Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Tuesday, May 2, 2023

NILUFER [EBOOK]

 



BAB 10


KEPUTUSAN yang Hazrel nantikan itu, Nilufar sudah ada jawapan untuk diberikan. Dia berharap sangat yang jawapannya ini tidak akan membuat mana-mana pihak terluka. Sudah puas dia fikir dan muhasabah diri sendiri, dan keputusan ini muktamad! Tiada desakan atau campur tangan mana-mana pihak. Dia yakin dengan keputusan ini. Keputusan yang dia buat ini berdasarkan akal yang waras dan bukan kerana emosi.

Sekarang, di depannya ada Hazrel yang sedang menanti jawapan untuk lamaran tempoh hari. Lebar senyuman Hazrel hari ini. Berseri-seri wajahnya. Seakan bakal mendapat perkhabaran gembira sekejap lagi.

Lama Nilufar pandang Hazrel. Dia terfikir, akan ada lagikah senyuman itu atau akan sirna selepas dia memberi kata putus pada lamaran itu? Atau mungkin Hazrel akan terus mendesaknya?

“Ehem!” Nilufar membetulkan suaranya terlebih dahulu. Dia sudah bersedia walaupun hatinya rasa berdebar ketika ini.

“Hazrel...” panggil Nilufar dengan matanya memandang wajah Hazrel. Sangat kacak!

Nafas ditarik terlebih dahulu sebelum memberitahu keputusannya. Dia berharap sangat Hazrel dapat menerima dengan hati yang lapang.

“Ya, Luf sayang. I dengar.” Selamba Hazrel memanggil Nilufar ‘sayang’. Mata lelaki itu menikam anak mata Nilufar lembut. Menghantar apa yang dia rasa pada wanita yang dia cintai sejak dari dulu lagi.

“I……” Nilufar berjeda panjang cuba menenangkan perasaannya ketika ini. Berdebar.

“I terima pinangan you.”

Senafas. Rasa lega selepas menuturkan apa yang tersimpan dalam hatinya. Terasa ringan bahunya selepas meluahkan apa yang dia simpan.

Lebar Hazrel mengukir senyuman selepas mendengar keputusan Nilufar. Dia berharap dia tidak salah dengar.

“I tak salah dengarkan? You terima pinangan keluarga I kan?”

“Ya.” Nilufar mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Hazrel.

“Alhamdulillah. Terima kasih Luf kerana bagi I peluang untuk bahagiakan you.”

Nafas lega ditarik. Dia bersyukur kerana Nilufar memilih untuk menerima pinangannya dan memberi peluang kepadanya. Dan dia tidak akan sia-siakan peluang yang ada ini. Cukuplah sekali dia hilang Nilufar dan tidak untuk kali ini.

Lebar senyuman Hazrel terukir pada bibir lelaki itu. Jelas sekali yang Hazrel gembira dengan berita yang dia sampaikan ini. Sudah hilang ketegangan pada wajahnya. Nilufar suka melihat senyuman Hazrel itu. Memukau hatinya.

“Terima kasih kerana bagi I peluang untuk bahagiakan you,” ujar Hazrel. Dia begitu yakin yang Nilufar menerima pinangannya dan apa yang dia sangka, memang itulah yang terjadi.

“Janji dengan I yang you takkan tinggalkan dan sakiti hati I lagi.” Nilufar menagih janji walaupun sebelum ini dia sedikit ragu untuk menerima dan memberi peluang sekali lagi kepada Hazrel.

“I tak nak berjanji dengan you Luf kerana I risau I akan mungkiri janji itu. Tapi I nak you tahu, selagi I ada di sisi you, I akan jaga you dan tidak akan sakiti you lagi. Malah I akan bawa you ke mana saja I pergi.”

Terukir senyuman pada bibir Nilufar mendengar kata-kata Hazrel. Ya, lelaki yang sedang duduk di depannya ini benar, jika mengukir janji, pasti akan dimungkiri dan hati sendiri yang akan sakit dikemudian hari. Sama seperti janji yang pernah Nuqman ukir padanya suatu ketika dahulu dan akhirnya dimungkiri. Akhirnya dia yang tersakiti.

