Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Sunday, September 5, 2021

TAKDIR TEMUKAN KITA


 

 

BAB 2

 

 

HARI ini, awal pagi lagi Nuha Sakeena tiba di hospital kerana semalam tidurnya kurang lena. Ini semua angkara ibunya yang buat permintaan pelik. Kalau dia tidak ikut permintaan itu, nanti kena kahwin dengan Farizwan. Memang tak naklah. Minta dijauhkan!

“Awal kau sampai hari ini. Shift kau lagi sejam,” tegur Laila. Merupakan rakan sejawatan Nuha Sakeena dan juga teman baiknya sewaktu belajar perubatan di Moscow dulu.

“Haah. Aku tak boleh tidur semalam,” balas Nuha. Dan dia pasti akan ada soalan yang bakal menyusul tidak lama lagi.

“Kenapa? Kau ada masalah ke? Takkan insomnia kut?”

Ha! Kan dia dah kata. Kenal sangat dengan Laila. Mana pernah bertanya sekerat jalan sahaja. Pasti akan ada sambungannya. Dan Lailalah tempat dia mengadu segala masalahnya.

“Ibu aku cakap Farizwan nak masuk meminang aku,” ujar Nuha malas-malas. Tiada hati hendak menyebut nama lelaki itu. Semangatnya pun hilang.

“Ha! Si mamat buaya darat tu? Habis kau terima ke?” terkejut Laila dengan berita yang disampaikan oleh Nuha. Arif benar dia dengan perangai Farizwan tu. Kaki perempuan.

“Kau gila ke? Memang taklah aku nak terima mamat tu. Kalau aku terima dia, maksudnya aku dah gila.”

Laila menarik nafas lega. Ingatkan teman baiknya setuju. Dan tidak lama selepas itu dia ketawa-ketawa.

“Apasal kau gelak? Aku tak buat lawak okey.” Bengang pula dia dengan si Laila ni. Orang serius, boleh pula pergi ketawa. Dahlah kepalanya dia sedang serabut sekarang ini.

“Memang tak lawak tetapi ayat kau tu yang lawak. Kau cakap, kalau kau terima dia, maknanya kau gila. Hmmm...aku harap-harap kau memang tak berubah fikiranlah ya. Bukan apa, risau kalau teman baik aku ni gila.”

Tidak dapat menahan ketawanya dengan ayat yang dituturnya, Laila ketawa lagi. Kali ini lebih kuat dari sebelum ini.

“Laila!” pen yang ada di atas meja diambil dan dilempar kepada Laila. Tepat mengena dahi temannya itu.

“Aduh!” Laila mengaduh kesakitan. Menggosok-gosok dahinya. Nasib baik tidak tercalar dahinya.

“Ha! Padan muka! Gelakkan aku lagi,” muncung Nuha. Sakit hati pula dengan ketawa si Laila.

“Yalah. Aku minta maaf. Saja nak mengusik kau. Aku tak sukalah tengok kau tak ada semangat macam ni. Nanti pesakit semakin sakit bila tengok kau macam ni,” ujar Laila.

Dia paling tak suka apabila melihat wajah moyok Nuha. Dia lebih suka melihat Nuha mengukirkan senyuman manisnya kerana itulah senjata seorang Nuha Sakeena.

Senyumannya sangat manis. Kalau dia seorang lelaki, memang sudah lama dia terpikat.

“Aku senyum.” Senyuman paksa diukir. Terasa tawar pula senyuman itu.

“Tak macam biasa.” Komen Laila.

“Tak kuasa aku nak senyum macam biasa. Jomlah teman aku pergi cari breakfast sekejap. Tadi tak sempat nak sarapan.”

Nuha bangun berdiri. Mengambil telefon dan pursenya di dalam beg tangan sebelum menyimpan beg tangannya di dalam laci.

“Patutlah moyok saja. Tak jumpa makanan lagi,” ujar Laila. Kenal sangat dengan perangai Nuha Sakeena yang satu ini. Tidak kiralah ada masalah atau sedang sedih, pasti Nuha tetap akan mencari makanan. Katanya, perut perlu diisi walaupun masalah besar sedang menanti.

Sebaik saja selesai punch card, Nuha melangkah keluar dari hospital dan menuju ke tempat letak kereta. Hari ini dia dapat pulang awal memandangkan tiada kes kecemasan. Lega apabila dia masih boleh melihat matahari. Biasanya, jangan harap dia dapat melihat ciptaan Allah tersebut.

