BAB 9
SERABUT!
Itulah yang Nilufar rasa sekarang ini. Macam-macam dia
fikir. Soal kerja itu satu hal. Yang paling menyerabutkan fikirannya ketika ini
ialah pinangan Hazrel tempoh hari. Dia masih tidak menemui jawapan. Masih buntu
dan dalam dilema sama ada mahu menerima atau tidak lamaran tersebut.
“Luf.” Teguran Datin
Fatimah menyentak Nilufar dari lamunan panjang. Terus terlupa akan masalah yang
melanda dirinya ketika ini.
“Ya, ada apa
mama?” Nilufar berpaling memandang Datin Fatimah yang sedang berdiri di tepi
sofa.
“Jauh termenung.
Fikirkan apa?” soal Datin Fatimah lalu duduk di sebelah anaknya.
“Fikirkan tentang
lamaran Hazrel. Serabut betullah.” Adu Nilufar pada mama tersayang.
Tersenyum Datin
Fatimah dengan kata-kata anaknya itu. Dia tahu yang Nilufar memang anti dengan
Hazrel. Selepas kejadian tersebut, memang dia dilarang sama sekali bertanya
tentang Hazrel. Dan sekarang bekas teman lelaki anaknya muncul kembali. Dia
tahu yang Hazrel masih mempunyai perasaan pada Nilufar dan sering kali Hazrel
bertanya khabar tentang anaknya itu. Cuma dia tidak memberitahu perkara
tersebut kepada Nilufar kerana anaknya sendiri tidak mahu ambil tahu tentang
Hazrel.
“Tak payah serabut.
Terima saja pinangan Hazrel tu. Habis cerita.” Datin Fatimah memberi cadangan
bernas dan tidak perlulah anaknya pening kepala fikirkan masalah tersebut.
“Tak ada cadangan
lain ke mama? Kenapa Luf perlu terima pinangan dia? Kalau lelaki lain yang
masuk meminang Luf, mungkin Luf boleh pertimbangkan.” Balas Nilufar dan dia
teringin tahu apa pendapat mama tentang Hazrel. Sebelum ini dia tidak pernah
bertanya pada mama akan hal tersebut kerana ketika dia dan Hazrel bercinta, mamanya
tidak tahu. Mama tahu pun selepas dia putus dengan Hazrel.
“Hazrel itu lelaki
yang baik. Hormat orang tua dan yang paling penting dia sayangkan Luf. Mama berkenan
benar kalau dia jadi menantu mama. Manalah tahu hajat tak kesampaian mama tu
jadi kenyataan kalau Luf terima lamaran dia.”
Mencebik Nilufar
dengar pujian Datin Fatimah terhadap Hazrel.
Baik? Kalau baik, Hazrel
tidak akan sakitkan hatinya.
“Jangan benci
sangat Luf. Nanti bila rasa sayang tu datang balik, Luf juga yang malu. Masa tu
nak berenggang pun tak mahu agaknya.” Usik Datin Fatimah pada hujung ayatnya.
“Mama ni. Ada pula
cakap macam itu. Luf bukan bencikan dia. Cuma Luf takut dia akan sakitkan hati
Luf lagi.”
Ya! Itulah yang
dia risaukan sebenarnya. Takut akan disakiti oleh Hazrel sekali lagi.
“Mama yakin yang
Hazrel tak akan sakitkan hati Luf lagi. Percayalah. Dia lelaki yang setia. Jika
tidak pasti dia sudah mencari pengganti Luf sebelum ini. Dan percayalah cakap
mama yang Hazrel masih sayangkan Luf.”
Bersungguh-sungguh
Datin Fatimah cuba meyakinkan anaknya agar
menerima Hazrel. Dia tidak mahu Nilufar membuat kesilapan yang sama dalam
memilih lelaki. Cukuplah kerana dia tidak sanggup melihat anaknya menderita
lagi.
Entahlah, sukar
untuk Nilufar percaya apa yang mamanya katakan walaupun perkara itu sangatlah
betul. Buktinya sampai sekarang Hazrel masih lagi bujang dan hidup sendiri.
Tidak pula dia dengar Hazrel bercinta dengan mana-mana wanita. Atau dia tidak
pernah ambil tahu akan hal tersebut?
“Luf masih belum
ada jawapannya mama. Luf sendiri bingung. Patutkah Luf terima dia atau tidak?
Hati Luf tidak mampu memberi kata putus lagi.”
“Istikharah, Luf.
Minta pada DIA. Insya-Allah, Luf akan temui jawapannya.” Tepuk Datin Fatimah pada
Nilufar beberapa kali dengan lembut.
Itulah sebaiknya kerana petunjuknya ada pada Allah.
Hmmm...kenapalah
Hazrel perlu masuk meminangnya sekarang? Benarkah lelaki itu mahu merawat luka
di hatinya atau akan menambah luka yang sedia ada? Dan akan bahagiakah dia jika
dia menerima Hazrel sebagai suami?
Tulusly,
Hezy Rose.
.png)
No comments:
Post a Comment
Thank You for your comment.
Love,
Hezy Rose.