“Terima kasih, Haz.”

Masing-masing tersenyum gembira tanpa mereka sedar ada mata yang memandang pasangan itu dengan perasaan cemburu. Nuqman mengepal penumbuk kerana sakit hati melihat wanita yang dia cintai tersenyum bahagia pada lelaki lain.

“Kau tunggu, aku akan balas semua ini!” ujar Nuqman penuh dendam.

Pulang dari berjumpa Hazrel, Nilufar duduk di ruang tamu melepaskan lelah. Rasa lega dengan keputusan yang dia buat. Kepalanya tidak lagi berat memikirkan tentang pinangan Hazrel.

“Dah balik? Macam mana pertemuan dengan Hazrel? Pasti dia gembirakan?”  soal Datin Fatimah sebaik saja aku meletakkan punggung di atas sofa.

“Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar mama. Ya, Haz sangat gembira,” ujar Nilufar dengan senyuman terukir di bibir. Tidak lagi terpapar wajah dilanda masalah. Terasa ringat beban ketika ini.

“Alhamdulillah. Terbuka juga hati Luf untuk kahwin lagi. Mama rasa dah boleh mula buat persiapan perkahwinan ni.” Teruja betul Datin Fatimah dengan keputusan anaknya. Bersyukur kerana Nilufar akhirnya menerima Hazrel. Impiannya hendak bermantukan Hazrel akhirnya menjadi kenyataan.

“Kita buat kecil-kecil sudah mama.” Cadang Nilufar walaupun belum berbincang apa-apa lagi dengan Hazrel. Selepas perjumpaan tadi, Hazrel terpaksa bergegas pergi memandangkan lelaki itu ada kerja. Mungkin dia akan cari masa yang sesuai untuk berbincang tentang perkara itu.

“Mana boleh macam itu. Hazrel belum naik pelamin lagi. Mesti dia nak ada kenangan dengan wanita yang dia cintai. Dan Luf pun samakan?”

Bantah Datin Fatimah tidak setuju dengan cadangan anaknya itu. Walaupun Nilufar pernah berkahwin sebelum ini, tidak salah jika sekali lagi anaknya naik pelamin. Menghebohkan perkahwinan itu perkara baik.

“Nanti Luf bincang dengan Haz dulu. Apa-apa nanti Luf akan bagitahu mama.” Putus Nilufar memandangkan keputusan Hazrel juga penting kerana bukan dia sorang yang bergelar pengantin. Hazrel merupakan pengantin lelaki dan pendapat lelaki itu juga diperlukan. Dan dia tidak boleh pentingkan diri dalam hal ini.

“Okey.” Angguk Datin Fatimah setuju dengan kata-kata anaknya.

“Mama gembira sangat bila Luf buka hati untuk terima Hazrel. Risau jika Luf tak nak terima sesiapa lagi dalam hidup Luf.”

Nilufar mengukir senyuman buat Datin Fatimah sebelum membalas kata-kata mamanya.

“Berkat doa mama juga. Mungkin dengan doa mama, Allah bukakan pintu hati Luf untuk terima Hazrel. Dan Luf yakin dengan istikharah yang Luf buat. Mungkin Hazrel lelaki yang terbaik dalam hidup Luf.”

“Insya-Allah. Mama tahu Hazrel seorang lelaki yang baik. Yang mampu jaga anak mama yang manja ni.” Datin Fatimah mengusap kepala anaknya lembut.

“Terima kasih mama sebab sentiasa ada bersama Luf.” Tangannya naik memeluk mama erat lalu mengucup pipinya. Tanda terima kasih kerana mama sentiasa menyokongnya dan ada bersama waktu jatuh bangunnya.

“Luf anak mama. Doa mama sentiasa mengiringi setiap langkah Luf.”

