BAB 10
HARI INI, Akif tiba
di pejabat lebih awal sedikit memandangkan pukul 9:30 pagi nanti, dia ada meeting
dengan Dato' Bakri. Ada beberapa dokumen yang perlu dia semak sebelum
menghadiri mesyuarat nanti.
Tetapi sejak
dari tadi lagi, Akif hanya memandang dokumen tersebut tetapi fikirannya
melayang ke lain. Hanya jasad yang berada di situ.
Akif
mengimbau kembali perbualannya dengan Insyirah tempoh hari. Insyirah
memberitahu bahawa wanita itu tidak akan berkahwin selagi tidak berjumpa dengan
mana-mana lelaki yang dapat menerima dan menganggap Safiya seperti anak
sendiri.
Jadi,
bermakna wanita itu tidak terlalu memilih dalam hal memilih calon suami. Dan mungkin
wanita itu tidak kisah akan rupa paras lelaki.
Patutkah dia
terima Insyirah seperti yang mummy dia cadangkan? Atau biarkan pintu hatinya
tertutup.
Soal Safiya,
dia memang sudah menganggap Safiya seperti anaknya sendiri dan sangat sayangkan
bayi itu tetapi apabila melibatkan soal hati dan perasaannya terhadap Insyirah,
dia bimbang dan takut jika wanita itu akan curang dengan dia nanti. Tetapi pada
masa yang sama, dia sudah selesa dengan Insyirah.
“Akif!”
Fahim menepuk meja dengan fail yang berada di tangannya agak kuat. Dari tadi
dia panggil lelaki itu tetapi tiada respons dari teman rapatnya itu.
“Ya Allah.
Terkejut aku.” Akif mengurut dadanya akibat terkejut dengan sergahan Fahim.
“Kau nak bunuh aku ke apa? Tak reti nak ketuk pintu?” Marah Akif.
“Hello
kawan. Aku ni tak naik lenguh ketuk pintu pejabat kau tu tapi kau tu mengelamun
entah ke mana.” Bebel Fahim tak puas hati. Jangan cakap dia tak ketuk pintu
pula ya.
“Aku tak
dengar pun,” ujar Akif sambil membetulkan duduknya di atas kerusi.
“Macam mana
nak dengar kalau mengelamun sampai ke planet Pluto,” rungut Fahim tidak puas
hati. “Ke kau ada rindukan sesiapa? Insyirah?” Usik Fahim. Dari tidak puas hati
berubah kepada mengusik.
“Mana
adalah.” Nafi Akif. Dia membelek dokumen di depannya untuk mengelakkan Fahim
menyoalnya lagi.
“Tak nak
mengaku pula. Mengaku sajalah yang sebenarnya kau rindukan dia.” Fahim masih
lagi dalam mood mengusiknya. Manalah tahu tiba-tiba temannya mengaku ke.
“Nak mengaku
apanya? Dah memang aku tak rindukan dia. Pintu hati aku dah tertutup untuk
terima mana-mana perempuan untuk waktu ini. Aku belum bersedia lagi untuk
berumah tangga lagi.”
Jelas Akif Althaf panjang lebar.
Jujur dia katakan, bukan dia tidak mahu tetapi pengalaman yang lepas membuatkan
dia serik untuk bercinta lagi.
“Eh! Aku tak
cakap pun pasal berumah tangga. Yang kau sebut tiba-tiba ni kenapa? Ke kau
memang ada niat nak kahwin dengan Insyirah?” semakin giat Fahim mengusik Akif.
“Errr... aku
ada sebut pasal berumah tangga ke? Kau silap dengar tu.” Cover Akif walaupun
sudah terkantoi dengan Fahim.
Fahim ketawa
mendengar alasan Akif. Masih lagi nak berdalih walaupun dan terang-terangan
teman rapatnya itu menyebut tentang berumah tangga. Aih! Akif! Akif!.
“Aku just
nak nasihatkan kau satu perkara saja, jangan hanya kerana bekas isteri kau, kau
sekat bahagia kau sendiri. Dan jangan halang cinta yang datang hanya kerana kau
serik dengan pengalaman yang lalu.”
Kali ini
Fahim berbicara dengan serius. Tidak lagi mengusik temannya itu. Malah
menasihati Akif.
