BAB 2
KEHILANGAN MELINDA menjadi kecoh. Apatah lagi Melina tidak tahu yang keluarga kekasih Melinda akan datang ke rumah mereka untuk merisik adiknya itu. Melissa menjumpai surat yang ditinggalkan oleh Melinda di dalam bilik. Fikirnya, Melinda keluar bersama rakan-rakan tetapi tidak. Rupanya Melinda telah lari meninggalkan rumah.
Dan kehadiran keluarga Megat Fitri di rumahnya disambut dengan baik walaupun Melinda tiada. Melina sendiri terkejut dengan kehadiran keluarga kekasih Melinda. Hari ini, baru dia tahu bahawa kekasih Melinda selama ini merupakan bos di tempat kerjanya.
Siapa tidak kenal dengan Tan Sri Zubir dan Puan Sri Farah di hotel itu. Dia sebagai pekerja perlulah tahu nama-nama itu. Dan juga nama bosnya sendiri, mestilah dia ingat, Megat Fitri walaupun dia tidak pernah terserempak dengan bosnya sepanjang dia bekerja di situ.
"Maaf Tan Sri, Puan Sri, saya tak tahu yang keluarga Tan Sri akan datang hari ini. Dan Melinda tidak memberitahu saya apa-apa pun." Jelas Melina serba-salah. Tidak tahu di mana dia hendak menyorokkan muka kerana malu dengan tindakan Melinda.
"Eh! Fitri cakap yang Lin dah bincang dengan keluarganya." Balas Puan Sri Farah terkejut.
"Tapi dia tak ada bincang apa-apa pun dengan saya. Termasuk kedatangan Puan Sri sekeluarga." Beritahu Melina. Jujur tanpa berselindung.
"Fit?" Puan Sri Farah meminta penjelasan daripada anak lelaki bongsunya itu.
"Are you sure, Melina? Betul Lin tak ada cakap apa-apa pada you?" soal Megat Fitri tidak berpuas hati.
"Ya, betul Encik Megat. Dan untuk pengetahuan Encik Megat, Melinda dah lari." Lebih baik Melina berterus-terang daripada berselindung. Lambat atau cepat, pasti Megat Fitri akan tahu.
"What? You jangan main-main Melina." Marah Megat Fitri. Risau Melina menipunya semata-mata ingin melindungi si adik.
"Saya tak tipu Encik Megat. Ini suratnya." Surat yang ditinggalkan oleh Melinda dihulurkan kepada lelaki itu.
"Damn it!" bentak Megat Fitri. Mukanya yang putih sudah bertukar rona. Perasaan marah mula membara di dalam hati.
Terkejut Melina dengan hentakan Megat Fitri di pada meja kayu. Terangkat bahunya.
"Tak guna, Melinda!" sumpah Megat Fitri.
"Sabar, Fit." Pujuk Puan Sri Farah. Tidak sangka hal ini akan berlaku.
"Saya minta maaf Tan Sri, Puan Sri buat pihak Melinda. Kami pun baru tahu yang Lin lari tinggalkan rumah. Itu pun selepas Melissa yang jumpa surat itu. Saya ingat dia keluar jumpa Encik Megat atau rakan-rakannya."
Melina memohon maaf dan menjelaskan perkara sebenar kepada tetamu yang hadir. Tidak mahu ada salah faham dan menganggap dia tidak mengambil berat tentang Melinda. Sekiranya dia tahu yang Melinda akan lari dari rumah, pasti dihalang adiknya itu.
"Kamu tak perlu minta maaf Melina. Bukan salah kamu. Dan kamu sendiri tidak tahu yang kami akan masuk meminang Lin hari ini." Balas Puan Sri Farah lembut. Dia tidak salahkah Melina kerana Melinda yang membuat keputusan sebegitu.
"Tapi..."
"Dah. Tak perlu salahkan diri sendiri. Kami minta diri dulu. Kalau ada apa-apa berita tentang Melinda, beritahu aunty nanti." Pesan Puan Sri Farah sebelum meminta diri untuk pulang.
