Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Tuesday, September 27, 2022

NILUFER



 

 

 PROLOG

 

 

JANJI.

Ya, kami pernah berjanji untuk hidup semati sebelum mengikat tali pertunangan. Pernah berjanji untuk setia sehingga ke akhir hayat walau pelbagai badai melanda. Namun janji hanya tinggal janji. Janji sebelum aku dan Nuqman mendirikan rumah tangga dan juga janji seusai kami diijabkabulkan. Kini Nuqman sendiri yang memungkiri janji itu.

Lalu ada apa dengan janji?

Berita yang baru aku terima sangatlah memeritkan. Sangat menyakitkan. Kata-kata Nuqman ibarat pisau yang tajam menghiris hati aku satu persatu.

“Sayang, abang nak minta maaf kerana abang dah berkahwin lain.”

Bagai petir yang menyambar. Hati sudah jatuh terhempas di lantai. Berkecai saat ini. Aku terkaku saat mendengar khabar itu. Seperti mimpi sedangkan pada hakikatnya itu ialah realiti yang perlu aku hadapi. Aku tidak kuat.

Dan sebaik saja Nuqman pergi dari situ, aku menangis sepuasnya. Menangis seperti tiada hari esok. Tidak sangka aku akan dimadukan. Tidak pernah terlintas di fikiran aku saat ini begini takdir hidup aku.

Setahun kami berkahwin, Nuqman memilih untuk berkahwin lain. Adakah kerana kami tidak mempunyai anak?

Tapi alasan Nuqman lain.

“Abang minta maaf. Abang terlanjur berjanji dengan Laila untuk menikahi sebelum abang berjumpa sayang. Dan dia perlukan seseorang untuk menjaganya. Jadi abang rasa inilah yang terbaik.”

Alasan Nuqman sangatlah aku tidak dapat terima. Janji konon. Dasar pembohong. Padahal sudah lama bermain cinta di belakang aku. Aku saja yang bodoh dan buta selama ini.

Aku benci Nuqman!

Kenapa dia memilih untuk curang? Apa kurangnya aku dengan wanita itu?

Sakit hati apabila fikirkan semua itu. Sangat sakit. Dan lagi sakit apabila Nuqman sangat tidak adil. Dia lebihkan isteri mudanya daripada aku. Bukan sekali tapi berkali-kali. Aku cuba bertahan selagi aku mampu saat dia meminta aku memahaminya. Namun Nuqman tidak pernah cuba untuk faham apa yang aku rasa. Yang pasti, aku akan angkat kaki jua tapi tidak untuk masa sekarang kerana ada urusan aku dan Nuqman yang belum selesai.

Urusan apa? Biarlah aku saja yang tahu.

 

 


####

 

MUNCULNYA Laila di depan rumah aku pada hujung minggu saat aku sendirian di rumah sangatlah pelik. Belum pernah Laila datang ke rumah aku sepanjang lima bulan kami bermadu. Apa yang wanita itu mahukan? Nuqmankah? Setahu aku Nuqman memang tinggal dengan dia. Lalu kenapa perlu wanita itu muncul di sini?

“You nak apa Laila?” soal aku dengan lembut sambil berdiri memandangnya. Pagar tidak aku buka kerana tiada niat hendak menjemputnya masuk.

“Mana Nuqman?” berkerut dahi aku dengan soalan yang keluar dari mulut Laila yang mengenakan gincu merah menyala. Dikenakan pula rona tudung bawal yang juga warna merah, fuhh...wanita ini ingin ke mana sebenarnya?

“Kenapa you tanya I? Bukan ke Nuqman ada di rumah you ke?” Memang hujung minggu begini Nuqman akan ke rumah Laila. Menghabiskan masa bersama isteri mudanya. Dan aku seakan dilupakan selepas munculnya Laila sebagai orang ketiga dalam hidup kami.

“Kalau dia ada dengan I, tak adalah I cari dia.” Balas Laila sedikit bengang. Kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam rumah aku yang tidak ditutup pintunya.

Then, I tak tahulah dia ke mana. Sejak dia beristeri muda ni, I malas nak ambil tahu dia ke mana. Rasanya you lebih tahu dia ke mana. Jadi, I rasa tak perlulah you cari dia di sini.”

