BERITA gembira yang Tan Sri Arsyad dan Puan Sri Azhara terima sebaik saja mereka tiba di hospital. Anak lelakinya sudah sedar dari koma. Alhamdulillah. Setelah tiga minggu, akhirnya anak mereka sedar juga.
Terima kasih Allah.
“Macam mana dengan keadaan anak kami, doktor?” soal Tan Sri Arsyad selepas Nuha melakukan pemeriksaan ke atas Ukasyah sebaik saja lelaki itu sedar dari koma.
“Alhamdulillah. Keadaan Encik Ukasyah semakin baik. Dan tiada apa-apa yang serius.” Jelas Nuha. Akhirnya hari ini dia mendapat khabar gembira iaitu pesakitnya, Ukasyah Al-Haq sudah sedar dari koma.
Syukur kepada Allah.
“Ya Allah, Kasyah. Rindunya umi pada Kasyah.” Tanpa berlengah Puan Sri Azhara memeluk tubuh si anak yang terbaring di atas katil dengan berhati-hati.
“Mak cik ni siapa?” soalan Ukasyah mengejutkan Puan Sri Azhara. Pantas dia melepaskan pelukan tersebut sebelum memandang wajah si anak yang kelihatan terpinga-pinga.
“Doktor Nuha betul ke yang anak aunty ni tiada kecederaan yang serius?” soal Puan Sri Azhara sedikit panik dan risau kerana anaknya tidak mengenali dia. Terkejut apabila anaknya tiba-tiba saja bertanya siapa dia. Ukasyah mengalami amnesia ke?
Nuha yang terkejut dengan respons yang diberikan Ukasyah, pantas menilik kembali fail yang berada di tangan. Manalah tahu dia terlepas pandang ke tentang keadaan pesakitnya ini?
Tiba-tiba terdengar suara orang gelak dengan kuat. Siapa lagi kalau bukan Ukasyah Al-Haq.
“Ukasyah Al-Haq!” jerit Puan Sri Azhara geram. “Bertuah punya anak! Suka betul kenakan umi.” Ditarik telinga Ukasyah yang masih lagi ketawa-ketawa dengan reaksi gelabah si ibu dan doktor wanita yang berdiri di sisi kirinya.
Tan Sri Arsyad menggelengkan kepala berkali-kali. Masak benar dengan perangai si anak lelaki sulungnya ini. Ada saja akal untuk mengusik orang. Tetapi perangai yang satu ini hanya keluar di hadapan keluarga. Jika waktu kerja, serius kalah dia.
“Aduh! Sakit umi!” telinga yang ditarik oleh uminya digosok berkali-kali. Kuat betul uminya memulas telinganya.
“Ha! Padan muka. Kenakan lagi umi. Nak tercabut jantung umi tadi.” Bebel Puan Sri Azhara yang masih lagi geram dengan gurauan si anak yang tidak kena pada tempatnya.
“Orang risaukan dia. Boleh pula dia berlakon hilang ingatan. Hilang ingatan sungguh nanti, baru tahu.” Puan Sri Azhara menyambung bebelannya lagi.
Nafas lega ditarik. Nuha hanya mampu mengukir senyuman dengan gelagat pesakit di hadapannya ini. Boleh pula main-main. Kalau nak usik Puan Sri Azhara, tunggulah dia keluar dulu. Gelabah juga dia tadi kerana risau dia yang terlepas pandang tentang kecederaan pesakit.
“Alaa...sorrylah umi. Kasyah sengaja nak usik umi. Manalah tahu umi dah tak sayangkan Kasyah sebab Kasyah dah tak kacak macam dulu,” ujar Ukasyah dengan nada sayu yang dibuat-buat.
“Eh, budak bertuah ni! Ingat umi sayang Kasyah sebab Kasyah kacak ke sebelum ni? Umi tetap sayang Kasyah walaupun anak umi tak sempurna macam dulu,” ujar Puan Sri Azhara sedikit sebak.
“Isteri walid dah nak menangis ni. Walid pujuklah ya. Kasyah nak sambung tidur.” Tutur Ukasyah bersahaja tanpa menghiraukan kehadiran Nuha di situ.
Hampir saja Nuha menghamburkan tawa dengan telatah bersahaja lelaki yang bernama Ukasyah Al-Haq. Dan Tan Sri Arsyad melayan saja perangai si anak.
“Kasyahlah ni yang buat. Dah tahu isteri walid ni sensitif, janganlah usik macam tu,” ujar Tan Sri Arsyad yang sudah arif dengan perangai sang isteri. Hati lembut dan sensitif.
