BAB 8
SENYAP kes Nuqman, Hazrel pula tiba-tiba buat hal. Yang dia tidak pernah jangka selama ini. Ingatkan sudah putus asa Hazrel mengejarnya tetapi lain pula yang jadi. Tanpa angin, tanpa khabar, tiba-tiba Tan Sri Ahmad dan Puan Sri Malaika datang meminang. Bukan merisik tetapi meminang terus. Kata mereka buat apa merisik kerana dia memang single sekarang ini.
Naik darahnya dengan tindakan Hazrel itu!
Dia meminta masa dari mereka berdua. Tidak terus menerima pinangan itu. Ingin berbincang dengan Hazrel terlebih dahulu. Juga meminta lelaki itu menarik kembali pinangan yang dia rasakan sangat mengarut ketika ini.
Sekarang ini dia sedang menanti Hazrel di kafe mama. Berjanji nak jumpa dengannya pukul 3.30 petang tetapi sekarang masih tidak nampak batang hidung lelaki itu. Betullah yang Hazrel memang tidak berubah. Malam makan malam bersama dengannya tempoh hari saja Hazrel tepati waktu. Kena ugut dulu baru reti tepati masa agaknya.
“Jangan mengeluh. Tak baik.”
Suara yang berbisik betul-betul di tepi telinganya membuat bola roma dia menegak. Dia berpaling ke sisi. Terkejut dengan keadaan kami yang sangat rapat. Hanya tinggal seinci jarak muka kami. Dengan pantas dia menjauh.
Nilufar pandang kiri kanan. Manalah tahu mama tengok adegan tersebut. Mati dia nanti!
“Baru nak tunjuk muka. Lima minit you lambat, Hazrel!” marah Nilufar sambil mata mengekori langkah Hazrel yang beralih bertentangan dengan tempat duduknya.
“Maaf. Tadi I ada mesyuarat di Shah Alam. Tak bermaksud untuk buat you tunggu lama. Kira halal la lima minit tu.” Ujar Hazrel sambil menarik kerusi di hadapan dan melabuhkan duduknya di situ. Dia tidak sempat hendak memaklumkan pada Nilufar akan kelewatannya memandangkan dia singgah solat Asar dan terus ke sini.
Tidak pula Hazrel beritahunya semalam yang lelaki itu ada mesyuarat di Shah Alam hari ini. Kalau dia tahu, dia batalkan saja temu janji hari ini. Jadi, tidak perlulah Hazrel bergegas ke sini. Kesian pula dia tengok wajah kepenatan itu.
“Nevermind. So, you nak minum apa? Makan?” Nilufar bertolak ansur dengan Hazrel. Dia faham kerana dia pun pernah berada dalam situasi Hazrel.
“I nak Americano ais dan red velvet cheesecake.” Jawab Hazrel tanpa menolak pelawaan Nilufar memandangkan dia lapar ketika ini walaupun sudah makan tengah hari tadi.
“Sekejap. I pergi ambil.” Nilufar bangun meninggalkan Hazrel di situ. Tiba-tiba rasa kekok pula untuk bercakap dengan Hazrel soal itu. Semalam dia yang beria-ria untuk berjumpa dengan Hazrel dan hari ini seakan kehilangan kata-kata pula.
Aih! Nilufar! Apa nak jadi dengan kau ni?
Americano ais dan kek red velvet dia letakkan di atas meja. Betul-betul di depan Hazrel. Lalu dia duduk kembali di atas kerusi tadi.
“Thank you, Luf. You ke yang buat kopi ni?” soalan Hazrel buat dia ingin cekik lelaki itu. Sengaja bertanya sedangkan Hazrel tahu yang dia memang gagal kalau buat air kopi. Tak tahu kenapa, setiap kali buat kopi pasti terlalu pahit. Jika tidak pahit, terlebih manis.
“Sudah gahuru, cendana pula. Sudah tahu, tanya pula buat apa.”
Muncung Nilufar. Hazrel memang sengaja nak kenang kisah tujuh tahun lepas agaknya. Di mana Hazrel terpaksa minum air kopi yang dia buat terlalu pahit. Sebab sayang, lelaki itu rela telan. Bila dikenang kembali, terasa lucu pula.
Hazrel gelak. Teringat kisah dulu buatkan dia ingin ketawa kerana terpaksa menelan air kopi itu walaupun pahit. Kerana tidak mahu Nilufar merajuk, jadi terpaksalah dia jaga hati wanita kesayangannya itu.
Sudah lama dia tidak melihat Hazrel gelak seperti tadi. Kali terakhir, enam tahun lepas sebelum kami berpisah. Ya, sudah terlalu lama.
“Ada apa you nak jumpa I sangat ni?” soalan Hazrel mengingatkannya akan tujuan utama dia meminta Hazrel untuk ke sini. Hampir terlupa pula.