Berubah wajah Laila ketika aku menyindirnya. Memang aku jarang ambil kisah ke mana Nuqman pergi. Bagi aku, sama saja dia ada atau tidak, aku tetap sendirian. Nuqman akan balik bila dia nak balik dan masanya banyak dihabiskan bersama Laila. Pada mulanya memang aku cemburu tetapi lama-lama aku sudah hilang rasa itu. Malas hendak ambil tahu.

“I tanya you elok-elok, jawablah elok-elok.” Kasar Laila membalas. Terasalah tu aku menyindirnya.

“I dah jawab elok-elokkan. You jangan risau, I tak ada niat nak sorokkan Nuqman daripada you. You tunggu sajalah. Bila tiba masanya, Nuqman hanya akan jadi milik you saja. You jangan risau, I tak berniat nak stay lama dengan lelaki yang tak berguna macam tu.”

Puas hati aku dapat meluahkan apa yang terbuku di hati yang selama ini aku hanya pendam. Tunggu masa saja untuk aku sembur depan Laila. Inilah kali pertama kami bertemu. Sebelum ini aku hanya mengenali Laila melalui Nuqman dan hanya melihat gambarnya saja. Belum bertemu mata dengan orangnya.

“Baguslah. I pun tak sabar nak tunggu waktu tu.” Laila tersenyum kemenangan.

“Jadi, apa lagi? Berambuslah!” sakit hati pula aku tengok senyuman perempuan itu. Huh! Dasar penyondol yang tak sedar diri. Kalau ikutkan hati yang sakit, aku bagi saja penampar tapi kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, aku tahan rasa itu.

Sunday, September 11, 2022

DARLING - BAB 3

 

 


 

 

BAB 3

 

SYED HAIL AKASYAH duduk bersandar pada kerusi pejabat. Matanya merenung langit biru dari ruangan pejabatnya. Rasa sedikit tertekan dengan bebanan kerja dan juga masalah peribadi. Nafas yang terhela kedengaran berat sekali. Serabut memikirkan tentang Iffat lebih daripada kerja sendiri. Susah untuk dia mendekati Iffat kerana kesilapan lalu. Sehingga kini Iffat memilih untuk mendiamkan diri.

Apa yang patut dia lakukan untuk memujuk dan mendapatkan kemaafan dari Iffat?

iPhone yang terletak di atas meja dipandang. Untuk menelefon wanita itu, nombor telefonnya telah disekat oleh Iffat. Mungkin terganggu kerana kerap kali dia menghantar mesej pada wanita itu.

"Janna, masuk bilik I." Hail memanggil setiausahanya melalui interkom.

"Baik, bos." Sahut Janna.

Tidak sampai seminit, Janna muncul dalam ruangan ofis Hail. Berdiri di hadapan bosnya.

"Ada apa yang boleh saya bantu?" soal Janna berdiri di hadapan Hail.

"Saya ada tugasan untuk awak. Boleh awak beli jambangan bunga ros dan hantarkan pada alamat ini." Hail menghulurkan kertas yang berada di tangannya kepada Jannah.

Tidak mengapa, jika Iffat menyekat nombor telefonnya, dia akan menggunakan cara lain untuk memujuk wanita itu. Nasib baiklah Puan Hanim sudi membantunya untuk mendapatkan alamat tempat kerja Iffat.

"Okey, bos." Janna berlalu dari situ untuk melakukan apa yang bosnya arahkan.

Hail menyandarkan badannya dan mengukir senyuman manis dengan harapan Iffat sudi menerima bunga tersebut. Sedang leka berangan, iPhonenya berdiring minta diangkat.

"Ya, ma. Ada apa?" soal Hail sebaik saja menjawab salam mamanya.

"Hail balik sekarang. Marissa demam." Cemas kedengaran suara Puan Jamilah di hujung talian.

"Ya, Allah...baik, mama. Hail balik sekarang." Hail terus bergegas keluar dari ruangan biliknya dan sempat memberitahu Janna yang dia ada kecemasan.

Berdesup Hail memandu kerana terlalu risau akan keadaan Marissa. Dia tidak mahu perkara yang buruk berlaku ke atas anak saudaranya kerana Marissa merupakan amanah yang ditinggalkan oleh kakaknya. Dan dia sudah menganggap Marissa seperti anak sendiri.