Dia sangat bersyukur kerana masih ada mama dan papa yang sentiasa mendoakannya. Sentiasa ada ketika dia dalam kesedihan dan patah hati. Mamalah yang sentiasa memberi kata-kata semangat untuk dia terus bangkit kembali. Jika tidak, dia tidak mampu bertahan sehingga ke hari ini.



Tulusly,

Hezy Rose.

Monday, May 1, 2023

NILUFER [EBOOK]

 




BAB 9


SERABUT!

Itulah yang Nilufar rasa sekarang ini. Macam-macam dia fikir. Soal kerja itu satu hal. Yang paling menyerabutkan fikirannya ketika ini ialah pinangan Hazrel tempoh hari. Dia masih tidak menemui jawapan. Masih buntu dan dalam dilema sama ada mahu menerima atau tidak lamaran tersebut.

“Luf.” Teguran Datin Fatimah menyentak Nilufar dari lamunan panjang. Terus terlupa akan masalah yang melanda dirinya ketika ini.

“Ya, ada apa mama?” Nilufar berpaling memandang Datin Fatimah yang sedang berdiri di tepi sofa.

“Jauh termenung. Fikirkan apa?” soal Datin Fatimah lalu duduk di sebelah anaknya.

“Fikirkan tentang lamaran Hazrel. Serabut betullah.” Adu Nilufar pada mama tersayang.

Tersenyum Datin Fatimah dengan kata-kata anaknya itu. Dia tahu yang Nilufar memang anti dengan Hazrel. Selepas kejadian tersebut, memang dia dilarang sama sekali bertanya tentang Hazrel. Dan sekarang bekas teman lelaki anaknya muncul kembali. Dia tahu yang Hazrel masih mempunyai perasaan pada Nilufar dan sering kali Hazrel bertanya khabar tentang anaknya itu. Cuma dia tidak memberitahu perkara tersebut kepada Nilufar kerana anaknya sendiri tidak mahu ambil tahu tentang Hazrel.

Tak payah serabut. Terima saja pinangan Hazrel tu. Habis cerita.” Datin Fatimah memberi cadangan bernas dan tidak perlulah anaknya pening kepala fikirkan masalah tersebut.

“Tak ada cadangan lain ke mama? Kenapa Luf perlu terima pinangan dia? Kalau lelaki lain yang masuk meminang Luf, mungkin Luf boleh pertimbangkan.” Balas Nilufar dan dia teringin tahu apa pendapat mama tentang Hazrel. Sebelum ini dia tidak pernah bertanya pada mama akan hal tersebut kerana ketika dia dan Hazrel bercinta, mamanya tidak tahu. Mama tahu pun selepas dia putus dengan Hazrel.

“Hazrel itu lelaki yang baik. Hormat orang tua dan yang paling penting dia sayangkan Luf. Mama berkenan benar kalau dia jadi menantu mama. Manalah tahu hajat tak kesampaian mama tu jadi kenyataan kalau Luf terima lamaran dia.”

Mencebik Nilufar dengar pujian Datin Fatimah terhadap Hazrel.

Baik? Kalau baik, Hazrel tidak akan sakitkan hatinya.

“Jangan benci sangat Luf. Nanti bila rasa sayang tu datang balik, Luf juga yang malu. Masa tu nak berenggang pun tak mahu agaknya.” Usik Datin Fatimah pada hujung ayatnya.

“Mama ni. Ada pula cakap macam itu. Luf bukan bencikan dia. Cuma Luf takut dia akan sakitkan hati Luf lagi.”

Ya! Itulah yang dia risaukan sebenarnya. Takut akan disakiti oleh Hazrel sekali lagi.

“Mama yakin yang Hazrel tak akan sakitkan hati Luf lagi. Percayalah. Dia lelaki yang setia. Jika tidak pasti dia sudah mencari pengganti Luf sebelum ini. Dan percayalah cakap mama yang Hazrel masih sayangkan Luf.”