“Entahlah
Fahim. Aku sendiri pun tak faham dengan perasaan aku. Cuma apa yang aku boleh
katakan, aku selesa berkawan dengan Insyirah. Dan kadang-kadang, aku rasa, aku
takut untuk kehilangan dia.”
Luah Akif.
Fahim yang berada di depannya tersenyum mendengar pengakuan dari temannya itu.
Dah jatuh
cinta tapi tak nak mengaku. Hailah, nak kata temannya tak pernah bercinta,
pernah bercinta dan berkahwin. Takkan itu pun tak faham lagi?
Akif! Akif!
Geleng kepala Fahim.
“Itu
tandanya kau dah mula sayangkan dia,” ujar Fahim.
“Tak payah
mengarut. Mana ada sayanglah. Kan aku kata, aku selesa berkawan dengan dia. Itu
saja.” Sekali lagi Akif menyangkal apa yang dikatakan oleh Fahim.
“Terserah
kepada kaulah, Kif. Tapi pada tafsiran aku, kau dah terjatuh cinta pada
Insyirah.” Fahim malas hendak berbahas dengan Akif. Sampai ke sudah lelaki itu
tidak akan mengaku sudah jatuh cinta.
“Apa kata,
kau buka pintu hati kau untuk bercinta lagi. Buka pintu hati kau untuk terima
Insyirah. Lagipun, aku ada dengar yang Puan Sri nak jodohkan kau dengan Insyirah.”
Kata-kata
yang keluar dari mulut Fahim mengejutkan Akif. “Kau tahu dari mana mummy
nak jodohkan aku dengan Insyirah?” Laju Akif menyoal. Seingatnya, dia tidak
pernah memberitahu Fahim tentang perkara itu.
“Tan Sri
yang beritahu aku. Dia cakap, kau tak setuju dengan cadangan Puan Sri. So,
dia minta aku nasihatkan kau supaya terima saja cadangan mummy kau tu,”
jelas Fahim. Semalam Tan Sri Adnan ada cerita kepadanya tentang Akif.
“What?
Sejak bila daddy gunakan kau untuk pujuk aku ni? Ke daddy ada
sogok kau dengan apa-apa?” Akif memandang Fahim dengan tajam. Habislah dia
kalau Tan Sri Adnan dah masuk campur.
“Eh! Sogok
apanya? Dia cuma minta aku nasihatkan kau sebagai teman rapat kau saja sebelum
dia nasihatkan." Sangkal Fahim. Dia tak main rasuah ya. Dia tolong dengan
ikhlas. Lagipun, dia lakukan ini untuk kebahagiaan temannya juga. Tiada maksud
di sebalik semua itu.
“Masaklah
aku bila daddy dah masuk campur.” Akif mengeluh. Tunggu sajalah nasihat dari
Tan Sri Adnan nanti.
“Bersedialah
kau nanti.” Gelak Fahim.
“Malam
nanti, kau teman aku pergi kafe Insyirah. Kita lepak di sana. Sambil-sambil
layan bola.” Cadang Akif tiba-tiba.
“Kenapa kafe
Insyirah? Kenapa bukan kedai mamak? Atau rumah aku? Ke kau memang rindukan
Insyirah ni?” Semakin galak Fahim mengusik Akif dengan senyuman di bibirnya.
“Mana ada.
Aku nak pergi jumpa Safiya. Biasanya Syirah bawa Safiya ke sana kalau hari
Rabu. Lama dah aku tak main dengan dia. Rindu.” Sangkal Akif dengan usikan
Fahim.
“Yalah tu.
Kau ingat aku nak percaya? Padahal kau rindukan mama Safiya tetapi kau gunakan
Safiya. Tak mengapa. Aku tunggu kau cakap dengan aku yang kau akan kahwin
dengan dia.” Ujar Fahim.
“Dah habis
merapu? So, kau setuju ke tak nak keluar malam ni?” Sindir Akif.
“Ya. Jadi.”
Angguk Fahim setuju. Sudah lama dia tidak melepak dengan Akif memandangkan
masing-masing sibuk dengan projek yang baru saja masuk.
“Bagus. Dah,
jom! Meeting dah nak mula ni.”
Akif bangun
dan mengambil coat yang tergantung di kerusinya. Selesai saja menyarung coat
di tubuhnya, iPhone 7plus nya di ambil dan berlalu keluar. Diikuti oleh Fahim
dari belakang.
