BERITA gembira yang Tan Sri Arsyad dan Puan Sri Azhara
terima sebaik saja mereka tiba di hospital. Anak lelakinya sudah sedar dari
koma. Alhamdulillah. Setelah tiga minggu, akhirnya anak mereka sedar juga.
Terima kasih
Allah.
“Macam mana
dengan keadaan anak kami, doktor?” soal Tan Sri Arsyad selepas Nuha melakukan
pemeriksaan ke atas Ukasyah sebaik saja lelaki itu sedar dari koma.
“Alhamdulillah.
Keadaan Encik Ukasyah semakin baik. Dan tiada apa-apa yang serius.” Jelas Nuha.
Akhirnya hari ini dia mendapat khabar gembira iaitu pesakitnya, Ukasyah Al-Haq sudah
sedar dari koma.
Syukur kepada
Allah.
“Ya Allah, Kasyah.
Rindunya umi pada Kasyah.” Tanpa berlengah Puan Sri Azhara memeluk tubuh si
anak yang terbaring di atas katil dengan berhati-hati.
“Mak cik ni
siapa?” soalan Ukasyah mengejutkan Puan Sri Azhara. Pantas dia melepaskan
pelukan tersebut sebelum memandang wajah si anak yang kelihatan terpinga-pinga.
“Doktor Nuha
betul ke yang anak aunty ni tiada kecederaan yang serius?” soal Puan Sri
Azhara sedikit panik dan risau kerana anaknya tidak mengenali dia. Terkejut
apabila anaknya tiba-tiba saja bertanya siapa dia. Ukasyah mengalami amnesia
ke?
Nuha yang
terkejut dengan respons yang diberikan Ukasyah, pantas menilik kembali fail
yang berada di tangan. Manalah tahu dia terlepas pandang ke tentang keadaan
pesakitnya ini?
Tiba-tiba
terdengar suara orang gelak dengan kuat. Siapa lagi kalau bukan Ukasyah Al-Haq.
“Ukasyah
Al-Haq!” jerit Puan Sri Azhara geram. “Bertuah punya anak! Suka betul kenakan
umi.” Ditarik telinga Ukasyah yang masih lagi ketawa-ketawa dengan reaksi
gelabah si ibu dan doktor wanita yang berdiri di sisi kirinya.
Tan Sri
Arsyad menggelengkan kepala berkali-kali. Masak benar dengan perangai si anak
lelaki sulungnya ini. Ada saja akal untuk mengusik orang. Tetapi perangai yang
satu ini hanya keluar di hadapan keluarga. Jika waktu kerja, serius kalah dia.
“Aduh! Sakit
umi!” telinga yang ditarik oleh uminya digosok berkali-kali. Kuat betul uminya
memulas telinganya.
“Ha! Padan
muka. Kenakan lagi umi. Nak tercabut jantung umi tadi.” Bebel Puan Sri Azhara
yang masih lagi geram dengan gurauan si anak yang tidak kena pada tempatnya.
“Orang
risaukan dia. Boleh pula dia berlakon hilang ingatan. Hilang ingatan sungguh
nanti, baru tahu.” Puan Sri Azhara menyambung bebelannya lagi.
Nafas lega
ditarik. Nuha hanya mampu mengukir senyuman dengan gelagat pesakit di hadapannya
ini. Boleh pula main-main. Kalau nak usik Puan Sri Azhara, tunggulah dia keluar
dulu. Gelabah juga dia tadi kerana risau
dia yang terlepas pandang tentang kecederaan pesakit.
“Alaa...sorrylah
umi. Kasyah sengaja nak usik umi. Manalah tahu umi dah tak sayangkan Kasyah
sebab Kasyah dah tak kacak macam dulu,” ujar Ukasyah dengan nada sayu yang
dibuat-buat.
“Eh, budak
bertuah ni! Ingat umi sayang Kasyah sebab Kasyah kacak ke sebelum ni? Umi tetap
sayang Kasyah walaupun anak umi tak sempurna macam dulu,” ujar Puan Sri Azhara
sedikit sebak.
“Isteri walid
dah nak menangis ni. Walid pujuklah ya. Kasyah nak sambung tidur.” Tutur Ukasyah
bersahaja tanpa menghiraukan kehadiran Nuha di situ.
Hampir saja
Nuha menghamburkan tawa dengan telatah bersahaja lelaki yang bernama Ukasyah
Al-Haq. Dan Tan Sri Arsyad melayan saja perangai si anak.
“Kasyahlah ni
yang buat. Dah tahu isteri walid ni sensitif, janganlah usik macam tu,” ujar
Tan Sri Arsyad yang sudah arif dengan perangai sang isteri. Hati lembut dan sensitif.