Bersungguh-sungguh Datin Fatimah cuba meyakinkan anaknya  agar menerima Hazrel. Dia tidak mahu Nilufar membuat kesilapan yang sama dalam memilih lelaki. Cukuplah kerana dia tidak sanggup melihat anaknya menderita lagi.

Entahlah, sukar untuk Nilufar percaya apa yang mamanya katakan walaupun perkara itu sangatlah betul. Buktinya sampai sekarang Hazrel masih lagi bujang dan hidup sendiri. Tidak pula dia dengar Hazrel bercinta dengan mana-mana wanita. Atau dia tidak pernah ambil tahu akan hal tersebut?

“Luf masih belum ada jawapannya mama. Luf sendiri bingung. Patutkah Luf terima dia atau tidak? Hati Luf tidak mampu memberi kata putus lagi.”

“Istikharah, Luf. Minta pada DIA. Insya-Allah, Luf akan temui jawapannya.” Tepuk Datin Fatimah pada Nilufar beberapa kali  dengan lembut. Itulah sebaiknya kerana petunjuknya ada pada Allah.

Hmmm...kenapalah Hazrel perlu masuk meminangnya sekarang? Benarkah lelaki itu mahu merawat luka di hatinya atau akan menambah luka yang sedia ada? Dan akan bahagiakah dia jika dia menerima Hazrel sebagai suami?



Tulusly,

Hezy Rose.

NILUFER [EBOOK]

 



BAB 8


SENYAP kes Nuqman, Hazrel pula tiba-tiba buat hal. Yang dia tidak pernah jangka selama ini. Ingatkan sudah putus asa Hazrel mengejarnya tetapi lain pula yang jadi. Tanpa angin, tanpa khabar, tiba-tiba Tan Sri Ahmad dan Puan Sri Malaika datang meminang. Bukan merisik tetapi meminang terus. Kata mereka buat apa merisik kerana dia memang single sekarang ini.

Naik darahnya dengan tindakan Hazrel itu!

Dia meminta masa dari mereka berdua. Tidak terus menerima pinangan itu. Ingin berbincang dengan Hazrel terlebih dahulu. Juga meminta lelaki itu menarik kembali pinangan yang dia rasakan sangat mengarut ketika ini.

Sekarang ini dia sedang menanti Hazrel di kafe mama. Berjanji nak jumpa dengannya pukul 3.30 petang tetapi sekarang masih tidak nampak batang hidung lelaki itu. Betullah yang Hazrel memang tidak berubah. Malam makan malam bersama dengannya tempoh hari saja Hazrel tepati waktu. Kena ugut dulu baru reti tepati masa agaknya.

“Jangan mengeluh. Tak baik.”

Suara yang berbisik betul-betul di tepi telinganya membuat bola roma dia menegak. Dia berpaling ke sisi. Terkejut dengan keadaan kami yang sangat rapat. Hanya tinggal seinci jarak muka kami. Dengan pantas dia menjauh.

Nilufar pandang kiri kanan. Manalah tahu mama tengok adegan tersebut. Mati dia nanti!

“Baru nak tunjuk muka. Lima minit you lambat, Hazrel!” marah Nilufar sambil mata mengekori langkah Hazrel yang beralih bertentangan dengan tempat duduknya.

“Maaf. Tadi I ada mesyuarat di Shah Alam. Tak bermaksud untuk buat you tunggu lama. Kira halal la lima minit tu.” Ujar Hazrel sambil menarik kerusi di hadapan dan melabuhkan duduknya di situ. Dia tidak sempat hendak memaklumkan pada Nilufar akan kelewatannya memandangkan dia singgah solat Asar dan terus ke sini.

Tidak pula Hazrel beritahunya semalam yang lelaki itu ada mesyuarat di Shah Alam hari ini. Kalau dia tahu, dia batalkan saja temu janji hari ini. Jadi, tidak perlulah Hazrel bergegas ke sini. Kesian pula dia tengok wajah kepenatan itu.

“Nevermind. So, you nak minum apa? Makan?” Nilufar bertolak ansur dengan Hazrel. Dia faham kerana dia pun pernah berada dalam situasi Hazrel.