“Errr...saya minta diri dululah, uncle, aunty. Masih ada kerja yang belum selesai.”
Selepas puas melihat drama sebabak antara ibu dan anak, barulah Nuha perasan masih ada tugas yang perlu diselesaikan. Ralit pula dia.
“Yalah. Terima kasih, doktor Nuha.” Ucap Tan Sri Arsyad. Bersyukur kerana ditemukan dengan doktor Nuha yang elok tutur katanya sepanjang merawat anaknya.
Dan Nuha hanya menganggukkan kepala dan mengukir senyuman sebagai balasan sebelum berlalu dari situ.
“Cantik doktor Nuha tu,” ujar Ukasyah dan tanpa sedar dia menuturkan kata-kata itu. Bukan dalam hati.
“Memang cantik. Umi suka kalau dia jadi menantu umi,” ujar Puan Sri Azhara terus terang. Dalam hatinya sudah gembira apabila Ukasyah perasan akan kehadiran Nuha Sakeena di situ. Mestilah perasan. Dah Nuha yang merawat anaknya.
“Apa umi? Menantu umi?” terkejut Ukasyah dengan kata-kata si ibu. Aduh! Dia baru saja sedar dari koma, tiba-tiba umi sebut pasal menantu. Dia ada mimpi pasal kahwin ke sepanjang dia koma?
Tak ada tetapi kenapa tiba-tiba saja uminya sebut pasal menantu pula ni?
“Ya. Menantu. Manalah tahu doktor Nuha tu jadi menantu umi ke nanti.” Sengih Puan Sri Azhara. Besar harapannya. Berharap sangat yang Nuha akan menjadi menantunya.
“Umi ni, pandai-pandai saja. Entah-entah doktor Nuha tu isteri orang,” ujar Ukasyah. Tetapi kenapa dia rasa kecewa kalau betul doktor yang bernama Nuha Sakeena itu isteri orang?
“Tak. Doktor Nuha masih bujang lagi. Umi dah tanya dia. Umi dengan doktor Nuha dah jadi kawan rapat,” beritahu Puan Sri Azhara dengan nada gembira.
Rasa lapang hatinya apabila mengetahui doktor Nuha bukan milik sesiapa lagi.
Perasaan apakah ini?
Betul ke sepanjang dia koma, dia tiada mimpikan apa-apa tentang kahwin?
“Amboi! Sempat lagi ya umi tanya dia. Siap jadi kawan rapat lagi. Nampak sangat umi bosankan?” usik Ukasyah di hujung ayatnya.
“Mestilah. Dah hari-hari dia masuk sini. Periksa Kasyah. Sempatlah umi berbual dengan dia walaupun sekejap.” Balas Puan Sri Azhara. Memandangkan dia yang sentiasa menjaga Ukasyah, mestilah dia ada masa untuk berkenalan dengan doktor Nuha.
“Umi kamu ni Kasyah, bukan saja berkawan rapat dengan doktor Nuha, sempat pergi shopping lagi.” Tan Sri Arsyad mencelah. Ya, pada hujung minggu sempat isterinya mengajak doktor Nuha untuk membeli-belah sementara dia menjaga Ukasyah tempoh hari.
“Apa? Umi ni betul-betul nak Nuha jadi menantu umi ke?” terkejut dia dengan apa yang disampaikan oleh walidnya. Cepat betul uminya mesra dengan doktor Nuha. Biasanya mengambil masa yang agak lama untuk uminya rapat.
“Ya. Kalau Kasyah setuju, hari ini juga umi beritahu Nuha dan masuk meminang dia.” Ujar Puan Sri Azhara yang sudah tidak sabar hendak menantu perempuan walaupun dia sudah ada anak perempuan kembar.
“Hmmm...nantilah Kasyah fikirkan.” Balas Ukasyah acuh tak acuh. Malas sebenarnya nak fikir pasal jodoh. Hidup sendiri lagi bagus.
Apabila terbayangkan wajah doktor Nuha, tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Tidak dinafikan yang doktor Nuha cantik orangnya. Bukan itu sahaja, malah menghormati orang tuanya walaupun dia baru sedar dari koma tetapi daripada cerita uminya, dia yakin yang doktor Nuha begitu menjaga tingkah lakunya dihadapan orang yang lebih tua.
Jika tidak, masakan uminya mudah bergaul dengan doktor Nuha walaupun baru saja kenal.
Jika jodoh mereka, pasti tidak akan ke mana.

No comments:
Post a Comment
Thank You for your comment.
Love,
Hezy Rose.