Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Sunday, September 11, 2022

DARLING - BAB 2

 

 


 

BAB 2

 

MESEJ yang diterima daripada Hail dipandang sepi. Dia tahu pun kerana awal-awal lagi lelaki itu memperkenalkan diri. Dari mana lelaki itu dapat nombor telefonnya tidak perlulah dia tanya kerana pasti ibunya yang murah hati memberikan nombor tersebut kepada Hail. Cuma satu saja yang membuat dia masih menarik nafas lega iaitu ibunya masih memberi masa kepadanya untuk berfikir dan berbincang dengan Hail sebelum membuat keputusan.

Kata ibu, "Berbincanglah dengan Hail. Ibu tak sampai hati nak tolak lamaran kak Milah. Dia berharap sangat Iffat jadi menantunya. Dan ibu pun berharap Hail jadi menantu ibu kerana ibu yakin dia mampu untuk jaga anak ibu dengan baik."

Ya, begitulah kata-kata Puan Hanim dengan harapan dia akan termakan dengan pujukan itu. Buat masa sekarang hatinya masih kebal dengan pujukan tersebut.

Ting!

Mesej masuk lagi.

Iffat, kenapa tak balas mesej I? Takkan you dah lupakan I, Syed Hail Akasyah. Sahabat baik you waktu sekolah dulu.

Tersenyum sinis Iffat membaca mesej daripada Hail. Berapa kali lelaki itu nak perkenalkan diri. Macamlah dia ada ramai kawan lelaki yang bernama Hail.

Sahabat baik? Sejak bila mereka masih bersahabat? Kerana tidak dapat menahan jari-jemarinya daripada membalas mesej tersebut, akhirnya Iffat membalas mesej itu.

Sahabat baik? I rasa you salah nombor ini. I tak ada sahabat baik yang bernama Syed Hail Akasyah.

Hantar.

Tidak sampai seminit, mesej itu dibalas.

Jangan buat I macam ini, Iffat. I need to see you, Iffat. Please...it's urgent.

Dan Iffat hanya meninggalkan blue tick pada mesej itu. Tidak kuasa hendak membalas mesej itu lagi. Malas hendak melayan.

Setibanya di rumah, berkerut dahi Iffat melihat ada sebuah kereta Audi yang terletak di tepi kereta milik ayahnya. Setahunya mana ada abang atau kakaknya yang menggunakan kereta buatan Jerman itu. Adakah kawan ayahnya?

Dengan perasaan berdebar Iffat melangkah masuk ke dalam rumah. Entah kenapa malam ini, hatinya terasa lain. Saat kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, matanya bertembung dengan sepasang mata yang sudah lama dia tidak jumpa.

Syed Hail Akasyah.

Terhenti langkahnya. Masa seakan berhenti berputar, mata bertentang mata, menghadirkan rasa yang tidak pernah Iffat rasakan sebelum ini.

Manakala Hail pula terpegun melihat perubahan Iffat. Semakin cantik dan bergaya. Jika sewaktu sekolah dulu, Iffat kelihatan comot dan sedikit kasar. Tetapi sekarang semakin ayu. Tidak lagi berpakaian seperti lelaki.

"Ehem!"

Bunyi deheman menyentak pandangan Hail dan Iffat. Masing-masing mengalihkan pandangan ke arah suara itu. Puan Hanim dan Puan Jamilah tersenyum sumbing melihat Hail dan Iffat sedikit gelabah.

Bukan lelaki itu saja yang berada di rumahnya malah Encik Ghani dan Puan Jamilah juga berada di situ. Tanpa membuang masa, Iffat menghampiri Puan Jamilah dan tunduk menyalami tangan wanita yang sebaya dengan ibunya. Juga tidak lupa bertanyakan khabar.

"Lama aunty tidak jumpa dengan Iffat. Semakin cantik." Puji Puan Jamilah yang tidak lepas memandang Iffat. Kali terakhir dia berjumpa dengan Iffat beberapa tahun yang lalu ketika gadis itu masih lagi belajar.

"Saya biasa-biasa saja aunty." Tersipu malu Iffat dengan pujian dari Puan Jamilah.

"Iffat naik atas dulu ya. Nak bersihkan diri." Sengaja Iffat bagi alasan kerana dia tidak betah berlama di situ. Hail tidak lepas memandangnya sejak dari tadi.

"Sila-sila." Balas Encik Ghani dan Puan Jamilah.

