuh merayu.
“Aidan... jawapan I tetap sama. I tak nak! Itu pun you tak faham ke?” sedikit kasar suara Aralyn.
Tergamam Aidan.
“Kalau you tak nak, cakap elok-elok tak boleh ke? Tak perlulah kasar macam ni.”
Suara Aidan seperti terasa hati dengannya. Aduhai! Aralyn. Apa kau dah buat ni.
“Dah siap makan sayang? Jom, kita pergi beli toys.” Tanya Aidan apabila melihat makanan Adib sudah habis.
“Dah, papa.” Angguk Adib gembira. Tidak sabar hendak memilih mainan.
“Kalau you nak jalan mana-mana, pergilah. Nanti bila I dah nak balik, I whatsapp you.” Suara Aidan itu seperti berjauh hati dengannya. Tidak sempat Aralyn berkata apa-apa, Aidan sudah berlalu pergi dengan Adib dari situ.
Keluhan dilepaskan perlahan. Salah dia. Itulah, waktu Aidan cakap elok-elok, dia tak hiraukan. Ni, bila Aidan buat tidak kisah tahu pula dia nak terasa hati. Cepat-cepat Aralyn menghabiskan makanannya dan mengejar langkah Aidan.
“Kereta mainan lagi.” Komen Aralyn pada Adib. Tak habis-habis mengumpul kereta mainan. Kali ini model lain pula.
“Papa tak marah pun.” Muncung Adib. Memandang papanya. Meminta si papa membelanya.
“Biarlah ibu tu. Dia cemburu sebab papa tak belikan dia hadiah. Dah, jom kita ke sana pula.” Aidan mengheret tangan Adib menuju ke bahagian lain pula. Ditinggalkan Aralyn sendirian di situ.
Nampaknya Aidan memang betul-betul memulaukan dia. Sengaja tidak mengajaknya untuk jalan bersama-sama. Susah betul bila orang tua merajuk!
Tetapi kenapa dia kisah bila Aidan merajuk? Ah! Kacau betul!
Setelah puas berjalan di IOI City Mall dan membeli barang-barang Adib, mereka pulang ke vila Tan Sri Kamil dan Puan Sri Maria. Aralyn turut ke sana kerana Puan Sri Maria, awal-awal lagi meninggalkan pesanan untuk dia. Kata Puan Sri Maria, ada perkara yang hendak dibincangkan.
“Dah sampai pun cucu tokmi.” Gembira Puan Sri Maria apabila melihat cucunya berada di depan mata. Walaupun hampir setiap hujung minggu Adib akan ke sini tetapi rindu pada si cucu tidak pernah pudar.
“Mami sihat.” Aralyn bersalam dan mencium tangan Puan Sri Maria.
“Alhamdulillah. Sihat. Kalau tak sihat, tak adalah mami duk berkebun.” Seloroh Puan Sri Maria. Aralyn ketawa dengan gurauan bekas ibu mentuanya.
“Jom duduk. Mami ada perkara nak bincang dengan Lyn.” Puan Sri Maria sudah menanggalkan sarung tangan yang dipakainya dan membasuh tangannya. Aralyn mengikut Puan Sri Maria untuk duduk di gabeza yang terletak di halaman itu.
“Mami nak bincang apa dengan Lyn?” tanya Aralyn sebaik saja mereka duduk di situ. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.
“Sebelum tu mami nak tanya, Lyn memang dah tak sayangkan Aidan ke?”
Soalan yang tidak terduga dari Puan Sri Maria membuatkan Aralyn terdiam seketika. Tidak tahu hendak menjawab apa. Terkejut pun ya juga.
“Lyn...” panggil Puan Sri Maria sambil menarik tangan Aralyn.
“Memang dah tak ada ke rasa sayang Lyn pada Aidan?” sekali lagi Puan Sri Maria mengulang soalan yang hampir sama.
Aralyn menarik nafasnya terlebih dahulu sebelum menjawab soalan Puan Sri Maria. Patutkah dia jujur?
“Ya. Lyn memang dah tak ada perasaan pada Aidan. Bagi Lyn, cinta Lyn pada Aidan sudah lama mati saat dia halau Lyn lima tahun lepas.” Beritahu Aralyn sebelum menyambung kata-katanya.
“Tetapi entahlah mami. Lyn sendiri keliru dengan perasaan Lyn sekarang ni. Jujur Lyn katakan yang Lyn memang dah lupakan Aidan sepenuhnya tetapi bila Lyn jumpa dia balik dan berada dekat dengan Aidan, Lyn rasa selamat. Lyn cuba untuk benci dia tetapi Lyn tak mampu mami.”
Luah Aralyn. Sudah lama dia simpan semua itu. Sejak dia bertemu dengan Aidan buat pertama kalinya selepas lima tahun mereka berpisah. Dan dia berharap Puan Sri Maria tidak memberitahu Aidan  tentang perasaannya ini.
Puan Sri Maria tersenyum mendengar luahan hati Aralyn.
“Rasa sayang Lyn pada Aidan masih sama. Dan mami yakin yang Lyn masih cintakan Aidan.” Puan Sri Maria menggosok tangan Aralyn. Dia berharap sangat Aidan dan Aralyn bersatu kembali.
“Entahlah mami. Lyn tak ada jawapannya.” Geleng Aralyn lemah. Dia sendiri keliru dengan perasaannya ketika ini.
“Tanya hati Lyn. Hanya hati Lyn yang boleh beri jawapannya.” Jari telunjuknya diletakkan di atas dada Aralyn.
“Mami ada satu permintaan.” Ujar Puan Sri Maria.
“Apa dia mami?” berdebar hatinya sebaik saja bekas ibu mentuanya membuat permintaan.
“Terima Aidan kembali. Adib perlukan papa dia dan Lyn juga perlu Aidan dalam hidup Lyn. Dan Aidan, dia perlukan Lyn dan Adib dalam hidupnya.”
Puan Sri Maria cuba untuk memujuk Aralyn. Dia tahu hati Aralyn lembut dan seorang yang pemaaf. Kalau tak, tak mungkin Aralyn membenarkan Aidan untuk bertemu Adib.
Terkedu Aralyn dengan permintaan Puan Sri Maria. Susah untuk dia menolak permintaan itu. Dia sendiri buntu saat ini.
“Beri Lyn masa mami.” Pinta Aralyn. Dia tidak menolak sama seperti pagi tadi. Sampai sekarang Aidan masih dingin dengan dia.
“Ambillah masa sebanyak mana Lyn nak tetapi jangan terlalu lama. Anak mami tu, bukan penyabar orangnya. Dibuatnya dia tunjuk perangai tak berakal dia, Lyn yang susah nanti.”
Pesan Puan Sri Maria. Dia kenal anak lelaki sulungnya itu. Kalau itu yang Aidan katakan, itulah yang anaknya akan lakukan. Lagi-lagi hal melibatkan Aralyn. Tiada kompromi. Bila Aidan kata, nak rujuk dengan Aralyn, pasti akan Aidan kotakan.
“Baik mami.” Angguk Aralyn.
Selesai sesi memujuk Aralyn. Puan Sri Maria berharap sangat keputusan Aralyn positif.
Dan selepas kejadian hari tu, Aidan tidak lagi mendesak Aralyn untuk kembali kepadanya. Jika jumpa pun, semata-mata urusan kerja. Tidak lagi mengajak Aralyn untuk makan tengah hari bersama dan tiada lagi panggilan ‘sayang’ menyapa di halwa telinga Aralyn.
Aidan masih dingin dengan Aralyn.
Manakala, Aralyn pula, boleh naik gila fikirkan perubahan Aidan. Kusut fikirannya. Dia pula yang tidak senang duduk dengan perubahan Aidan. Sudah tiga minggu berlalu, dan tiga minggu jugalah Aidan keluar dengan Adib tanpa mengajaknya.
Adakah Aidan sengaja mendera dan memulaukan dia?
Haih! Sakit kepala fikirkannya.
Ah! Kenapa dia perlu kisahkan semua itu? Dia perlu kentalkan hatinya bukan mudah terpedaya dengan rajuk Aidan. Huh!



