PROLOG
JANJI.
Ya, kami pernah berjanji untuk hidup semati sebelum mengikat tali pertunangan. Pernah berjanji untuk setia sehingga ke akhir hayat walau pelbagai badai melanda. Namun janji hanya tinggal janji. Janji sebelum aku dan Nuqman mendirikan rumah tangga dan juga janji seusai kami diijabkabulkan. Kini Nuqman sendiri yang memungkiri janji itu.
Lalu ada apa dengan janji?
Berita yang baru aku terima sangatlah memeritkan. Sangat menyakitkan. Kata-kata Nuqman ibarat pisau yang tajam menghiris hati aku satu persatu.
“Sayang, abang nak minta maaf kerana abang dah berkahwin lain.”
Bagai petir yang menyambar. Hati sudah jatuh terhempas di lantai. Berkecai saat ini. Aku terkaku saat mendengar khabar itu. Seperti mimpi sedangkan pada hakikatnya itu ialah realiti yang perlu aku hadapi. Aku tidak kuat.
Dan sebaik saja Nuqman pergi dari situ, aku menangis sepuasnya. Menangis seperti tiada hari esok. Tidak sangka aku akan dimadukan. Tidak pernah terlintas di fikiran aku saat ini begini takdir hidup aku.
Setahun kami berkahwin, Nuqman memilih untuk berkahwin lain. Adakah kerana kami tidak mempunyai anak?
Tapi alasan Nuqman lain.
“Abang minta maaf. Abang terlanjur berjanji dengan Laila untuk menikahi sebelum abang berjumpa sayang. Dan dia perlukan seseorang untuk menjaganya. Jadi abang rasa inilah yang terbaik.”
Alasan Nuqman sangatlah aku tidak dapat terima. Janji konon. Dasar pembohong. Padahal sudah lama bermain cinta di belakang aku. Aku saja yang bodoh dan buta selama ini.
Aku benci Nuqman!
Kenapa dia memilih untuk curang? Apa kurangnya aku dengan wanita itu?
Sakit hati apabila fikirkan semua itu. Sangat sakit. Dan lagi sakit apabila Nuqman sangat tidak adil. Dia lebihkan isteri mudanya daripada aku. Bukan sekali tapi berkali-kali. Aku cuba bertahan selagi aku mampu saat dia meminta aku memahaminya. Namun Nuqman tidak pernah cuba untuk faham apa yang aku rasa. Yang pasti, aku akan angkat kaki jua tapi tidak untuk masa sekarang kerana ada urusan aku dan Nuqman yang belum selesai.
Urusan apa? Biarlah aku saja yang tahu.
MUNCULNYA Laila di depan rumah aku pada hujung minggu saat aku sendirian di rumah sangatlah pelik. Belum pernah Laila datang ke rumah aku sepanjang lima bulan kami bermadu. Apa yang wanita itu mahukan? Nuqmankah? Setahu aku Nuqman memang tinggal dengan dia. Lalu kenapa perlu wanita itu muncul di sini?
“You nak apa Laila?” soal aku dengan lembut sambil berdiri memandangnya. Pagar tidak aku buka kerana tiada niat hendak menjemputnya masuk.
“Mana Nuqman?” berkerut dahi aku dengan soalan yang keluar dari mulut Laila yang mengenakan gincu merah menyala. Dikenakan pula rona tudung bawal yang juga warna merah, fuhh...wanita ini ingin ke mana sebenarnya?
“Kenapa you tanya I? Bukan ke Nuqman ada di rumah you ke?” Memang hujung minggu begini Nuqman akan ke rumah Laila. Menghabiskan masa bersama isteri mudanya. Dan aku seakan dilupakan selepas munculnya Laila sebagai orang ketiga dalam hidup kami.
“Kalau dia ada dengan I, tak adalah I cari dia.” Balas Laila sedikit bengang. Kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam rumah aku yang tidak ditutup pintunya.
“Then, I tak tahulah dia ke mana. Sejak dia beristeri muda ni, I malas nak ambil tahu dia ke mana. Rasanya you lebih tahu dia ke mana. Jadi, I rasa tak perlulah you cari dia di sini.”
Berubah wajah Laila ketika aku menyindirnya. Memang aku jarang ambil kisah ke mana Nuqman pergi. Bagi aku, sama saja dia ada atau tidak, aku tetap sendirian. Nuqman akan balik bila dia nak balik dan masanya banyak dihabiskan bersama Laila. Pada mulanya memang aku cemburu tetapi lama-lama aku sudah hilang rasa itu. Malas hendak ambil tahu.
“I tanya you elok-elok, jawablah elok-elok.” Kasar Laila membalas. Terasalah tu aku menyindirnya.
“I dah jawab elok-elokkan. You jangan risau, I tak ada niat nak sorokkan Nuqman daripada you. You tunggu sajalah. Bila tiba masanya, Nuqman hanya akan jadi milik you saja. You jangan risau, I tak berniat nak stay lama dengan lelaki yang tak berguna macam tu.”
Puas hati aku dapat meluahkan apa yang terbuku di hati yang selama ini aku hanya pendam. Tunggu masa saja untuk aku sembur depan Laila. Inilah kali pertama kami bertemu. Sebelum ini aku hanya mengenali Laila melalui Nuqman dan hanya melihat gambarnya saja. Belum bertemu mata dengan orangnya.
“Baguslah. I pun tak sabar nak tunggu waktu tu.” Laila tersenyum kemenangan.
“Jadi, apa lagi? Berambuslah!” sakit hati pula aku tengok senyuman perempuan itu. Huh! Dasar penyondol yang tak sedar diri. Kalau ikutkan hati yang sakit, aku bagi saja penampar tapi kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, aku tahan rasa itu.
.png)
.png)