BAB 10
KEPUTUSAN yang Hazrel nantikan itu, Nilufar sudah ada jawapan untuk diberikan. Dia berharap sangat yang jawapannya ini tidak akan membuat mana-mana pihak terluka. Sudah puas dia fikir dan muhasabah diri sendiri, dan keputusan ini muktamad! Tiada desakan atau campur tangan mana-mana pihak. Dia yakin dengan keputusan ini. Keputusan yang dia buat ini berdasarkan akal yang waras dan bukan kerana emosi.
Sekarang, di depannya ada Hazrel yang sedang menanti jawapan untuk lamaran tempoh hari. Lebar senyuman Hazrel hari ini. Berseri-seri wajahnya. Seakan bakal mendapat perkhabaran gembira sekejap lagi.
Lama Nilufar pandang Hazrel. Dia terfikir, akan ada lagikah senyuman itu atau akan sirna selepas dia memberi kata putus pada lamaran itu? Atau mungkin Hazrel akan terus mendesaknya?
“Ehem!” Nilufar membetulkan suaranya terlebih dahulu. Dia sudah bersedia walaupun hatinya rasa berdebar ketika ini.
“Hazrel...” panggil Nilufar dengan matanya memandang wajah Hazrel. Sangat kacak!
Nafas ditarik terlebih dahulu sebelum memberitahu keputusannya. Dia berharap sangat Hazrel dapat menerima dengan hati yang lapang.
“Ya, Luf sayang. I dengar.” Selamba Hazrel memanggil Nilufar ‘sayang’. Mata lelaki itu menikam anak mata Nilufar lembut. Menghantar apa yang dia rasa pada wanita yang dia cintai sejak dari dulu lagi.
“I……” Nilufar berjeda panjang cuba menenangkan perasaannya ketika ini. Berdebar.
“I terima pinangan you.”
Senafas. Rasa lega selepas menuturkan apa yang tersimpan dalam hatinya. Terasa ringan bahunya selepas meluahkan apa yang dia simpan.
Lebar Hazrel mengukir senyuman selepas mendengar keputusan Nilufar. Dia berharap dia tidak salah dengar.
“I tak salah dengarkan? You terima pinangan keluarga I kan?”
“Ya.” Nilufar mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Hazrel.
“Alhamdulillah. Terima kasih Luf kerana bagi I peluang untuk bahagiakan you.”
Nafas lega ditarik. Dia bersyukur kerana Nilufar memilih untuk menerima pinangannya dan memberi peluang kepadanya. Dan dia tidak akan sia-siakan peluang yang ada ini. Cukuplah sekali dia hilang Nilufar dan tidak untuk kali ini.
Lebar senyuman Hazrel terukir pada bibir lelaki itu. Jelas sekali yang Hazrel gembira dengan berita yang dia sampaikan ini. Sudah hilang ketegangan pada wajahnya. Nilufar suka melihat senyuman Hazrel itu. Memukau hatinya.
“Terima kasih kerana bagi I peluang untuk bahagiakan you,” ujar Hazrel. Dia begitu yakin yang Nilufar menerima pinangannya dan apa yang dia sangka, memang itulah yang terjadi.
“Janji dengan I yang you takkan tinggalkan dan sakiti hati I lagi.” Nilufar menagih janji walaupun sebelum ini dia sedikit ragu untuk menerima dan memberi peluang sekali lagi kepada Hazrel.
“I tak nak berjanji dengan you Luf kerana I risau I akan mungkiri janji itu. Tapi I nak you tahu, selagi I ada di sisi you, I akan jaga you dan tidak akan sakiti you lagi. Malah I akan bawa you ke mana saja I pergi.”
Terukir senyuman pada bibir Nilufar mendengar kata-kata Hazrel. Ya, lelaki yang sedang duduk di depannya ini benar, jika mengukir janji, pasti akan dimungkiri dan hati sendiri yang akan sakit dikemudian hari. Sama seperti janji yang pernah Nuqman ukir padanya suatu ketika dahulu dan akhirnya dimungkiri. Akhirnya dia yang tersakiti.
“Terima kasih, Haz.”