Selesai saja
mesyuarat, Akif dipanggil ke bilik Tan Sri Adnan. Setiba di depan pintu pejabat
Tan Sri Adnan, Akif mengetuk pintu terlebih dahulu dan tidak menerjah masuk
begitu saja walaupun pemilik syarikat itu daddy dia sendiri.
“Masuk.” Suara Tan Sri Adnan kedengaran dari dalam.
Akif
melangkah masuk ke dalam pejabat daddynya itu. Tan Sri Adnan sedang
menyemak dokumen dan duduk di atas sofa di dalam pejabatnya itu. Akif
melabuhkan duduk di sofa sebelah kiri daddynya.
“Ada apa daddy
panggil Akif? Nak bincang pasal projek dengan Meers Holding ke?” Soal Akif
sebaik saja melabuhkan duduknya di situ.
“Tak. Daddy
panggil Akif sebab lain. Ada perkara yang daddy nak bincangkan.” Geleng
Tan Sri Adnan. Cermin mata ditanggalkan dan diletak di atas meja kopi. Dokumen
yang disemak tadi, dibiarkan buat seketika. Ada perkara yang perlu dia
bincangkan dengan anak lelakinya itu.
“Apa dia daddy?”
Soal Akif dengan perasaan berdebar. Perkara apa yang daddynya hendak
bincangkan selain hal kerja? Peribadi ke?
“Macam mana
dengan cadangan mummy tu? Bila Akif nak bagi keputusan?”
Soalan dari
Tan Sri Adnan, membuatkan Akif mengeluh perlahan.
Ini tak
lain, tak bukan, daddynya sudah menjadi 'utusan' mummy. Tadi
Fahim yang jadi 'utusan' daddy. Sekarang ni, daddy sendiri pula
tanya. Penat nak menjawab.
“Oh. Soal
itu. Ini mesti mummy yang minta daddy tanya Akifkan?” Akif tidak
menjawab terus soalan Tan Sri Adnan. Sebaliknya dia mengajukan soalan kembali
kepada Tan Sri Adnan.
“Ya. Memang mummy
minta daddy tanyakan Akif. Tapi daddy pun nak tahu juga apa
keputusan Akif? Setuju ke tak dengan cadangan mummy tu?” Akui Tan Sri
Adnan bahawa dia mewakili isterinya.
“Entahlah daddy.
Akif tak dapat nak bagi keputusan lagi. Sekarang ni Akif kan sedang sibuk
uruskan projek di Skudai.” Dalih Akif. Kalau boleh dia malas hendak menjawab
soalan itu kerana dia sendiri belum ada keputusan.
“Sibuk? Daddy
rasa projek di Skudai tu berjalan dengan baik. Tak ada masalah.” Ujar Tan Sri
Adnan.
Dan Akif
hanya mampu sengih dengan kata-kata daddynya itu.
“Macam
inilah, daddy sarankan Akif buat istikarah. Kalau tanya daddy, daddy
memang berkenan kalau anak kawan mummy tu jadi isteri kamu. Lagipun dia
seorang yang lemah-lembut dan tahu menghormati orang tua. Dan daddy
yakin yang dia boleh jaga Akif dengan baik dan yang pasti, setia dengan Akif.”
Nasihat Tan
Sri Adnan panjang lebar buat anak sulungnya itu.
“Daddy
pernah jumpa ke anak kawan mummy tu?” Soal Akif. Mula mengorek rahsia
dengan Tan Sri Adnan.
“Pernah.
Sekali. Daddy dan mummy pergi makan di kafe dia.” Beritahu Tan
Sri Adnan.
“Wait,
anak kawan mummy tu ada kafe?” Soal Akif agak terkejut. Tidak sangka
yang wanita itu mempunyai kafe. Selama ini
“Ya. Ada
kafe sendiri.” Tan Sri Adnan mengiakan kata-kata anaknya itu.
Hati Akif
semakin kuat mengatakan bahawa Insyirah ialah anak kepada kawan mummy
dia. Dan selama ini, ciri-ciri yang diceritakan oleh mummy dia memang
sama dengan ciri-ciri seorang Insyirah yang dia kenal. Itu berdasarkan
pemerhatian sepanjang dia berkawan dengan Insyirah.
“Apa nama
anak kawan mummy tu?” Soal Akif ingin tahu. Sebelum ini tidak terlintas
di fikirannya untuk bertanya nama wanita itu pada mummy dia.
“Ulya Insyirah.”
