BAB 3
SUDAH masuk dua minggu Ukasyah koma. Sepanjang dua minggu Nuha memantau lelaki yang bernama Ukasyah Al-Haq, dia berasa senang dan gembira apabila melihat ada perubahan pada pesakit. Dan dia berharap sangat yang pesakitnya akan sedar dari koma dalam waktu terdekat. Kesian dia melihat Puan Sri Azhara yang setia menemani si anak.
Begitu besar pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu kepada anak. Ukasyah Al-Haq sangat beruntung. Dan tidak sangka pula wanita yang dia panggil puan tempoh hari ialah seorang Puan Sri. Malu juga dia. Nasib baik Puan Sri Azhara jenis yang tidak kisah dengan gelaran tersebut.
“Awal doktor hari ini.” Tegur Puan Sri Azhara. Dua minggu menjaga si anak, dia sudah menjadi teman baik doktor yang bernama Nuha Sakeena.
“Sekejap lagi saya perlu masuk dewan bedah aunty. Sebab itulah saya datang awal sedikit.” Beritahu Nuha. Selepas menjadi teman baik Puan Sri Azhara, wanita tersebut meminta dia memanggil ‘aunty’ dan dia tiada alasan untuk menolak permintaan Puan Sri Azhara kerana wanita di hadapannya ini sangatlah mesra dan baik orangnya. Tidak sombong.
“Oh, patutlah. Macam mana dengan keadaan Kasyah hari ini?” soal Puan Sri Azhara selepas Nuha selesai memeriksa keadaan Ukasyah.
“Alhamdulillah. Ada perkembangan. Mungkin tidak lama lagi Encik Ukasyah akan sedar.” Beritahu Nuha. Dia gembira apabila pesakitnya menunjukkan perkembangan yang baik dan kesihatan lelaki itu semakin membaik hari ini.
“Alhamdulillah. Terima kasih doktor. Aunty gembira sangat. Harap-harap doa aunty di makbulkan.” Gembira Puan Sri Azhara dengan khabar tersebut.
“Ini semua kerja Allah, aunty. Saya hanya perantaraan. Saya bantu yang termampu,” ujar Nuha. Ya, ini semua kuasa Allah dan Allah berikan kelebihan kepadanya dalam bidang ini. Soal sembuh atau tidak, itu semua kehendak Allah. Bukan kehendak manusia.
“Ya, betul tu.” Setuju Puan Sri Azhara.
“Okeylah. Saya minta diri dulu ya, aunty.”
Puan Sri Azhara menghantar langkah Nuha dengan matanya sehinggalah doktor wanita itu hilang disebalik pintu yang tertutup. Suka dia melihat Nuha. Sangat lemah-lembut dan sopan dalam tutur bicaranya.
Hatinya sudah berkenang untuk jadikan Nuha menantu setelah dia tahu wanita itu masih lagi bujang. Dan jika Ukasyah setuju dengan cadangannya ini, sudah pasti dia akan masuk meminang Nuha terus.
“Hi, jauh betul berangan Puan Sri Azhara. Abang masuk pun tak perasan ya,” tegur Tan Sri Arsyad yang baru saja masuk ke dalam wad yang didiami Ukasyah.
“Eh, abang! Bila sampai? Tak perasan pula saya.” Sengih Puan Sri Azhara dengan teguran sang suami. Sibuk fikir hendak jodohkan Ukasyah dengan Nuha sehingga tidak perasan dengan kehadiran suaminya di situ.
“Baru saja. Mana nak perasan kalau awak tu mengelamun. Sampai ke mana dah? Paris atau New Zealand?” Geleng kepala Tan Sri Arsyad dengan telatah sang isteri.
“Abang ni.” Ditampar paha suaminya. Suka betul suaminya mengusik dia.
“Apa yang Ara fikirkan sampai termenung jauh?” soal Tan Sri Arsyad ingin tahu. Pasti ada sesuatu yang menganggu fikiran isterinya ketika ini.
“Abang rasakan, doktor Nuha tu sesuai ke tak dengan Kasyah?” sengih Puan Sri Azhara apabila melihat si suami sudah membuntangkan mata.
“Awak ni Ara...anak kita masih belum sedar dari koma tau. Awak dah sibuk nak jodohkan Kasyah dengan doktor Nuha tu. Entah-entah doktor Nuha tu isteri orang ke.” Geleng kepala Tan Sri Arsyad dengan si isteri. Ada saja idea isterinya itu. Bosan sangat agaknya setiap hari menunggu anak di sini.
“Doktor Nuha tu masih bujang lagi. Saya dah tanya dia hari tu.” Beritahu Puan Azhara. Tersengih.
“Tunggu Kasyah sedar dulu. Lepas tu barulah kita fikirkan soal ini. Kalau dah jodoh, takkan ke mana Puan Sri Azhara.” Balas Tan Sri Arsyad. Malas hendak memanjangkan isu ini. Risau akan bergaduh pula dengan isterinya nanti.
“Yalah.” Kalau dah itu keputusan suaminya, apa lagi yang hendak dia katakan. Sekurang-kurangnya suaminya tidak menolak atau membantah ideanya yang bernas itu.
Masih ada harapan untuk bermenantukan Nuha Sakeena.
“Oh, lupa nak cakap yang si kembar ada telefon abang tadi. Haura cakap dia nak balik sini.” Beritahu Tan Sri Arsyad.
“Sukanya saya. Selalu ada saja alasan si kembar tu bila saya suruh balik.” Bebel Puan Sri Azhara. Mungkin selepas tahu Ukasyah kemalangan, agaknya si kembar terus nak balik Malaysia.
“Awak ni...dah abang mereka terlantar atas katil tu mestilah diorang balik,” balas Tan Sri Arsyad.
“Ya. Saya tahu. Si kembar tu sayang benar dengan Kasyah. Dengan saya mereka tak sayang macam tu.” Bukan cemburu tetapi sengaja hendak mengadu pada sang suami. Sebenarnya dia suka dan senang hati apabila anak-anaknya mempunyai hubungan yang baik antara mereka.
“Dengan anak sendiri pun awak nak jeles. Tak mengapa, saya ada. Saya boleh beri kasih sayang pada awak.” Ujar Tan Sri Arsyad sebelum ketawa.
“Ish! Abang ni.” Ditampar lengan sang suami. Suka betul mengusiknya.
“Assalamualaikum...errr...maaf mengganggu. Boleh saya jumpa dengan Tan Sri sekejap.” Celah jururawat yang tiba-tiba muncul di situ.
“Waalaikumussalam.” Serentak Tan Sri Arsyad dan Puan Sri Azhara menjawab salam.
“Ya. Boleh-boleh.” Pantas Tan Sri Arsyad bangun mendekati jururawat tersebut yang berdiri di muka pintu wad.
Pantas jururawat itu melangkah keluar diikuti oleh Tan Sri Arsyad.
Manakala Puan Sri Azhara tertanya-tanya di situ. Pasti berkaitan dengan anak lelakinya. Harap-harap tiada apa-apa yang serius.
Ya Allah, kau sembuhkanlah anakku, Ukasyah Al-Haq.

No comments:
Post a Comment
Thank You for your comment.
Love,
Hezy Rose.