Masing-masing tersenyum gembira tanpa mereka sedar ada mata yang memandang pasangan itu dengan perasaan cemburu. Nuqman mengepal penumbuk kerana sakit hati melihat wanita yang dia cintai tersenyum bahagia pada lelaki lain.
“Kau tunggu, aku akan balas semua ini!” ujar Nuqman penuh dendam.
Pulang dari berjumpa Hazrel, Nilufar duduk di ruang tamu melepaskan lelah. Rasa lega dengan keputusan yang dia buat. Kepalanya tidak lagi berat memikirkan tentang pinangan Hazrel.
“Dah balik? Macam mana pertemuan dengan Hazrel? Pasti dia gembirakan?” soal Datin Fatimah sebaik saja aku meletakkan punggung di atas sofa.
“Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar mama. Ya, Haz sangat gembira,” ujar Nilufar dengan senyuman terukir di bibir. Tidak lagi terpapar wajah dilanda masalah. Terasa ringat beban ketika ini.
“Alhamdulillah. Terbuka juga hati Luf untuk kahwin lagi. Mama rasa dah boleh mula buat persiapan perkahwinan ni.” Teruja betul Datin Fatimah dengan keputusan anaknya. Bersyukur kerana Nilufar akhirnya menerima Hazrel. Impiannya hendak bermantukan Hazrel akhirnya menjadi kenyataan.
“Kita buat kecil-kecil sudah mama.” Cadang Nilufar walaupun belum berbincang apa-apa lagi dengan Hazrel. Selepas perjumpaan tadi, Hazrel terpaksa bergegas pergi memandangkan lelaki itu ada kerja. Mungkin dia akan cari masa yang sesuai untuk berbincang tentang perkara itu.
“Mana boleh macam itu. Hazrel belum naik pelamin lagi. Mesti dia nak ada kenangan dengan wanita yang dia cintai. Dan Luf pun samakan?”
Bantah Datin Fatimah tidak setuju dengan cadangan anaknya itu. Walaupun Nilufar pernah berkahwin sebelum ini, tidak salah jika sekali lagi anaknya naik pelamin. Menghebohkan perkahwinan itu perkara baik.
“Nanti Luf bincang dengan Haz dulu. Apa-apa nanti Luf akan bagitahu mama.” Putus Nilufar memandangkan keputusan Hazrel juga penting kerana bukan dia sorang yang bergelar pengantin. Hazrel merupakan pengantin lelaki dan pendapat lelaki itu juga diperlukan. Dan dia tidak boleh pentingkan diri dalam hal ini.
“Okey.” Angguk Datin Fatimah setuju dengan kata-kata anaknya.
“Mama gembira sangat bila Luf buka hati untuk terima Hazrel. Risau jika Luf tak nak terima sesiapa lagi dalam hidup Luf.”
Nilufar mengukir senyuman buat Datin Fatimah sebelum membalas kata-kata mamanya.
“Berkat doa mama juga. Mungkin dengan doa mama, Allah bukakan pintu hati Luf untuk terima Hazrel. Dan Luf yakin dengan istikharah yang Luf buat. Mungkin Hazrel lelaki yang terbaik dalam hidup Luf.”
“Insya-Allah. Mama tahu Hazrel seorang lelaki yang baik. Yang mampu jaga anak mama yang manja ni.” Datin Fatimah mengusap kepala anaknya lembut.
“Terima kasih mama sebab sentiasa ada bersama Luf.” Tangannya naik memeluk mama erat lalu mengucup pipinya. Tanda terima kasih kerana mama sentiasa menyokongnya dan ada bersama waktu jatuh bangunnya.
“Luf anak mama. Doa mama sentiasa mengiringi setiap langkah Luf.”
Dia sangat bersyukur kerana masih ada mama dan papa yang sentiasa mendoakannya. Sentiasa ada ketika dia dalam kesedihan dan patah hati. Mamalah yang sentiasa memberi kata-kata semangat untuk dia terus bangkit kembali. Jika tidak, dia tidak mampu bertahan sehingga ke hari ini.
Tulusly,
Hezy Rose.
.png)
No comments:
Post a Comment
Thank You for your comment.
Love,
Hezy Rose.