Melina menghantar tetamu yang hadir di perkarangan rumahnya sehinggalah kereta-kereta mewah itu hilang dari pandangan matanya.
'Melinda, kenapa buat kak long macam ni?' bisik Melina di dalam hati.
"Sabarlah kak long." Pujuk Melissa. Cuba menenangkan hati kakak sulungnya yang resah ketika itu.
"Salah kak long ke kerana tidak pandai menjaga dan mendidik adik-adik kak long?" soal Melina perlahan.
"Tak. Bukan salah kak long. Tapi kak ngah tak fikir panjang." Melissa menggelengkan kepalanya. Dia tidak menyalahkan kakak sulungnya dengan tindakan kakak keduanya. Malah alasan yang diberikan oleh kak ngahnya tidak terlalu kukuh.
Kenapa perlu melarikan diri sedangkan perkara itu boleh dibawa berbincang?
******
KEDATANGAN Melinda disambut dingin oleh Megat Fitri. Hatinya masih sakit dengan tindakan Melinda yang membelakangkan dia dalam membuat keputusan walaupun dia tahu yang Melinda berhak membuat keputusan sendiri. Permohonan maaf Melinda seakan dipandang sepi kerana Megat Fitri ingin Melinda merayu padanya untuk memaafkan wanita itu tetapi tindakan itu sia-sia saja kerana Melinda tidak akan berganjak dari keputusan yang telah dibuat.
"I minta maaf, Fit. I sayangkan cita-cita I. Dan I tak nak terikat dengan sebarang hubungan sebelum I cita-cita I jadi kenyataan." Jelas Melinda. Dia datang memohon maaf kepada Megat Fitri. Dan tidak lama lagi dia akan berangkat ke Perancis untuk menyambung pelajarannya dalam bidang fesyen.
"I pernah cakap pada you Melinda. I takkan halang cita-cita you. Dan I nak kita cuma bertunang. That's it." Balas Megat Fitri dengan tegas. Keputusannya masih lagi tidak berubah.
"You tak faham, Fit. I tak nak ada sebarang ikatan. Itu yang you kena faham." Balas Melinda. Susah sangat ke Megat Fitri untuk memahami permintaannya itu?
"Kenapa? You takut hati you berubah?" tajam Megat Fitri memandang Melinda.
"Mungkin." Sepatah Melinda membalas. Kadang-kadang dia sendiri rasa ragu akan perasaannya terhadap Megat Fitri. Perasaan yang dibina sejak lima tahun yang lalu seakan hambar.
"Mungkin? So, you nak cakap yang selama ini perasaan you pada I bukan cinta?" tebak Megat Fitri.
"Tak. Bukan itu maksud I. I takut I atau you berubah hati nanti apabila kita berjauhan. Jadi, lebih baik kita bebas tanpa ikatan. Itu lebih baik I rasa. Sekurang-kurangnya, bila hati you berubah atau hati I berubah, tak adalah kita berdua terlalu sakit." Jelas Melinda. Cuba untuk memahamkan Megat Fitri.
"I tak faham, Melinda. Atau mungkin hati you dah berubah kepada lelaki lain?" teka Megat Fitri.
Melinda menelan liurnya. "You nak I jujur ke Fit?" soal Melinda.
"Jadi, betullah hati you dah berubah? You dah jumpa lelaki lain?" Megat Fitri cuba untuk menahan marahnya.
"Ya. Tapi I dengan dia cuma kawan saja. Tidak lebih daripada itu." Akui Melinda. Tidak perlu disorokkan dari Megat Fitri lagi.
Pengakuan Melinda melukakan hati Megat Fitri. Sangat terluka.
"Jadi, selama ini you curang di belakang I?" hampir saja Megat Fitri menjerit kerana geram dipermainkan oleh Melinda. Tetapi memikirkan mereka di tempat awam, dia kendurkan suaranya.
"No. I tak curang. I cuma berkawan. Sama macam you berkawan dengan kawan-kawan perempuan you." Balas Melinda. Tidak suka dituduh curang kerana dia dan lelaki tersebut tidak bercinta. Mereka cuma kawan sahaja.