“I nak Americano ais dan red velvet cheesecake.” Jawab Hazrel tanpa menolak pelawaan Nilufar memandangkan dia lapar ketika ini walaupun sudah makan tengah hari tadi.

“Sekejap. I pergi ambil.” Nilufar bangun meninggalkan Hazrel di situ. Tiba-tiba rasa kekok pula untuk bercakap dengan Hazrel soal itu. Semalam dia yang beria-ria untuk berjumpa dengan Hazrel dan hari ini seakan kehilangan kata-kata pula.

Aih! Nilufar! Apa nak jadi dengan kau ni?

Americano ais dan kek red velvet dia letakkan di atas meja. Betul-betul di depan Hazrel. Lalu dia duduk kembali di atas kerusi tadi.

“Thank you, Luf. You ke yang buat kopi ni?” soalan Hazrel buat dia ingin cekik lelaki itu. Sengaja bertanya sedangkan Hazrel tahu yang dia memang gagal kalau buat air kopi. Tak tahu kenapa, setiap kali buat kopi pasti terlalu pahit. Jika tidak pahit, terlebih manis.

“Sudah gahuru, cendana pula. Sudah tahu, tanya pula buat apa.”

Muncung Nilufar. Hazrel memang sengaja nak kenang kisah tujuh tahun lepas agaknya. Di mana Hazrel terpaksa minum air kopi yang dia buat terlalu pahit. Sebab sayang, lelaki itu rela telan. Bila dikenang kembali, terasa lucu pula.

Hazrel gelak. Teringat kisah dulu buatkan dia ingin ketawa kerana terpaksa menelan air kopi itu walaupun pahit. Kerana tidak mahu Nilufar merajuk, jadi terpaksalah dia jaga hati wanita kesayangannya itu.

Sudah lama dia tidak melihat Hazrel gelak seperti tadi. Kali terakhir, enam tahun lepas sebelum kami berpisah. Ya, sudah terlalu lama.

“Ada apa you nak jumpa I sangat ni?” soalan Hazrel mengingatkannya akan tujuan utama dia meminta Hazrel untuk ke sini. Hampir terlupa pula.

Tanpa bertangguh, dia terus bertanya soalan yang ingin ditanya sejak dari hari Tan Sri Ahmad dan Puan Sri Malaika masuk meminangnya. Tetapi memandangkan Hazrel sentiasa sibuk, dia tidak punya peluang itu.

“Kenapa you masuk meminang I?” soalnya dengan serius. Dan senyuman Hazrel buat dia ingin ketuk kepala lelaki ketika ini. Dia tidak mahu senyuman itu kerana dia risau hatinya bakal cair nanti.

“Janganlah garang sangat! Takut I.” Komen Hazrel yang sengaja hendak menyakat Nilufar yang kelihatan serius. Memang dia meminta ayah dan ibunya masuk meminang Nilufar kerana dia tidak mahu main tarik tali dan juga kehilangan Nilufar buat kali kedua. Cukuplah dia lepaskan Nilufar pada Nuqman dulu sedangkan hatinya benar-benar terluka ketika dia tahu yang Nilufar sudah berkahwin.

“I tanya soalan lain. Yang you jawab tu tak ada kaitan dengan soalan yang I tanya.” Balas Nilufar geram. Sengaja hendak menguji kesabarannya agaknya.

“Yalah. I jawab. You dengar ni baik-baik. Lepas ni I takkan ulang balik apa yang I cakap.”

Berdebar pula hatinya ketika ini dengan tutur Hazrel itu. Apa jawapan yang bakal Hazrel berikan?

Hazrel berdeham sebelum bersuara.

“I masuk meminang you kerana I masih cintakan you. Bagi I peluang untuk merawat luka-luka yang I tinggalkan dan lindungi you dari Nuqman. I nak bahagiakan you, Luf. I tak nak you menangis lagi. Dan I nak lindungi you daripada Nuqman. I tahu yang dia ada ganggu you. Jadi, tolong terima lamaran I. Biar I yang jaga you mulai sekarang.”

