Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Sunday, September 5, 2021

TAKDIR TEMUKAN KITA

 



BAB 1



PINTU kereta di tutup sebaik saja dia melangkah keluar dari perut kereta. Pantas Nuha menuju ke pintu masuk rumah milik keluarganya. Yang tinggal di rumah ini hanya ibu, dia dan dua orang bibik. Abang-abangnya menetap di rumah sendiri memandangkan masing-masing sudah berumah tangga.

Hampir setiap hari Nuha Sakeena pulang ke rumah lewat malam. Memandangkan tugasnya sebagai seorang doktor, jika ada kes kecemasan terpaksalah dia membatalkan hasratnya untuk pulang awal. Ya, bukan senang menjadi seorang doktor. Tetapi kerana minat, bagi Nuha Sakeena itu adalah perkara biasa baginya.

Walaupun ibunya membebel kerana dia masih tidak berkahwin lagi sehingga sekarang sedangkan kawan-kawan sebayanya sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak. Dia pula sibuk dengan kerja, kerja dan kerja.

Nuha malas hendak ambil pusing akan bebelan Puan Maisarah kerana baginya, jodoh itu di tangan Allah. Jika dia mencari sekalipun dan kalau jodohnya belum sampai lagi, dia tetap tidak akan berkahwin.

Dan dia tidak mahu bercinta kerana tidak mahu hatinya dilukai. Lebih baik dia fokus pada kerjayanya sebagai seorang doktor. Menolong merawat dan menyelamatkan nyawa-nyawa pesakit yang memerlukan khidmat kepakarannya.

“Lewat balik hari ini?” tegur Puan Maisarah yang masih lagi berada di ruang tamu. Menanti kepulangan si anak gadis. Memandangkan Nuha sering kali tiba di rumah ketika dia sudah pun masuk tidur, maka hari ini dia membuat keputusan untuk menunggu anaknya pulang.

“Ada kes kecemasan tadi, ibu. Macam biasalah.”

Balas Nuha dengan suara yang lemah. Tubuh badannya letih dan yang dia nampak hanya katil ketika ini. Apa yang ibunya bicarakan seakan angin yang lalu sekarang ini. Dalam kepalanya sudah terbayang tilam yang empuk di dalam bilik tidur.

“Ibu ada benda nak bincang dengan Nuha ni,” ujar Puan Maisarah. Dia faham yang anaknya letih tetapi baginya ini sajalah peluang yang dia ada. Bukan senang untuk bertemu dengan Nuha jika bukan waktu hujung minggu. Tetapi memandangkan hujung minggu ini dia perlu ke luar negara, jadi inilah masa yang sesuai untuk berbincang dengan anak gadisnya.

“Esok tak boleh ke ibu? Hujung minggu ni ke? Nuha letihlah.” Balas Nuha. Berharap ibunya faham.

“Ibu tahu Nuha letih tetapi hujung minggu ni ibu tiada di sini. Ibu outstation. Jadi ibu kena beritahu Nuha sekarang juga.”

Mahu atau tidak, terpaksalah Nuha duduk di atas sofa yang bertentangan dengan ibunya. Jika ibunya sanggup tunggu dia sehingga lewat malam, pasti ada perkara yang penting hendak disampaikan padanya.

“Perkara apa yang ibu nak bincang dengan Nuha?” soal Nuha malas-malas.

“Anak kawan ibu, Farizwan nak masuk meminang Nuha. Nuha kenalkan dia?”

Terkejut Nuha dengan berita yang disampaikan oleh ibunya. Mendadak hilang rasa letihnya. Segar terus badannya sebaik saja mendengar perkataan ‘meminang’ keluar dari mulut ibunya.

What? Lelaki tak guna tu nak meminang Nuha? Dah gila ke?”

Dia tidak suka dengan Farizwan. Bukan apa, lelaki itu buaya darat. Kekasih keliling pinggang dan tiba-tiba masuk meminangnya. Musykil dia. Sebelum ini mana pernah mereka rapat. Hanya bertegur sapa jika terserempak.

“Tak baik Nuha cakap macam itu. Apa salahnya kalau Fariz masuk meminang Nuha?” pelik dengan anaknya itu. Anti benar dengan Farizwan.

Nak kata tidak kacak, Farizwan kacak. Nak kata Farizwan miskin, lelaki itu bakal pewaris syarikat keluarga. Nak kata Farizwan sombong dan kaki pukul, tidak pula dia dengar berita tersebut. Dan setahunya Farizwan memang ada ramai kawan perempuan dan menurut kawan baiknya, Julia yang anak lelakinya hanya berkawan sahaja. Tidak lebih daripada itu.

“Salahlah ibu. Nuha tak suka dia. Ibu tahu tak yang dia tu kaki perempuan. Tak ingin Nuha nak jadi isteri dia.” Cebik Nuha. Tak kuasa dia nak jadi isteri lelaki itu dan selepas itu makan hati berulam jantung.

“Jangan benci sangat. Nanti suka, lepas tu jatuh cinta.” Usik Puan Maisarah.

“Ibu!” jerit Nuha. Geram dengan usikan si ibu. “Nuha tak naklah kat dia itu. Buaya darat,” sambung Nuha lagi. Jangan mulut ibunya masin sudah.

“Ibu gurau saja,” balas Puan Maisarah. Sengaja hendak menduga. Dia tidak akan memaksa. Cuma dia teringin sangat melihat Nuha mendirikan rumah tangga. Hanya Nuha saja yang belum lagi berumah tangga.