HAMPIR SEMINGGU Aidan senyap tanpa khabar berita dan Aralyn pun tidak mengambil kisah. Lelaki itu sudah tidak mengejarnya lagi. Malah projek yang dikendalikan itu pun Aidan hanya hantar wakil ke syarikat Aralyn. Betul-betul sibuk atau tidak mahu bertemu dengannya, Aralyn sendiri tidak tahu.
“Miss Ara, ada orang bagi.” Diana menghulurkan bunga ros kepada Aralyn.
“Siapa yang bagi?” soal Aralyn. Tiba-tiba saja dia dapat bunga hari ini.
“Tak tahu. Tapi ada kad di situ.” Diana menggeleng tanda tidak tahu. Mungkin peminat bosnya.
“Okay. Thank you, Diana.” Ujar Aralyn seraya masuk ke dalam pejabatnya.
Dibelek kad tersebut. Tulisan itu seperti dia kenal dan nama yang tertera di kad itu membuatkan Aralyn hampir mengukir senyumannya. Tetapi cepat-cepat dia menyedarkan dirinya supaya tidak mudah terpujuk dengan cara Aidan. Bukan dia tidak tahu bahawa ini ialah taktik Aidan.
I minta maaf dengan apa yang berlaku minggu lepas.
Sepatutnya I tak paksa you. It’s okay, take your time okay, Lyn.
I takkan paksa you lagi.
This red roses special for you
Because you’re my flower in my life.