Jalan sesak seperti biasa. Nuha hanya mampu menarik nafas dan menyabarkan diri. Keluar awal pun tetap akan sampai lewat di rumah. Tiada beza.

Bum!

Sedang leka dia melayan lagu yang berkumandang di corong radio, tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman yang kuat datang dari arah depan. Dan di depan matanya, sebuah motorsikal berkuasa tinggi bertembung dengan kereta yang keluar secara tiba-tiba dari simpan dan penunggang motorsikal tersebut tercampak lalu jatuh di atas jalan raya. Nasib baik kereta di depannya sempat brek.

Dengan pantas Nuha memberi signal ke kiri dan memberhentikan keretanya di tepi jalan. Bergegas Nuha keluar dari kereta selepas dia mematikan enjin kereta. Orang ramai sudah mengelilingi tempat kejadian tersebut.

“Minta laluan.” Terpaksa Nuha menguatkan suaranya sedikit memandangkan riuh dengan suara orang di situ yang cuba membantu mangsa kemalangan tersebut.

Nuha menghampiri penunggang motorsikal yang terbaring kaku di atas jalan raya. Dia memeriksa mangsa tersebut. Sempat dia menghubungi ambulans tadi. Mungkin sudah biasa dengan situasi sebegini, jadi perkara pertama yang terlintas di fikirannya ialah membuat panggilan kecemasan.

“Betul ke cik ni doktor?” soal satu suara dari arah kirinya.

“Ya, saya doktor. Encik jangan risau. Sekejap lagi ambulans akan sampai.” Balas Nuha. Biarlah orang lain tidak percaya yang dia doktor tetapi dia cuba untuk laksanakan tugasnya sebagai seorang doktor.

Dengan perlahan-lahan dia menanggalkan helmet yang melekat di kepala selepas dia memeriksa keadaan mangsa tersebut.

Lelaki.

‘Memanglah lelaki. Jarang orang perempuan menunggang motorsikal berkuasa tinggi. Tengok bentuk tubuh pun kau dah boleh agak, Nuha.’ Bisik Nuha di dalam hati.

‘Ya Allah, kacaknya.’

Sedar Nuha! Kau doktor. Jangan nak merenyam. Nyawa lelaki ini menjadi keutamaan.

Tidak lama kemudian kedengaran siren ambulans. Nuha memberi laluan kepada anggota perubatan untuk mengangkat mangsa tersebut.

“Denyutan nadi dia lemah.” beritahu Nuha kepada pembantu pegawai perubatan.

“Baik, doktor.” Penunggang motorsikal tersebut di tolak masuk ke dalam ambulans.

“Doktor Nuha ikut kami?” soal pembantu pegawai perubatan.

“Saya akan follow dari belakang dengan kereta saya.” Ujar Nuha dan pantas kembali ke keretanya. Dia terus mengekori ambulans dari belakang.

Sebaik saja tiba di hospital, Nuha pantas menuju ke ruangan kecemasan. Nampaknya niat dia untuk balik awal dan sampai awal di rumah terpaksa dibatalkan. Ada perkara yang lebih penting untuk dia sekarang.

Selamatkan nyawa orang!

 

#####

 

 

SEBAIK saja mendapat panggilan telefon daripada pihak polis, Tan Sri Arsyad dan Puan Sri Azhara dengan pantas menuju ke hospital. Terkejut apabila mendapat tahu anak lelaki mereka terlibat dalam kemalangan. Puan Sri Azhara terasa lembik tubuhnya. Terasa hilang daya selepas mendapat berita tersebut tetapi digagahkan juga kaki untuk menapak ke hospital. Dan nasib baik suaminya baik-baik saja.

Puan Sri Azhara duduk di atas kerusi sementara Tan Sri Arsyad sedang berbicara dengan pegawai polis. Tidak putus-putus doanya supaya anaknya selamat. Hati tuanya benar-benar risau ketika ini. Dia belum bersedia untuk kehilangan anak lelakinya.

“Sabar Ara. Abang yakin yang anak kita selamat.” Bahu sang isteri digosok bagi menenangkan isterinya yang sedang menangis.

“Ara tak nak jadi apa-apa pada Kasyah, bang.” Ujar Puan Sri Azhara sedih. Sebaik saja dia tiba di hospital, dia mendapat tahu yang anaknya berada dalam dewan bedah. Doktor sedang membuang darah beku di dalam kepala anaknya.