Ketika dia tiba di rumah, doktor keluarganya sudah selesai memeriksa keadaan Marissa dan nasib baik keadaan anaknya itu baik-baik saja. Lega hatinya.

Hail duduk di tepi katil di sisi Marissa. Merenung Marissa yang sedang lena di atas katil. Tangannya naik mengelus rambut Marissa.

"Jangan takutkan daddy sayang."

Sebenarnya Marissa pernah demam panas dan dia hampir kehilangan anaknya jika terlambat membawa Marissa ke hospital. Dan dia menyalahkan diri sendiri kerana terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan anak perempuannya.

"Hail." Tegur Puan Jamilah yang baru saja menapak masuk ke dalam bilik Marissa.

"Ya, ma." Hail berpaling ke arah Puan Jamilah yang sedang menapak menghampiri katil.

"Jangan risau, Marissa baik-baik saja." Pujuk Puan Jamilah yang berdiri di tepi Hail. Dia tahu yang Hail risau akan keadaan Marissa.

"Macam mana Hail tak risau ma, tiba-tiba saja Marissa demam." Luah Hail yang masih lagi susah hati akan keadaan Marissa.

"Kuat sangat main semalam, itu sebabnya sampai demam hari ini. Dah la, jangan risau. Nanti kebah la demam Marissa tu." Puan Jamilah mengusap bahu si anak.

"Jom turun makan sementara Marissa tidur. Nanti dia bangun asyik nak berkepit dengan daddy saja kalau dah demam ni."

Ketawa Hail dengan kata-kata mamanya kerana memang itulah kenyataannya. Setiap kali demam atau sakit, Marissa sangat manja dengannya. Sikit-sikit daddy. Pantang dia hilang sekejap.

"Jomlah mama. Hail pun dah lapar ni."

Dua beranak itu melangkah keluar dari bilik tidur Marissa dan turun ke bawah untuk makan tengah hari.

"Macam mana hubungan Hail dengan Iffat?" soalan dari Puan Jamilah membuat Hail tidak jadi untuk suap nasi ke dalam mulut.

"Iffat sekat nombor telefon Hail, mama." Keluhan terlepas dari mulutnya.

Puan Jamilah ketawa mendengar jawapan anaknya.

"Tak kelakar mama. Geram pun ada juga dengan dia. Hail minta nak jumpa dia, terus dia sekat nombor Hail. Itupun Hail cuma mesej. Bukannya telefon dia pun. Kalau telefon, agaknya kena maki terus." Rungut Hail Akasyah kerana tidak puas hati dengan tindakan Iffat.

"Sabarlah. Pujuk Iffat elok-elok. Mama yakin dia akan maafkan Hail dan Iffat akan jadi menantu mama nanti." Pujuk Puan Jamilah dengan memberi kata-kata semangat untuk anaknya. Dan tidak berputus asa.

"Mama doakan ya. Hail rasa bersalah sangat dengan dia, mama." Sampai sekarang dia pegang rasa bersalah kerana kesilapan lalu.

"Mama sentiasa doakan anak mama." Senyum Puan Jamilah.



######




JAMBANGAN bunga ditenung lama. Kad di tangan sudah lama direnyuk sebaik saja dia membaca nama pengirim yang tertera di atas kad tersebut. Tidak faham bahasa betullah lelaki yang bernama Syed Hail Akasyah. Tidak dapat menghubungi dia melalui telefon, guna perkhidmatan penghantaran bunga pula. Dan dia tidak pelik apabila Hail tahu alamat tempat kerjanya. Siapa lagi kalau bukan ibunya yang memberitahu.

Takkan tak faham lagi bila orang dah tak suka, tak sukalah!

Huh!

Jadi satu kerja pula untuk dia bawa pulang ke rumah. Ingin saja dia campak dalam tong sampah tetapi banyak pula mata yang memerhati. Tidak mahu timbul gosip yang kurang enak di tempat kerjanya.

"Siapa buang bunga ni? Mahal pula tu." Bisik Puan Hanim sebaik saja melihat jambangan bunga ros yang masih elok sudah mendarat dalam tong sampah di luar rumah. Dia mengambil bunga yang masih elok itu dan dibawa masuk ke dalam rumah. Diambil bekas bunga kaca yang kosong dan diisi air ke dalam bekas tersebut.