Tanpa bertangguh, dia terus bertanya soalan yang ingin ditanya sejak dari hari Tan Sri Ahmad dan Puan Sri Malaika masuk meminangnya. Tetapi memandangkan Hazrel sentiasa sibuk, dia tidak punya peluang itu.
“Kenapa you masuk meminang I?” soalnya dengan serius. Dan senyuman Hazrel buat dia ingin ketuk kepala lelaki ketika ini. Dia tidak mahu senyuman itu kerana dia risau hatinya bakal cair nanti.
“Janganlah garang sangat! Takut I.” Komen Hazrel yang sengaja hendak menyakat Nilufar yang kelihatan serius. Memang dia meminta ayah dan ibunya masuk meminang Nilufar kerana dia tidak mahu main tarik tali dan juga kehilangan Nilufar buat kali kedua. Cukuplah dia lepaskan Nilufar pada Nuqman dulu sedangkan hatinya benar-benar terluka ketika dia tahu yang Nilufar sudah berkahwin.
“I tanya soalan lain. Yang you jawab tu tak ada kaitan dengan soalan yang I tanya.” Balas Nilufar geram. Sengaja hendak menguji kesabarannya agaknya.
“Yalah. I jawab. You dengar ni baik-baik. Lepas ni I takkan ulang balik apa yang I cakap.”
Berdebar pula hatinya ketika ini dengan tutur Hazrel itu. Apa jawapan yang bakal Hazrel berikan?
Hazrel berdeham sebelum bersuara.
“I masuk meminang you kerana I masih cintakan you. Bagi I peluang untuk merawat luka-luka yang I tinggalkan dan lindungi you dari Nuqman. I nak bahagiakan you, Luf. I tak nak you menangis lagi. Dan I nak lindungi you daripada Nuqman. I tahu yang dia ada ganggu you. Jadi, tolong terima lamaran I. Biar I yang jaga you mulai sekarang.”
Luahan hati Hazrel cukup membuat Nilufar jadi patung buat seketika. Dia rasa luahan itu sangat ikhlas. Dia cuba mencari pembohongan dari mata itu tetapi lain yang dia jumpa. Pandangan mata Hazrel padanya tidak pernah berubah.
Hazrel masih cintakan dia. Setelah dia memilih untuk berkahwin dengan Nuqman dan melupakan cinta lama, masih wujud perasaan cinta terhadapnya? Dia sangka Hazrel telah melupakan dirinya memandangkan dia juga turut melukakan hati Hazrel ketika dia memilih untuk berkahwin dengan Nuqman.
Kenapa perasaan itu datang lagi selepas bertahun lamanya hilang sebaik saja dia membuat keputusan untuk melupakan Hazrel setelah lelaki itu memilih cita-citanya berbanding dirinya. Dan jantungnya berdegup kencang saat mendengar pengakuan Hazrel yang benar-benar mengejutkannya.
Dari mana Hazrel tahu yang Nuqman masih menganggunya? Tidak pernah dia ceritakan pada Hazrel tentang perkara itu. Adakah lelaki itu mengintipnya selama ini?
“Nilufar.” Panggil Hazrel setelah melihat wanita itu hanya diam tanpa membalas apa-apa. Nilufar kelihatan seperti termenung jauh.
“Nilufar.” Sekali lagi Hazrel memanggil berserta ketukan di meja.
“Errr...Ya.” Tersentak Nilufar kerana terkejut dengan bunyi yang kuat di telinganya. Dia mengelipkan mata beberapa kali dan memandang Hazrel. Lelaki itu sedang memandang wajahnya.
“You dengar tak apa yang I cakapkan tadi?”
“Dengar.” Angguk Nilufar dalam teragak-agak kerana dia tidak pasti apa yang Hazrel cakap itu dia betul atau sekadar ilusi saja.
“Jadi, you terima tak lamaran I?” soal Hazrel yang sudah tidak sabar hendak mendengar jawapan dari mulut Nilufar.
Sejak dari dia meminta ayah dan ibunya masuk meminang lagi tapi tetapi ibunya memberitahu yang Nilufar meminta masa. Sehingga hari ini dia masih memberi masa yang Nilufar minta. Dan dia berharap sangat yang Nilufar akan memberikan jawapan itu dengan segera.
Soalan Hazrel sangat sukar untuk dijawab oleh Nilufar ketika ini. Dia tidak tahu apa yang dia rasa saat ini pada Hazrel kerana dia masih ragu-ragu dengan perasaan sendiri. Sebahagian perasaannya tidak mahu menerima Hazrel kerana takut akan disakiti lagi. Dan sebahagian lagi terasa bahagia apabila mengetahui yang Hazrel masih cintakannya.
Entah! Dia tidak punya jawapan sekarang kerana dia keliru. Tidak mahu membuat keputusan yang terburu-buru kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Luf.” Panggil Hazrel kerana dia melihat Nilufar seakan banyak termenung. Adakah dia terlalu memaksa wanita yang berada di depannya ini?