"Errr...Iffat, lepas ni you turun ya. I ada perkara nak bincang dengan you." Celah Hail yang sejak dari tadi hanya diam memerhati. Dia seakan terpukau dengan kecantikan yang dimiliki Iffat.

Langkah diteruskan menuju ke tingkat atas walaupun dia dengar kata-kata Hail. Dia tidak mengangguk ataupun menggelengkan kepala. Kata-kata lelaki itu ibarat angin yang lalu.

"Maafkan Iffat, Hail." Geleng kepala Puan Hanim dengan perangai keras kepala si anak. Terasa malu pula dia dengan Encik Ghani sekeluarga.

"Tak mengapa, aunty. Hail faham." Hail ukir senyum tawar. Dia tahu yang banyak salah dia dengan Iffat. Dan mungkin kata-kata maafnya sudah tidak laku untuk dituturkan.

"Tapi Hail jangan risau. Aunty akan pastikan Iffat setuju untuk berkahwin dengan Hail," ujar Puan Hanim menuturkan janji. Dia akan cuba cara lain untuk memujuk anak perempuannya itu.

"Kalau Iffat tak setuju, aunty jangan paksa dia. Hail tak nak Iffat setuju kerana terpaksa. Biarlah dia terima Hail kerana dia cinta dan sayangkan Hail." Balas Hail kerana memaksa tidak akan menjadikan Iffat rela untuk berkahwin dengannya. Dan dia mahu Iffat menerima perkahwinan mereka dengan hati yang terbuka.

"Tapi Hail..." Puan Hanim cuba membantah kerana dia tahu keras kepala seorang Iffat Najwa.

"Aunty Hanim jangan risau. Hail akan pujuk dia." Janji Hail. Walau apa pun yang terjadi, dia tetap mahu Iffat menjadi isteri dan ibu kepada Marissa. Dia tidak mahu lepaskan Iffat lagi.

"Baiklah." Angguk Puan Hanim. Dan dia yakin yang Hail mampu untuk memujuk Iffat kerana dia tahu sejauh mana persahabatan Hail dan Iffat sebelum ini.

"Awak jangan risaulah Nim. Saya yakin yang Hail mampu untuk pujuk Iffat." Celah Puan Jamilah. Dia percaya yang Hail mampu untuk mengambil hati Iffat kembali. Dia tahu apa yang berlaku antara anaknya dan Iffat cuma dia memilih untuk tidak masuk campur.

"Yalah. Kita doakan yang terbaik buat mereka." Angguk Puan Hanim dengan harapan setinggi gunung untuk melihat Iffat dan Hail bersatu.



**********




SELESAI menunaikan solat Isyak, Iffat termenung sendirian di balkoni sambil bersandar pada dinding sambil berpeluk tubuh menikmati malam yang tenang sambil ditemani bintang. Dia bukan hendak bertingkah-laku kurang ajar tetapi untuk duduk berbual bersama bekas jirannya di bawah dengan adanya Hail di situ membuatkan luka yang dulu datang kembali.

Mengimbau kembali kenangan yang lalu membuatkan luka lama berdarah kembali. Masih segar dalam ingatannya kejadian di mana Kaira menabur fitnah yang dia menjaja cerita yang tidak elok tentang Hail pada rakan-rakan sekelas mereka. Sedangkan dia tidak tahu menahu tentang hal tersebut.

"Iffat!" panggil Hail kasar. Ketika itu Iffat sedang bergelak ketawa dengan Afrina selepas solat Zuhur di sebuah meja bulat sementara menunggu kelas tambahan bermula. Memandangkan hari ini merupakan hari terakhir dia berada di sekolah ini, jadi Iffat memilih untuk meluangkan masa bersama dengan Afrina kerana selepas ini belum tentu dia dapat berjumpa dengan kawan baiknya ini.

"Ya, ada apa Hail?" Iffat berpusing ke belakang memandang sahabat baiknya itu. Pandangan Hail yang tajam itu dipandang dengan perasaan yang kurang enak. Dan ketika Hail berjalan mendekatinya, dia perasaan anak mata lelaki itu penuh dengan api kemarahan.

Gentar namun sebaik mungkin dia cuba bertenang. Bukan tidak pernah dia dan Hail bergaduh tapi belum pernah dia melihat lelaki itu marah seperti ini.

"You sengaja cakap buruk di belakang I kan? Sengaja nak malukan I!" tekan Hail dengan suara yang tertahan kerana tidak mahu guru-guru tahu yang mereka bergaduh.