"Fine. I terima. So, mulai hari ini kita putus Melinda. You dan I dah tak ada apa-apa hubungan. Tapi you jangan ingat I akan lepaskan you begitu saja." Akhirnya Megat Fitri memutuskan hubungan mereka. Tetapi terselit ugutan di hujung ayatnya.
Dan kenapa Melinda tidak merasai apa-apa. Malah dia berasa lega kerana tidak terikat dengan Megat Fitri lagi.
"I harap you masih anggap I sebagai kawan you," ujar Melinda. Dia tidak mahu bermasam muka dengan Megat Fitri.
"Kawan? In your dream. You musuh I. Begitu juga dengan orang di sekeliling you. Termasuk kakak kesayangan you tu. Tak lama lagi mungkin you akan tengok kakak kesayangan you kehilangan kerjanya."
Megat Fitri mengugut Melinda. Dendam mula membara di hatinya.
"I mohon pada you, jangan libatkan kak long. Dia tak salah. I yang salah." Melinda cuba untuk meminta simpati Megat Fitri tetapi tidak dihiraukan lelaki itu.
"Kenapa? Sebab dia kakak kesayangan you?" sinis Megat Fitri. "Selepas inikan you tak ada di Malaysia, mungkin dia boleh gantikan tempat you untuk I balas dendam." Ujar Megat Fitri tanpa perasaan.
"Fit, I mohon sangat pada you. Jangan libatkan kak long. Kalau you nak hukum I, hukumlah tapi jangan sesekali libatkan keluarga I." Melinda separuh merayu.
"Too late, Melinda." Ujar Megat Fitri sebelum bangun meninggalkan Melinda. Panggilan Melinda hanya angin yang lalu saja.
Pulang saja dari berjumpa dengan Megat Fitri, Melinda lebih banyak termenung memikirkan kata-kata ugutan Megat Fitri siang tadi. Risau akan keselamatan kakaknya, Melina.
"Kenapa termenung ni?" soal Melina apabila melihat adiknya termenung di anjung rumah. Tidak sampai seminggu Melinda lari dari rumah, adiknya pulang kembali. Memohon maaf kerana telah memalukan mereka sekeluarga.
"Eh! Kak long. Tak ada apa-apa kak long." Geleng Melinda sambil tersenyum. Tidak mahu menyusahkan kakaknya.
"Betul ni? Tapi kenapa kak long tengok wajah Lin risau saja?" sekali lagi Melina menyoal. Tidak berpuas hati dengan jawapan adiknya.
"Lin okey kak long. Cuma risau nak tinggalkan kak long dan adik-adik di rumah. Lin nak pergi jauh dan mungkin setahun sekali saja Lin balik." Beritahu Melinda. Cuba menyorok rasa hatinya itu.
"Jangan risau. Pandailah kak long jaga diri dan adik-adik. Tugas Lin sekarang ialah belajar. Jangan risaukan kami. Kejar cita-cita Lin sehingga Lin berjaya." Pujuk Melina. Memberi kata-kata semangat kepada adiknya.
"Tapi..."
"Dah. Jangan fikir sangat." Potong Melina. Dia tidak suka melihat Melinda susah hati begitu.
"Baiklah." Akhirnya Melinda mengalah. Tidak mahu mengusutkan lagi fikirannya dengan ugutan Megat Fitri. Mungkin lelaki itu sengaja mengugutnya memandangkan ketika itu lelaki itu sedang marah.
"Jaga diri elok-elok di sana." Pesan Melina sewaktu menghantar Melinda di KLIA.
"Baik kak long. Kak long pun jaga diri juga. Jangan asyik kerja saja. Jaga kesihatan kak long. Dan jaga adik-adik elok-elok." Melinda turut meninggalkan pesanan buat kakak sulungnya.
"Ya. Jangan risau," balas Melina. Mereka berdua berpelukan.
Tulusly,
Hezy Rose.

No comments:
Post a Comment
Thank You for your comment.
Love,
Hezy Rose.