"Bunga masih elok lagi. Membazir betul." Bebel Puan Hanim sendirian sambil menggeleng kepala kerana merasakan semua itu membazir. Rasanya dia tahu siapa punya kerja.

"Iffat!" Puan Hanim memanggil anak perempuannya. Sedikit menjerit memandangkan dia berada di ruang tamu.

Senyap dan tiada sahutan.

"Ish, ke mana pula budak ni." Sambil merungut, sambil membelek bunga ros yang masih lagi berbau harum.

"Iffat!" Sekali lagi Puan Hanim menjerit memanggil anak perempuannya itu.

"Ya, ibu. Ada apa?" jawab Iffat dengan kaki melangkah turun ke tingkat bawah. Bergegas dia turun apabila mendengar ibunya menyeru namanya dari bawah.

"Kenapa buang bunga ni?" Puan Hanim terus menyerang Iffat apabila melihat susuk tubuh anaknya yang berdiri tidak jauh darinya.

"Sebab Iffat tak suka." Senang Iffat menjawab. Macam mana ibunya boleh jumpa jambangan bunga ros yang dia buang di luar tadi? Sudah elok berada dalam vas kaca pun sekarang ini.

"Tak suka? Sejak bila anak ibu tak suka bunga ros?" Berkerut dahi Puan Hanim dengan jawapan si anak.

"Sejak pagi tadi," jawab Iffat lalu menghalakan kakinya ke arah sofa dan melabuhkan duduknya di situ. Bersandar pada belakang sofa dengan tenang.

Semakin berkerut dahi Puan Hanim dengan kata-kata Iffat.

"Tak suka bunga ros sejak pagi tadi," ulang Puan Hanim. Dia mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan si anak.

"Siapa yang bagi bunga ros tu?" soal Puan Hanim ingin tahu sebaik saja menyedari sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan tersebut.

"Syed Hail Akasyah." Jawab Iffat dengan perasaan sebal. Kalau boleh dia tidak mahu sebut pun nama lelaki itu. Benci.

"Oh, patutlah tiba-tiba saja tak suka bunga ros." Puan Hanim mengangguk faham. Tak suka betul anaknya pada Hail.

"Iffat masih ingat perkara yang lepas ke?" soal Puan Hanim ingin tahu. Dia jarang berbual dengan anaknya tentang kejadian itu kerana dia tidak mahu melukakan perasaan Iffat. Dan dia tahu Iffat mengambil masa yang lama untuk pulih daripada kejadian itu.

"Iffat dah lupakan tapi bila dengar saja nama jantan tu, luka lama berdarah kembali ibu. Kalau boleh Iffat tak nak pun jumpa dia lagi." Iffat harap ibunya faham akan apa yang dia rasa. Apa yang Hail buat pada dia dulu sangat melukakan hatinya.

"Memang tak boleh maafkan Hail?" soal Puan Hanim lagi. Kalau boleh dia tidak mahu Iffat terus menyimpan dendam dalam hati. Ya, dia tahu itu memang salah Hail dan apa yang Hail lakukan itu sangatlah tidak patut tetapi perkara sudah berlalu. Rasanya tidak perlu disimpan lagi.

"Entahlah ibu. Iffat perlukan masa untuk semua itu," berharap jawapannya ini memuaskan hati ibunya dan tiada lagi soalan seterusnya.

"Yalah tapi ingat pesanan ibu, jangan menyimpan dendam kerana tidak elok untuk hati. Percayalah bila kita memaafkan, hati kita akan lebih tenang." Puan Hanim meninggalkan pesanan sebelum bangun dan menuju ke dapur. Meninggalkan Iffat sendirian di ruang tamu.

Termenung Iffat dengan pesanan ibunya itu. Dia berdendamkah selama ini? Salahkah jika dia tidak dapat memaafkan Hail?

Dan kenapa Hail perlu muncul kembali dalam hidupnya setelah bertahun-tahun lelaki itu menghilang tanpa khabar berita daripada hidupnya? Benar-benar buat fikirannya serabut ketika ini.


ps: Don't forget to commment to unlock new chapter.


Tulusly,

Hezy Rose.