Jawapan dari
Tan Sri Adnan membuatkan Akif terdiam. Jadi, selama ini Insyirahlah anak kawan mummynya
itu. Kenapa selama ini dia tidak pernah bertanya apa nama anak kawan mummy
dia?
Sebab dia
tidak berminat. Ya, itu jawapannya.
Dan ternyata
tidak salah firasatnya selama ini. Memang betul Insyirahlah anak kawan mummy
dia.
“Akif kenal
ke?” Pertanyaan dari Tan Sri Adnan membuatkan Akif serba-salah ingin menjawab.
Sama ada dia kenal atau tidak.
Dan dia
memutus untuk menjawab tidak. “Tak.” Akhirnya Akif menggelengkan kepalanya.
“Dan daddy
cadang Akif kenal dengan anak kawan mummy dulu. Manalah tahu hati Akif
berkenan nak jadikan dia sebagai isteri.” Cadang Tan Sri Adnan.
“Nanti Akif
fikirkan.” Putus Akif. Tidak pula bersetuju dengan cadangan daddy dia itu.
“Baiklah. Daddy
harap, jawapan Akif positiflah.” Kata Tan Sri Adnan. Besar sangat harapannya
semoga Akif menerima wanita lain dalam hidupnya.
*****
SEPERTI yang dijanjikan, pada
malam itu, Akif keluar bersama Fahim menuju ke kafe milik Insyirah. Akif tidak
pulang ke rumah malah terus ke kafe Insyirah selesai saja solat Isyak. Begitu
juga dengan Fahim kerana masing-masing masih bujang dan tidak terikat dengan
perkahwinan. Dan juga tidak terikat dengan komitmen yang lain.
“Amboi! Bukan main gembira wajah tu aku tengok. Tak
sabar sangat dah tu nak jumpa dengan mama Safiya.” Usik Fahim. Memandang Akif
yang sedang memandu di sebelahnya. Wajah teman rapatnya itu bukan main berseri
lagi.
“Mana ada. Biasa saja aku rasa. Tak terlebih gembira
pun.” Sangkal Akif. Padahal dalam hatinya tidak sabar hendak bertemu dengan
Insyirah dan Safiya. Cuma sengaja dia menafikan usikan Fahim itu. Kalau tidak,
makin menjadi-jadi pula nanti.
“Yalah tu. Tak nak mengaku.” Fahim mencebik apabila
mendengar jawapan Akif. Dah jatuh cinta tapi tak nak mengaku. Ego.
“Dah la. Aku nak drive ni. Jangan ganggu fokus
aku. Kan tak pasal-pasal kita masuk hospital nanti.” Akif buat-buat marah.
Malas melayan usikan Fahim itu.
“Mengelat.” Komen Fahim sebelum turut diam dan melayan
lagu yang terpasang di radio.
Akif meletakkan keretanya betul-betul di pintu masuk
LS Kafe Signature memandangkan ada parking kosong di situ. Dan dia malas
hendak berjalan jauh sekiranya dia parking keretanya di seberang jalan.
Akif dan Fahim keluar dari kereta dan melangkah ke
pintu masuk kafe itu. Dan saat itu juga dia bertembung dengan Insyirah yang
kelihatan kelam-kabut sambil mendukung Safiya.
“Eh! Kenapa kelam-kabut ni? Awak nak ke mana?” Laju
saja Akif menyoal Insyirah yang baru saja keluar dari kafe itu.
“Akif? Awak buat apa di sini?” Soalan dibalas soalan.
Terkejut Insyirah apabila melihat Akif berada di depan kafenya itu. Malam pula
tu.
“Nak jumpa Safiya.” Jawab Akif sebelum bertanya lebih
lanjut ke mana Insyirah hendak pergi. “Ni, awak nak ke mana dengan Safiya?”
“Saya nak bawa Safiya ke hospital. Dia demam. Suhu
badan dia panas sangat.” Beritahu Insyirah.
“Demam?” Terkejut Akif mendengar kata-kata Insyirah
sebelum menyentuh dahi Safiya. Panas.
“Ya. Dia demam.” Insyirah menjawab pertanyaan Akif.
“Jomlah. Saya teman awak ke hospital.” Akif mempelawa
dirinya untuk menemani Insyirah.
“Tak menyusahkan awak ke?” Soal Insyirah agak
keberatan. Bukan dia tidak tahu yang Akif baru pulang dari pejabat kerana
lelaki di badan lelaki itu masih lagi tersarung kemeja lengan panjang.