Luahan hati Hazrel cukup membuat Nilufar jadi patung buat seketika. Dia rasa luahan itu sangat ikhlas. Dia cuba mencari pembohongan dari mata itu tetapi lain yang dia jumpa. Pandangan mata Hazrel padanya tidak pernah berubah.

Hazrel masih cintakan dia. Setelah dia memilih untuk berkahwin dengan Nuqman dan melupakan cinta lama, masih wujud perasaan cinta terhadapnya? Dia sangka Hazrel telah melupakan dirinya memandangkan dia juga turut melukakan hati Hazrel ketika dia memilih untuk berkahwin dengan Nuqman.

Kenapa perasaan itu datang lagi selepas bertahun lamanya hilang sebaik saja dia membuat keputusan untuk melupakan Hazrel setelah lelaki itu memilih cita-citanya berbanding dirinya. Dan jantungnya berdegup kencang saat mendengar pengakuan Hazrel yang benar-benar mengejutkannya.

Dari mana Hazrel tahu yang Nuqman masih menganggunya? Tidak pernah dia ceritakan pada Hazrel tentang perkara itu. Adakah lelaki itu mengintipnya selama ini?

“Nilufar.” Panggil Hazrel setelah melihat wanita itu hanya diam tanpa membalas apa-apa. Nilufar kelihatan seperti termenung jauh.

“Nilufar.” Sekali lagi Hazrel memanggil berserta ketukan di meja.

“Errr...Ya.” Tersentak Nilufar kerana terkejut dengan bunyi yang kuat di telinganya. Dia mengelipkan mata beberapa kali dan memandang Hazrel. Lelaki itu sedang memandang wajahnya.

“You dengar tak apa yang I cakapkan tadi?”

“Dengar.” Angguk Nilufar dalam teragak-agak kerana dia tidak pasti apa yang Hazrel cakap itu dia betul atau sekadar ilusi saja.

“Jadi, you terima tak lamaran I?” soal Hazrel yang sudah tidak sabar hendak mendengar jawapan dari mulut Nilufar.

Sejak dari dia meminta ayah dan ibunya masuk meminang lagi tapi tetapi ibunya memberitahu yang Nilufar meminta masa. Sehingga hari ini dia masih memberi masa yang Nilufar minta. Dan dia berharap sangat yang Nilufar akan memberikan jawapan itu dengan segera.

 Soalan Hazrel sangat sukar untuk dijawab oleh Nilufar ketika ini. Dia tidak tahu apa yang dia rasa saat ini pada Hazrel kerana dia masih ragu-ragu dengan perasaan sendiri. Sebahagian perasaannya tidak mahu menerima Hazrel kerana takut akan disakiti lagi. Dan sebahagian lagi terasa bahagia apabila mengetahui yang Hazrel masih cintakannya.

Entah! Dia tidak punya jawapan sekarang kerana dia keliru. Tidak mahu membuat keputusan yang terburu-buru kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Luf.” Panggil Hazrel kerana dia melihat Nilufar seakan banyak termenung. Adakah dia terlalu memaksa wanita yang berada di depannya ini?

“I don’t know Haz. I don’t have answer yet for your proposal.” Jujur Nilufar memberitahu Hazrel. Ya! Dia berada dalam dilema ketika ini.

“I tak bermaksud untuk memaksa you terima I tetapi I janji dengan you yang I takkan sakiti hati you lagi. I hanya nak tengok you bahagia, Luf.”

Saat Hazrel menuturkan janji itu, dia tidak percaya kerana percayakan janji seorang lelaki, dia dilukai dan hari ini dia bergelar janda.

“Give me time, Hazrel. One week. Lepas tu, kalau jawapan I tidak sama seperti yang you harapkan, I harap you terima dengan hati yang terbuka.”

