Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Sunday, September 11, 2022

DARLING - BAB 1

 


 

BAB 1

 

NOTE: Setelah sekian lama saya peram cerita ini, akhirnya dapat juga up di sini. Insya-Allah saya akan update cerita ini setiap hari jika sempat atau jika saya ada kelapangan.



#######

PUAN Hanim menunggu kepulangan anak perempuan bongsunya itu penuh sabar. Sejak dari tadi dia menunggu Iffat pulang dan bayang kereta belum kelihatan. Agak-agaknya pukul berapa anaknya pulang malam ini? Jarum jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Telefon tidak berangkat. Hati tuanya risau.

"Awak kenapa? Nampak risau." Tegur Encik Rahman yang baru saja turun dari tingkat atas.

"Anak bongsu abanglah. Masa ni belum balik lagi," sungut Puan Hanim memandang suaminya yang berjalan menuju ke arahnya.

"Sekejap lagi sampailah tu." Mudah Encik Rahman menjawab lalu duduk di tepi Puan Hanim. Tidak gelabah seperti isterinya.

"Buang masa saya bercakap dengan abang." Pantas Puan Hanim memusingkan tubuhnya mengadap televisyen yang terpasang. Setiap kali dia membebel tentang Iffat, pasti suaminya akan membela.

Tidak lama kemudian kedengaran enjin kereta di luar.

"Ha, itu anak bongsu awak dah sampai. Awak saja yang terlebih risau," ujar Encik Rahman. Sebenarnya dia sudah tahu yang Iffat pulang sedikit lewat malam ini. Anaknya sudah menelefon dia tadi.

Puan Hanim tidak melayan Encik Rahman. Sebaliknya, dia sudah bersedia untuk melontarkan peluru kepada si anak nanti. Tunggu Iffat melangkah masuk, dia akan memulakan serangan.

"Assalamualaikum." Iffat menghulurkan salam.

"Waalaikumussalam. Masa ni baru reti nak balik. Iffat pergi mana? Takkan tak tahu dah lewat malam. Awak tu anak dara. Tak elok keluar malam-malam begini. Sengaja nak buat ibu dan ayah risau."

Bertalu-talu bebelan yang keluar dari mulut Puan Hanim ibarat peluru berpandu. Tidak memberi ruang kepada anak perempuannya untuk membela diri. Selepas puas barulah Puan Hanim berhenti.

Iffat memandang ayahnya yang duduk di sebelah ibu. Berbalas pandangan dengan si ayah dan Encik Rahman menggeleng tanda tidak tahu. Dia duduk di atas sofa yang terletak di sebelah kiri ibunya.

"Iffat ada kerja yang perlu disiapkan segera ibu. Tadi Iffat dah beritahu ayah." Jelas Iffat yang bersandar pada belakang sofa. Melepaskan lelah.

"Abang tak bagitahu saya pun," Puan Hanim berpusing memandang suaminya. Tajam dia memandang Encik Rahman yang santai duduk bersandar di sebelahnya.

"Abang malas nak dengar awak membebel setiap kali Iffat balik lambat." Senang Encik Rahman menjawab.

Ingin tergelak Iffat melihat muncung ibunya.

"Ini, ibu ada perkara nak bincang dengan Iffat," ujar Puan Hanim kembali memberi fokus kepada anak bongsunya.

"Bincang apa ibu?" Wajah serius Puan Hanim dipandang.

"Iffat masih ingat aunty Jamilah?" Puan Hanim memulakan mukadimahnya. Dan Encik Rahman memilih untuk mendengar tanpa menyampuk kerana dia sudah tahu apa yang isterinya cuba sampaikan.

"Aunty Jamilah?" sebut Iffat yang cuba mengingati kembali wajah wanita yang ibunya sebutkan.

"Alaaa...jiran kita dulu. Masa kita tinggal di Kuala Selangor." Tidak mungkin anaknya sudah lupakan tentang jiran sebelah rumah mereka.

Berkerut dahi Iffat sebelum wajah wanita yang dia panggil aunty Jamilah muncul. Oh, jirannya yang itu.

"Ingat. Kenapa dengan aunty Jamilah?" Iffat mula berasa tidak sedap hati dengan pertanyaan tiba-tiba ibunya itu.