“Kira ibu tak jadikan nak terima si Fariz tu?” soal Nuha inginkan kepastian. Jangan ibunya buat keputusan atas dasar kawan baik sudah. Lepas itu tak fikirkan hati dan perasaannya, memang dia lari dari rumahlah.

“Ibu sebenarnya tak sampai hati nak kecewakan hati mama Fariz. Datin Julia tu baik orangnya.” Puan Maisarah cuba untuk memujuk si anak. Manalah tahu lembut hati Nuha nanti.

“Datin Julia memanglah baik tetapi anaknya tak baik macam mama dia.” Balas Nuha bersahaja. Ya, itulah hakikatnya.

“Ke Nuha dah ada yang berkenan di hati?” soal Puan Maisarah tiba-tiba. Anaknya Nuha ini banyak simpan rahsia. Dan bukan senang untuk anaknya berkongsi isi hati dengannya.

“Tak ada. Ibu pun tahu Nuha sibuk. Manalah ada masa nak cari kekasih hati,” balas Nuha. Tidak terfikir olehnya untuk berkahwin dalam masa terdekat. Dan dia lebih selesa untuk hidup sendiri.

“Kalau macam itu, terima sajalah Fariz. Apa susah,” balas Puan Maisarah lembut. Bukan nada memaksa. Dia tahu yang Nuha tidak berminat dengan Fariz dan dia juga tidak mahu memaksa anaknya untuk menerima Fariz. Kerana paksaan tidak semestinya menghadirkan rasa bahagia.

“Tak naklah, ibu.” Tolak Nuha bersungguh-sungguh. Berharap sangat ibunya faham.

“Kalau macam itu, cari seseorang sebelum raya tahun ini. Kalau raya nanti, Nuha tak ada calon lagi, ibu terima saja pinangan Datin Julia tu.”

Terkejut Nuha dengan permintaan si ibu. Tidak terkata dia buat seketika.

“Boleh ke tak?” soal Puan Maisarah inginkan jawapan apabila Nuha hanya diam dan memandangnya tidak berkelip. Tidak percaya dengan permintaannya barangkali.

“Nuha tak janji tetapi Insya-Allah, Nuha cuba.”

“Bagus. Sebelum raya ya. Senang sikit ibu nak buat majlis hari raya nanti,” ujar Puan Maisarah sebelum berlalu ke atas dengan senyuman manis. Bahagia apabila si anak bersetuju dengan permintaannya.

Sebelum raya? Puasa lagi sebulan. Mana dia nak cari calon suami sebelum raya?

Terkebil-kebil Nuha Sakeena di atas sofa di ruang tamu sendirian. Ah! Masalah betullah!

 

 

######

 

 

TAN SRI ARSYAD menanti ketibaan anak lelaki sulungnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang baru saja pulang dari United States. Itupun selepas puas dia memujuk satu-satunya anak lelaki dia untuk pulang ke Malaysia yang bekerja di sana.

Entah apalah yang seronok sangat kerja di US. Selepas tamat belajar, anaknya membuat keputusan untuk terus menetap di sana dan bekerja di sana. Dan sejak kesihatannya kurang membaik, dia memujuk untuk anaknya pulang ke Malaysia.

Bagi dia, anak lelakinya lebih sesuai menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berbanding calon yang lain. Dan bukan dia tidak tahu ada yang tidak amanah dalam syarikat tersebut. Malah perkara tersebut dalam siasatan tetapi sengaja dia tidak memberitahu sesiapa. Biarlah menjadi rahsia untuk sementara waktu.

“Walid.”

Tersenyum Tan Sri Arsyad sebaik saja melihat batang tubuh anak lelaki yang dirinduinya itu berdiri di depannya.

Ukasyah Al-Haq. Itulah satu-satunya anak lelakinya dan pewarisnya. Nak harapkan anak kembarnya, memang tidaklah kerana dua beradik itu sangatlah tidak berminat dengan bidang perniagaan.

“Walid sihat?” soal Ukasyah sambil memeluk si ayah erat selepas memberi salam.

“Alhamdulillah. Semakin sihat bila tengok anak lelaki walid ada depan mata,” ujar Tan Sri Arsyad dengan senyuman yang tidak lekang di bibirnya.

Tersenyum Ukasyah dengan kata-kata si ayah. Tahu sangat maksud ayahnya itu.

“Mana umi?” soal Ukasyah. Mencari kelibat si ratu hatinya. Syurganya.

“Ada di rumah. Walid minta umi kamu tunggu di rumah. Malas hendak tunggu umi kamu tu bersiap.”

Ketawa Ukasyah dengan kata-kata Tan Sri Arsyad. Faham benar yang uminya memang mengambil masa yang lama untuk bersiap.

“Jomlah walid. Kasyah dah rindu dengan rumah kita tu.” Tidak sabar hendak bertemu dengan uminya.

“Tahu pun rindu. Sebelum ini walid suruh balik terus tak nak. Nak juga kerja di sana.” Tan Sri Arsyad sudah ada ura-ura untuk membebel jadi lebih baik dia hentikan sebelum melarat. Tan Sri Arsyad jarang membebel, jadi bila dah membebel memang susah hendak berhenti.

“Kasyah dah balik ni kan. Takkan walid tak gembira lagi?”

“Yalah. Walid gembira sangat-sangat.” Tidak jadi hendak meneruskan bebelannya itu. Pandai Ukasyah memujuknya.

“Okey, jom.” Ditolak troli yang berisi bagasi-bagasinya menuju ke pintu keluar.

Home sweet home!

No comments:

Post a Comment

Thank You for your comment.

Love,
Hezy Rose.