“I don’t know Haz. I don’t have answer yet for your proposal.” Jujur Nilufar memberitahu Hazrel. Ya! Dia berada dalam dilema ketika ini.
“I tak bermaksud untuk memaksa you terima I tetapi I janji dengan you yang I takkan sakiti hati you lagi. I hanya nak tengok you bahagia, Luf.”
Saat Hazrel menuturkan janji itu, dia tidak percaya kerana percayakan janji seorang lelaki, dia dilukai dan hari ini dia bergelar janda.
“Give me time, Hazrel. One week. Lepas tu, kalau jawapan I tidak sama seperti yang you harapkan, I harap you terima dengan hati yang terbuka.”
Pinta Nilufar. Dia tidak akan memberi jawapan tika hatinya sendiri tidak pasti apa yang dia rasakan ketika ini. Bukan dia ingin memberi harapan pada Hazrel tetapi dia cuba untuk memberi jawapan yang terbaik untuk lamaran tersebut. Tidak adil jika dia terus menolak lamaran Hazrel. Mungkin Hazrel patut diberikan peluang kedua?
“Terima kasih, Luf. Dan I sentiasa doa semoga jawapan you nanti berpihak pada I.”
Hazrel bersyukur kerana Nilufar tidak terus menolak pinangannya. Sekurang-kurangnya dia masih ada peluang untuk mendapatkan wanita yang dia cintai. Yang perlu dia buat sekarang ini ialah berdoa supaya hati Nilufar menjadi miliknya kembali.
“Jangan terlalu berharap, Haz. I takut you akan kecewa nanti.” Dia tidak mahu Hazrel letak harapan yang terlalu tinggi pada sesuatu yang tidak pasti. Tidak mahu lelaki itu kecewa di kemudian hari.
“Jangan risau, Luf. I yakin yang keputusan you nanti berpihak pada I.”
Hazrel yang sekarang masih sama dengan Hazrel yang dulu. Penuh dengan keyakinan. Dia suka dengan keyakinan yang dimiliki oleh Hazrel. Cuma dia tidak mahu Hazrel kecewa nanti jika keputusan yang dia berikan sebaliknya.
“Up to you, Hazrel. I cuma tak nak you terlalu yakin kerana kelak you akan kecewa.”
Pesanan itu, dia harap Hazrel ingat. Itu saja.
Semoga dia dapat membuat keputusan yang terbaik dan tidak menyakiti mana-mana pihak. Itu saja.
“Tapi dari mana you tahu Nuqman masih ganggu I? I tak pernah cerita pada you pun.” Soal Nilufar ingin tahu. Sesuatu betul apabila Hazrel tahu tentang itu.
“Daripada mama you. Dia yang cerita pada I masa I terserempak dekat majlis amal tempoh hari.”
“Apa?”
Terkejut dengan jawapan Hazrel itu. Tidak sangka pula yang mama akan beritahu Hazrel tentang perkara itu.
Aduh, sengaja mama letak dia dalam dilema. Dan patutlah mama seakan beria dan minta dia menerima lamaran Hazrel. Aduhai, mama!
“Jangan marah mama you. Dia risaukan you, Luf. Sebab itulah dia bagitahu I dan minta I jaga you, Luf.”
Tersandar Nilufar sebaik saja dengar penjelasan Hazrel. Aduh, mama. Sengaja cari masalah.
“I okey, Haz. You tak payah risau,” ujarnya kerana tidak mahu Hazrel terlalu risau. Dan dia juga tidak mahu Hazrel masuk campur tentang hidupnya. Tahulah macam mana dia hendak uruskan nanti.
“I tahu tapi you belum kenal Nuqman sepenuhnya Luf. Memang dia bekas suami you tapi you tak tahu macam mana Nuqman bila dia berkeras hendakkan you.”
Hati mula diterpa perasaan bimbang selepas mendengar kata-kata Hazrel itu. Ya, Hazrel benar. Dia belum kenal Nuqman sepenuhnya lagi memandangkan perkahwinan kami terlalu singkat untuk dia nilai perangai Nuqman sepenuhnya.
“I harap you fikir baik-baik sebelum buat keputusan. I nak jaga you dan lindungi you, Luf. Bagi I peluang untuk menjadi pelindung you. Dan ingat, cinta I pada you masih sama. Tidak pernah berubah.”
Melihat pandangan Hazrel penuh mengharap dan terlalu risau akan dirinya, hatinya mula berbolak-balik. Rasa bahagia apabila Hazrel menunjukkan yang lelaki terlalu mengambil berat akan dirinya.
“You doa banyak-banyak Haz kerana hati I, Allah yang pegang.”
Hanya jawapan itu yang Nilufar mampu berikan buat masa sekarang.
“I will, Luf.”
.png)
No comments:
Post a Comment
Thank You for your comment.
Love,
Hezy Rose.