“Tak. Jomlah. Nanti melarat pula demam Safiya tu,”
ujar Akif sebelum meminta kunci kereta dengan Insyirah.
“Fahim, nanti kau
ambil aku di hospital. Apa-apa aku call kau nanti.” Pesan Akif sebelum
berlalu ke kereta Insyirah yang terletak selang sebuah dari keretanya.
Fahim yang masih lagi tercengang di situ menyambut
anak kunci kereta yang diberikan oleh Akif kepadanya dan hanya menghantar
langkah Akif dan Insyirah dengan pandangan matanya. Tidak terduga dek akalnya
yang Akif akan menawarkan diri untuk menemani Insyirah ke hospital.
Terlebih caring teman rapatnya itu. Tak pasal-pasal
rancangan mereka hendak menonton perlawanan bola sepak malam ini tergendala.
Akif! Akif! Macam tu kata tak ada hati pada Insyirah?
Itu namanya risau hendak melepaskan Insyirah pergi ke hospital sendirian. Fahim
hanya tersenyum melihat langkah Akif yang sedang menuju ke kereta Insyirah.
“Terima kasih ya Akif sebab temankan saya ke hospital.
Nasib baik awak ada. Kalau tak, tak tahulah saya dan Fiya sampai ke tak di
hospital ni,” ujar Insyirah sebaik saja keluar dari bilik doktor. Nasib baik
Safiya demam biasa saja dan bukan demam panas. Lega rasanya.
“Sama-sama. Saya tolong yang termampu saja. Lain kali,
kalau awak perlukan bantuan, call saja saya. Kalau saya ada di sini,
saya akan tolong,” beritahu Akif. Dia tidak keberatan untuk menolong Insyirah
sekiranya dia tidak outstation. Lagi-lagi melibatkan hal Safiya.
“Ya. Baiklah.” Angguk Insyirah sambil tersenyum.
“Jomlah, saya hantar awak balik.” Ajak Akif.
“Errr... nanti awak nak balik dengan apa?” Soal
Insyirah. Tadi Akif datang dengan dia. Dan kereta lelaki itu masih berada di
kafenya.
“Kawan saya yang ambilkan nanti. Jangan risau.” Senyum
Akif.
“Baiklah. Saya pergi ambil ubat Fiya dulu. Awak tunggu
sekejap ya,” beritahu Insyirah. Safiya didukung oleh Akif.
“Okey.” Angguk Akif sambil menepuk Safiya yang sudah
tertidur.
Mereka berjalan beriringan menuju ke kereta. Akif
meletakkan Safiya yang sudah tertidur ke dalam car seat bayi di tempat
duduk belakang kereta milik Insyirah.
“Saya hantar awak sampai ke rumah ya. Dah lewat malam
ni. Bimbang pula nak bagi awak drive sendiri.” Beritahu Akif kepada
Insyirah.
“Eh! Saya dah biasa drive sendiri. Akif jangan
risau. Menyusahkan awak pula nanti.” Tolak Insyirah apabila hendak
menghantarnya sampai ke rumah. Dia tahu, lelaki itu mesti penat. Dan tidak
mungkin dia hendak menambah kepenatan Akif.
“Tak ada menyusahkan pun. Saya ikhlas nak tolong
Syirah ni. Dah, jom! Dah lewat ni. Syirah pun mesti dah letihkan?” ujar Akif.
“Kalau macam tu, baiklah! Lagipun saya dah mengantuk
sebenarnya.” Jujur Insyirah. Mana tidak mengantuknya kalau jarum jam sudah
menunjukkan pukul 11:55 malam. Lagi 5 minit hendak masuk pukul 12 tengah malam.
“Saya tahu. Sebab itulah saya nak hantar Syirah
balik.” Senyum Akif sebelum membuka pintu kereta untuk Insyirah. Dan selepas
itu, dia melangkah masuk ke bahagian pemandu. Kereta Honda Jazz milik Insyirah
meluncur laju membelah jalan raya.
NOTE: Maaf sebab lama tak bersiaran. I'm so busy with my life as a student and also at the same time
Ayatul Husna.
p/s: siapa-siapa yg ada wattpad, bolehlah follow cik AH di @winterlove16.

No comments:
Post a Comment
Thank You for your comment.
Love,
Hezy Rose.