"Beberapa hari lepas aunty Jamilah ada telefon ibu. Dia ada tanyakan tentang Iffat. Sudah berkahwin atau belum."

"Jadi?" Sampuk Iffat kerana dia sudah tahu ke mana halatuju perbualan ini.

"Kalau Iffat belum ada sesiapa lagi, dia nak masuk merisik dan meminang Iffat untuk Hail." Beritahu Puan Hanim. Akhirnya apa yang dia simpan beberapa hari sudah terluah. Terasa lega.

"Syed Hail Akasyah?" sebut Iffat dengan nada yang terkejut. Sudah lama dia tidak mendengar khabar sahabat baiknya sewaktu mereka masih di sekolah menengah sebelum terpisah kerana dia berpindah ke Ipoh waktu itu dan ketika itu dia bergaduh besar dengan Hail disebabkan salah faham.

Sehingga sekarang dia mendiamkan diri daripada Hail. Malah lelaki itu pun tidak pernah menghubunginya semenjak kejadian itu. Mungkin sang jejaka sudah bahagia dengan pilihan hidupnya.

"Ya, siapa lagi. Takkan Iffat dah lupakan Hail." Tidak mungkin anaknya sudah lupakan sahabat baik sendiri kerana Iffat dan Hail seperti belangkas.

"Ingat. Tapi kenapa dia?" Macam tiada lelaki lain. Dan setahunya yang Hail sudah mempunyai anak. Maknanya lelaki itu sudah berkahwin. Itupun kawan baiknya, Afrina yang memberitahunya.

"Kejap, bukan ke Hail dah kahwin? Dia dah ada anakkan." Sambung Iffat lagi. Dari mana dia tahu? Dari sahabat baiknya yang mengatakan Hail sudah mempunyai anak. Mungkin ayah dan ibunya tidak tahu akan perkara itu. Tetapi mustahil kerana ayah dan ibunya tidak tahu akan perkara itu kerana aunty Jamilah dan ibunya tetap berhubung hingga sekarang.

"Oh, itu anak saudara dia. Anak kepada arwah Mazlini."

"Kak Lini dah meninggal? Bila? Iffat tak tahu pun ibu." Terkejut dengan berita yang disampaikan oleh ibunya.

"Setahun yang lalu. Arwah Mazlini dan suaminya kemalangan dan mati di tempat kejadian."

Iffat mengangguk faham. Memang dia tidak tahu akan berita tersebut. Mungkin Hail ada post di facebook atau mana-mana sosial media tetapi dia sudah menyekat semua akaun lelaki itu termasuk nombor telefon Hail.

Cukuplah luka yang Hail berikan padanya sebelum ini. Lebih percayakan orang lain berbanding sahabat baik sendiri. Dan akhirnya menghancurkan persahabatan mereka.

"Jadi, Iffat macam mana? Setuju?" soal Puan Hanim tidak sabar mahu tahu kata putus dari anaknya.

"Tak setuju." Putus Iffat tanpa berfikir panjang. Untuk apa dia terima dan hidup dengan lelaki yang tidak percayakan dia?

"Kenapa? Hail itu baik budaknya." Puji Puan Hanim. Dia kenal Hail macam mana orangnya. Dan dia berkenan sangatlah kalau Hail yang menjadi menantunya.

Mencebik Iffat mendengar pujian Puan Hanim terhadap Hail. Baiklah sangat!

"Iffat naik atas dulu. Nak rehat." Lalu dia mengambil beg tangannya dan bangun menuju ke tingkat atas walaupun suara Puan Hanim memanggil namanya. Dia tahu selagi dia tidak memberi sebarang penjelasan, pasti ibunya akan mendesak.

Sangat sukar untuknya menerima lelaki itu lagi. Sakit kehilangan sahabat baik disebabkan salah faham dan fitnah amatlah perit. Parutnya masih ada. Ketika dia hidup tenang tanpa sebarang gangguan, kenapa Hail perlu muncul ketika ini?



Tulusly,

Hezy Rose.

 

No comments:

Post a Comment

Thank You for your comment.

Love,
Hezy Rose.