“Insya-Allah. Kasyah kuat. Ara kenalkan anak kita macam mana.” Balas Tan Sri Arsyad. Mahu tercabut jantungnya apabila mendapat khabar berita tentang anaknya terlibat dalam kemalangan tadi.

“Ara takut bang...” ujar Puan Azhara. Risau dan takut kehilangan satu-satunya anak lelaki dia. Baginya, Ukasyah Al-Haq sangat istimewa di hatinya.

Apabila melihat kelibat doktor keluar dari pintu dewan bedah, bergegas Tan Sri Arsyad dan Puan Sri Azhara mendekati doktor.

“Doktor, macam mana dengan anak kami?”

“Alhamdulillah. Kami berjaya buang darah beku dalam kepalanya.” Beritahu Nuha. Lega apabila pembedahan berjalan dengan lancar. “Cuma Encik Ukasyah koma.” Dalam menarik nafas lega, Nuha risau. Walaupun pembedahan selamat tetapi pesakit koma, itulah yang paling dia risau.

“Ya Allah, abang...” Puan Sri Azhara jatuh melurut ke bawah. Koma? Dugaan apakah ini?

“Sabar Puan. Kita doakan yang terbaik buat Encik Ukasyah.” Ujar Nuha dengan tenang. Dia faham perasaan ibu kepada pesakit. Setiap hari dia hadap pelbagai kes di hospital dan macam-macam ragam atau perangai yang dia kenal dan hafal.

Ada yang boleh terima, ada yang tidak. Ada yang memaki-hamun doktor, jururawat kerana tidak dapat menerima takdir Allah. Malah salahkan doktor kerana pesakit meninggal dunia.

“Terima kasih doktor.” Ucap Puan Sri Azhara. Suka melihat kelembutan doktor di hadapannya ini.

Selepas meminta diri dari situ dan menyelesaikan tugasnya, Nuha pulang ke rumah walaupun waktu kerjanya telah lama tamat. Hari yang sangat memenatkan untuknya hari ini. Memandangkan perutnya sudah berkeroncong, Nuha memilih untuk singgah makan di restoran yang biasa dia singgah setiap hari.

“Hi Nuha.”

Tegur satu suara garau yang asing pada pendengarannya. Lantas Nuha berpaling mencari arah suara tersebut.

“Eh, hi Fariz.” Terkejut dia dengan kehadiran Farizwan di situ. Lelaki yang paling dia tidak mahu jumpa. Kalau boleh lihat dari jauh pun dia tidak mahu.

“Sorang ke?” soal Farizwan yang tersengih-sengih.

“You ada nampak orang lain ke Encik Farizwan?” soalan dibalas dengan soalan. Sinis sekali suara Nuha.

“Tak ada.” Geleng Farizwan dengan senyuman manis yang mampu memukau hati wanita-wanita di luar sana namun tidak Nuha Sakeena.

“You sorang ke? Ke datang dengan partner?” terjenguk-jenguk Nuha mencari wanita di sisi Farizwan. Manalah tahu wanita tersebut menyorok di belakang lelaki itu ke?

“Errr...I datang...so…”

Belum sempat Farizwan menghabiskan kata-katanya muncul seorang wanita yang berpakaian seksi di sisi Farizwan. Lantas memeluk lengan lelaki itu. Nuha tersenyum sinis. Sudah dia agak, pasti lelaki itu datang ke sini bukan sendirian.

“Siapa ni you?” soal wanita seksi dengan lenggok manja.

“I, Nuha. Anak kawan Datin Julia. Yang penting I bukan dalam list kekasih-kekasih Farizwan. You jangan risau.”

Ujar Nuha. Dia nampak perubahan wajah wanita tersebut tetapi dia buat-buat tidak kisah. Tak payah nak cemburu sangatlah. Farizwan bukan lelaki idamannya.

“I minta diri dululah, Nuha.”

Nuha menghantar langkah Farizwan dan si kekasih hati lelaki itu yang entah ke berapa dengan ekor matanya. Bukan main gedik perempuan tersebut. Macam manalah Farizwan boleh tahan ya?

Ah! Lelaki memang suka apa wanita gedik dan manja seperti itu. Jadi, untuk apa dia kisahkan semua itu walaupun dia wanita tetapi memang dia bukan jenis yang macam itu.


No comments:

Post a Comment

Thank You for your comment.

Love,
Hezy Rose.