Pinta Nilufar. Dia tidak akan memberi jawapan tika hatinya sendiri tidak pasti apa yang dia rasakan ketika ini. Bukan dia ingin memberi harapan pada Hazrel tetapi dia cuba untuk memberi jawapan yang terbaik untuk lamaran tersebut. Tidak adil jika dia terus menolak lamaran Hazrel. Mungkin Hazrel patut diberikan peluang kedua?

“Terima kasih, Luf. Dan I sentiasa doa semoga jawapan you nanti berpihak pada I.”

Hazrel bersyukur kerana Nilufar tidak terus menolak pinangannya. Sekurang-kurangnya dia masih ada peluang untuk mendapatkan wanita yang dia cintai. Yang perlu dia buat sekarang ini ialah berdoa supaya hati Nilufar menjadi miliknya kembali.

“Jangan terlalu berharap, Haz. I takut you akan kecewa nanti.” Dia tidak mahu Hazrel letak harapan yang terlalu tinggi pada sesuatu yang tidak pasti. Tidak mahu lelaki itu kecewa di kemudian hari.

“Jangan risau, Luf. I yakin yang keputusan you nanti berpihak pada I.”

Hazrel yang sekarang masih sama dengan Hazrel yang dulu. Penuh dengan keyakinan. Dia suka dengan keyakinan yang dimiliki oleh Hazrel. Cuma dia tidak mahu Hazrel kecewa nanti jika keputusan yang dia berikan sebaliknya.

“Up to you, Hazrel. I cuma tak nak you terlalu yakin kerana kelak you akan kecewa.”

Pesanan itu, dia harap Hazrel ingat. Itu saja.

Semoga dia dapat membuat keputusan yang terbaik dan tidak menyakiti mana-mana pihak. Itu saja.

“Tapi dari mana you tahu Nuqman masih ganggu I? I tak pernah cerita pada you pun.” Soal Nilufar ingin tahu. Sesuatu betul apabila Hazrel tahu tentang itu.

“Daripada mama you. Dia yang cerita pada I masa I terserempak dekat majlis amal tempoh hari.”

“Apa?”

Terkejut dengan jawapan Hazrel itu. Tidak sangka pula yang mama akan beritahu Hazrel tentang perkara itu.

Aduh, sengaja mama letak dia dalam dilema. Dan patutlah mama seakan beria dan minta dia menerima lamaran Hazrel. Aduhai, mama!

“Jangan marah mama you. Dia risaukan you, Luf. Sebab itulah dia bagitahu I dan minta I jaga you, Luf.”

Tersandar Nilufar sebaik saja dengar penjelasan Hazrel. Aduh, mama. Sengaja cari masalah.

“I okey, Haz. You tak payah risau,” ujarnya kerana tidak mahu Hazrel terlalu risau. Dan dia juga tidak mahu Hazrel masuk campur tentang hidupnya. Tahulah macam mana dia hendak uruskan nanti.

“I tahu tapi you belum kenal Nuqman sepenuhnya Luf. Memang dia bekas suami you tapi you tak tahu macam mana Nuqman bila dia berkeras hendakkan you.”

Hati mula diterpa perasaan bimbang selepas mendengar kata-kata Hazrel itu. Ya, Hazrel benar. Dia belum kenal Nuqman sepenuhnya lagi memandangkan perkahwinan kami terlalu singkat untuk dia nilai perangai Nuqman sepenuhnya.

“I harap you fikir baik-baik sebelum buat keputusan. I nak jaga you dan lindungi you, Luf. Bagi I peluang untuk menjadi pelindung you. Dan ingat, cinta I pada you masih sama. Tidak pernah berubah.”

Melihat pandangan Hazrel penuh mengharap dan terlalu risau akan dirinya, hatinya mula berbolak-balik. Rasa bahagia apabila Hazrel menunjukkan yang lelaki terlalu mengambil berat akan dirinya.

“You doa banyak-banyak Haz kerana hati I, Allah yang pegang.”

Hanya jawapan itu yang Nilufar mampu berikan buat masa sekarang.

“I will, Luf.” 



Tulusly,
Hezy Rose.