“Errr...saya
minta diri dululah, uncle, aunty. Masih ada kerja yang belum selesai.”
Selepas puas
melihat drama sebabak antara ibu dan anak, barulah Nuha perasan masih ada tugas
yang perlu diselesaikan. Ralit pula dia.
“Yalah.
Terima kasih, doktor Nuha.” Ucap Tan Sri Arsyad. Bersyukur kerana ditemukan
dengan doktor Nuha yang elok tutur katanya sepanjang merawat anaknya.
Dan Nuha
hanya menganggukkan kepala dan mengukir senyuman sebagai balasan sebelum
berlalu dari situ.
“Cantik
doktor Nuha tu,” ujar Ukasyah dan tanpa sedar dia menuturkan kata-kata itu.
Bukan dalam hati.
“Memang
cantik. Umi suka kalau dia jadi menantu umi,” ujar Puan Sri Azhara terus terang.
Dalam hatinya sudah gembira apabila Ukasyah perasan akan kehadiran Nuha Sakeena
di situ. Mestilah perasan. Dah Nuha yang merawat anaknya.
“Apa umi?
Menantu umi?” terkejut Ukasyah dengan kata-kata si ibu. Aduh! Dia baru saja
sedar dari koma, tiba-tiba umi sebut pasal menantu. Dia ada mimpi pasal kahwin
ke sepanjang dia koma?
Tak ada
tetapi kenapa tiba-tiba saja uminya sebut pasal menantu pula ni?
“Ya. Menantu.
Manalah tahu doktor Nuha tu jadi menantu umi ke nanti.” Sengih Puan Sri Azhara.
Besar harapannya. Berharap sangat yang Nuha akan menjadi menantunya.
“Umi ni,
pandai-pandai saja. Entah-entah doktor Nuha tu isteri orang,” ujar Ukasyah.
Tetapi kenapa dia rasa kecewa kalau betul doktor yang bernama Nuha Sakeena itu
isteri orang?
“Tak. Doktor
Nuha masih bujang lagi. Umi dah tanya dia. Umi dengan doktor Nuha dah jadi
kawan rapat,” beritahu Puan Sri Azhara dengan nada gembira.
Rasa lapang
hatinya apabila mengetahui doktor Nuha bukan milik sesiapa lagi.
Perasaan
apakah ini?
Betul ke
sepanjang dia koma, dia tiada mimpikan apa-apa tentang kahwin?
“Amboi!
Sempat lagi ya umi tanya dia. Siap jadi kawan rapat lagi. Nampak sangat umi
bosankan?” usik Ukasyah di hujung ayatnya.
“Mestilah.
Dah hari-hari dia masuk sini. Periksa Kasyah. Sempatlah umi berbual dengan dia
walaupun sekejap.” Balas Puan Sri Azhara. Memandangkan dia yang sentiasa
menjaga Ukasyah, mestilah dia ada masa untuk berkenalan dengan doktor Nuha.
“Umi kamu ni Kasyah,
bukan saja berkawan rapat dengan doktor Nuha, sempat pergi shopping
lagi.” Tan Sri Arsyad mencelah. Ya, pada hujung minggu sempat isterinya
mengajak doktor Nuha untuk membeli-belah sementara dia menjaga Ukasyah tempoh
hari.
“Apa? Umi ni
betul-betul nak Nuha jadi menantu umi ke?” terkejut dia dengan apa yang
disampaikan oleh walidnya. Cepat betul uminya mesra dengan doktor Nuha.
Biasanya mengambil masa yang agak lama untuk uminya rapat.
“Ya. Kalau Kasyah
setuju, hari ini juga umi beritahu Nuha dan masuk meminang dia.” Ujar Puan Sri
Azhara yang sudah tidak sabar hendak menantu perempuan walaupun dia sudah ada
anak perempuan kembar.
“Hmmm...nantilah
Kasyah fikirkan.” Balas Ukasyah acuh tak acuh. Malas sebenarnya nak fikir pasal
jodoh. Hidup sendiri lagi bagus.
Apabila
terbayangkan wajah doktor Nuha, tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Tidak
dinafikan yang doktor Nuha cantik orangnya. Bukan itu sahaja, malah menghormati
orang tuanya walaupun dia baru sedar dari koma tetapi daripada cerita uminya,
dia yakin yang doktor Nuha begitu menjaga tingkah lakunya dihadapan orang yang
lebih tua.
Jika tidak,
masakan uminya mudah bergaul dengan doktor Nuha walaupun baru saja kenal.
Jika jodoh
mereka, pasti tidak akan ke mana.