Your handsome man,
Aidan Syauqi.
Ah! Ternyata Aidan masih ingat akan bunga kegemarannya.
Jika dulu, Aidan selalu menghadiahkan dia sekuntum atau sejambak bunga ros yang pasti menyinari harinya. Dan jika dia merajuk, pasti Aidan akan menghadiahkannya sejambak bunga ros.
Kenapa dia perlu mengingati semua itu. Itu hanya kisah lalu yang dia sudah lupakan.
Aralyn meletak kad di atas meja. Bunga dialihkan ke tepi. Tidak mahu menyemakkan mejanya. Keluhan dilepaskan apabila memikirkan akan permintaan Puan Sri Maria.
Patutkah dia menerima Aidan kembali? Sangat untuknya membuat keputusan. Permintaan bekas ibu mentuanya sangat berat. Tetapi apabila dia fikirkan Adib, dia tidak mahu Adib membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Cukuplah dia saja yang merasainya.
Membesar tanpa kasih sayang seorang ayah sangat perit. Ayahnya meninggal sejak dia dalam perut ibunya lagi dan selepas itu, ibunya pula menyusul. Dan kerana itulah dia rela berkorban demi Adib.
Jika ditanya Adib, pasti anaknya mahu ada seorang papa. Malah, Adib semakin rapat dengan Aidan sekarang ini. Dia sangat buntu ketika ini.
Sekali lagi Aralyn mengeluh. Kenapa susah sangat dia hendak membuat keputusan?
Mungkin teman baiknya, Farah boleh membantunya. Baru saja Aralyn hendak menelefon Farah, kedengaran suara Diana melalui interkom.
“Miss Ara, our client already arrived.” Beritahu Diana.
“Alright. Bring them to the meeting room.”
Hampir saja Aralyn terlupa bahawa dia ada mesyuarat pada pagi itu. Aralyn mengambil dokumen penting untuk dibawa ke dalam mesyuaratnya. Lupakan seketika akan masalahnya itu. Fokus pada kerja lebih baik.

No comments:

Post a Comment

Thank You for your comment.

Love,
Hezy Rose.