"You cakap apa ni, Hail? I cakap buruk tentang you?" berkerut dahi Iffat cuba menghadam apa yang Hail tuturkan. Tidak pernah sekalipun dia bercakap buruk tentang lelaki itu.

"Jangan nak jadi hipokrit, Iffat! You cakap I ini lelaki yang suka ambil kesempatan ke atas you dan pernah raba you kan." Tekan Hail dengan mata mencerlung memandang Iffat dan amarah yang membara di hati. Belum pernah dia menyentuh mahupun berkelakuan tidak baik sepanjang berkawan baik dengan Iffat. Dan ini gadis itu balas padanya.

"Astaghfirullahalazim...apa yang you mengarut ini, Syed Hail Akasyah! I tak pernah sebarkan fitnah sebegitu pada you. You itu kawan baik, I. Tak tergamak I nak tuduh you beperangai seperti itu."

Iffat membela diri. Dalam pada masa yang sama dia terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Hail. Tidak terlintas di fikirannya untuk menyebarkan fitnah kerana dia kenal Hail lelaki yang macam mana. Sepanjang mereka berkawan baik, Hail tidak pernah mengambil kesempatan ke atasnya.

"You bohong!" jerkah Hail. "I tak sangka ini perangai sebenar you. Aku bencikan kau, perempuan tak guna!" Tekan Hail dengan api kemarahan yang semakin membara.

"Mulai sekarang, kita putus kawan. You bukan lagi sahabat baik I dan I tak ada sahabat baik yang bernama, Nur Iffat Najwa!" sambungnya lagi. Memandang Iffat dengan penuh kebencian.

Sesudah menuturkan apa yang patut, Hail terus berlalu pergi dari situ tanpa berpaling lagi.

Remuk dan pecah berderai hati Iffat ketika ini. Setiap tutur kata Hail ibarat pisau yang tajam menikamnya berkali-kali di hati tanpa henti.

"Hail!" Iffat cuba mengejar langkah lelaki itu namun Afrina menghalang.

"Jangan, Iffat. Nanti kecoh satu sekolah." Tegah Afrina yang sejak dari tadi hanya diam memerhati. Dia bukan tidak mahu masuk campur tetapi risau jika dia mencelah, akan menimbulkan pergaduhan yang besar dan tersebar satu sekolah.

"Aku tak buat semua itu, Rin." Ngongoi Iffat dalam pelukan Afrina kerana tidak dapat menahan lagi sebak di dada. Tadi, dia berusaha untuk tidak keluarkan air mata. Namun kini hatinya benar-benar sedih dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

"Ya, aku tahu Iffat. Sabar. Aku ada bersama kau." Tangan Afrina mengusap belakang Iffat. Menenangkan kawan baiknya itu. Dia akan cari tahu siapa punya angkara disebalik semua ini. Dia pasti, ada orang yang sengaja mengadakan cerita sehingga Hail percaya akan fitnah itu.

Hari ini, hari terakhir dia berada di sekolah ini. Sepatutnya kenangan manis yang perlu dia kenang tetapi sebaliknya berlaku. Dan kenapa Hail lebih percayakan orang luar berbanding dirinya? Sedangkan mereka sudah lama kenal. Sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah mereka berada di tingkatan lima.

Angin malam yang menyapa wajahnya mengembalikan Iffat dari lamunan panjang mengenangkan kejadian itu. Peristiwa lalu terbang dibawa angin malam tetapi rasa sakit itu masih ada setiap kali dia mengingati peristiwa itu. Kesannya terlalu mendalam sehingga dia takut untuk berkawan rapat dengan mana-mana lelaki. Baginya, cukuplah Afrina yang menjadi kawan baiknya sehingga kini.

Persahabatan yang dibina selama tujuh belas tahun sejak dari kecil, akhirnya musnah kerana fitnah. Fitnah yang Iffat sendiri tidak tahu siapa sebarkan sehinggalah Afrina memberitahu kepadanya selepas mereka tamat peperiksaan SPM. Dan dia memilih untuk mendiamkan diri. Cukuplah dia mengetahui siapa dalang disebalik semua itu. Benda yang berlaku, telah pun berlaku. Hatinya tidak mungkin kembali seperti dulu lagi.

Dan cintanya pada Hail mati begitu saja saat Hail memutuskan persahabatan mereka.


Tulusly,

Hezy Rose.

 

No comments:

Post a Comment

Thank You for your comment.

Love,
Hezy Rose.