Search This Blog

About Hezy Rose

A simple person | Love travel |A coffee lover | Love writing.

Full time student

Part time writer

My imagination is no limit. So, I like write a story based on my imagination because writing is my Passion.

Welcome to winterlove's Land ❄❤

Any inquires, just pm or email me, hezyroseth@gmail.com

Followers

Thursday, May 23, 2024

HURT SERIES 5 : MENGAPA ADA DUSTA

 


 

 

 

BAB 3

 

 

SEPERTI yang dijanjikan, Hafiya memandu ke Kafe Daun KL untuk bertemu dengan lelaki yang bernama Afif. Dia turun awal untuk mengelak daripada tersekat dalam kesesakan lalu lintas memandangkan hari ini merupakan hujung minggu. Nasib baik lelaki itu ingin berjumpa dengannya pada waktu pagi memandangkan petang nanti dia sudah berjanji untuk pulang ke rumah ayahnya di Bangsar.

Hafiya melangkah masuk ke dalam kafe itu dan memilih tempat yang agak tersorok. Di samping itu matanya sempat melilau melihat ke dalam kafe itu mencari wajah sang jejaka yang dia ingat-ingat lupa. Setelah memastikan orang yang dia ingin ketemu belum tiba lagi, Hafiya melabuhkan duduk di atas kerusi yang kosong.

Dia sempat memesan Caramel Macchiato Ais sementara menunggu Afif sampai. Sambil itu, Hafiya memandang sekeliling kafe itu. Biasalah, hujung minggu agak ramai tapi tidak terlalu padat. Dia suka dengan suasana kafe ini. Mungkin selepas ini boleh dia ajak Issabella untuk lepak di sini selain daripada Starbucks.

Tanpa Hafiya sedar, ada seseorang memerhatinya dari jauh. Sejak dari tadi lelaki itu mengawasi pergerakan Hafiya. Dan dia semakin yakin yang dia akan dapatkan wanita itu. Hanya sedikit masa lagi, Hafiya akan jatuh ke tangannya. Dia cuma perlu sabar.

Tepat jam 11 pagi, seperti yang dijanjikan Afif tiba di Kafe Daun KL. Dia melangkah masuk ke dalam kafe itu dan terus matanya melilau mencari Hafiya memandangkan wanita itu menghantar pesanan padanya yang Hafiya sudah berada tiba di situ. Tidak susah untuknya mengecam wajah itu kerana wajah Hafiya masih melekat dalam ingatannya.

“Hi, Assalamualaikum. I Afif.” Pantas Afif memperkenalkan dirinya sebelum Hafiya bertanya. Dia yakin yang Hafiya tidak cam wajahnya memandangkan hari ini dia hanya mengenakan baju santai saja.

“Dah lama ke you sampai?” sambung Afif lagi.

“Waalaikumussalam. Hi, I Hafiya. Tak adalah lama sangat. Dalam lima minit yang lalu dan I yang tiba awal hari ini,” ujar Hafiya. Pantas dia berdiri apabila dia disapa oleh seseorang lelaki. Matanya tidak lepas memandang wajah kacak lelaki yang bernama Afif ini.

“Cantik nama you.” Sempat Afif memuji sebelum menyambung kata-katanya. “Boleh I duduk?” soalan Afif mengembalikan Hafiya ke alam nyata.

“Errr...sila-sila.” Hafiya termalu sendiri gara-gara memandang anak teruna orang. Yang pasti wajahnya sudah bertukar warna.

“You nak minum atau makan apa-apa? I boleh tolong orderkan.” Tawar Hafiya cuba beramah mesra dengan jejaka yang duduk di hadapannya ini. Untuk menghilangkan rasa kekok antara mereka.

“Tak mengapa. I pergi order dulu. You nak makan apa?” Afif menolak tawaran Hafiya. Baginya, dia seorang lelaki dan tidak mungkin untuknya meminta Hafiya memesan makanannya. Tidak gentle.

“I nak Aglio Olio.” Beritahu Hafiya. Dia sengaja menunggu lelaki itu tiba terlebih dahulu sebelum memesan makanan tadi memandangkan masih awal dan tidak mahulah lelaki itu tiba di situ, dia sudah selesai menjamu selera.

Dalam diam Hafiya memerhatikan Afif dari jauh. Lelaki itu memiliki ketinggian yang ideal. Jika dia berdiri di sebelah Afif, mungkin tingginya hanya separas bahu lelaki itu sahaja. Nampak sangat dia pendek. Mata Hafiya mengalisa setiap tingkah laku jejaka yang memiliki paras rupa yang kacak. Hidung mancung, bibir pink tanda tidak merokok, kening lebat dan dada bidang. Tidak terlalu berisi, juga tidak terlalu kurus.

Saat Afif berpaling untuk berjalan ke meja yang dia duduki, pantas Hafiya menundukkan wajahnya dan berpura-pura melihat iPhone yang berada di tangannya. Tidak mahu Afif tahu yang dia sedang memandang betapa indahnya ciptaan Allah itu.

“I minta maaf kalau ganggu waktu cuti you,” ujar Afif selepas kembali ke meja itu. Dia duduk bertentangan dengan Hafiya. Wajah manis dan ayu itu dipandang sebelum dia mengalihkan pandangannya saat mata mereka beradu buat seketika. Ada rasa yang menyapa ke dalam hatinya.

“Eh, taklah. Kebetulan I tiada apa-apa rancangan hari ini. Kalau tak ke sini hari ini, mungkin I mereput di rumah sajalah,” balas Hafiya. Tidak mahu lelaki itu berada tidak selesa atau bersalah mengajaknya berjumpa pada hari ini.

“Jadi, apa barang you yang rosak? Kalau I boleh gantikan, I cuba ganti tapi kalau tak, I ganti dengan duit bolehkan?” soal Hafiya tanpa bertangguh. Hatinya tidak tenang selagi tidak mengetahui barang apa yang rosak gara-gara insiden tempoh hari. Manalah tahu sangat barang tersebut sangat berharga.

“Sebenarnya tiada barang yang rosak pun. I sengaja ajak you keluar untuk berkenalan dengan you lebih dekat. Manalah tahu kita boleh jadi kawan ke. Dan I harap you tak marahlah.”

Afifi memilih untuk jujur dengan Hafiya akan tujuan dia mengajak wanita itu untuk keluar hari ini. Malah sewaktu menghantar mesej tempoh hari, dia tidak menyatakan yang dia ingin berjumpa dengan Hafiya disebabkan ada barangnya yang rosak. Mungkin Hafiya salah faham.

“Oh!” Hafiya menarik nafas lega kerana apa yang dia fikirkan tidak terjadi langsung. Itulah, suka betul overthinking. Inilah jadinya. Jika difikir secara logik, tidak mungkin barangan yang ada dalam bagasi boleh rosak melainkan dihempas dari tempat tinggi atau dilempar dengan sengaja.

Lain kali jangan gelabah sangat, Hafiya!

Jika tiada Afif, sudah diketuk kepala sendiri kerana terlalu risau.

“You tak marahkan?” soal Afif apabila melihat reaksi Hafiya seakan lega tetapi pada masa yang terkejut.

“Errr...I tak marah. Kenapa pula nak marah sedangkan niat you baik. Bukannya you nak culik atau buat benda tak elok pada I kan?” balas Hafiya bersama segaris senyuman. Dia berasa sangat lega ketika ini. Jadi, untuk apa dia marah lelaki itu.

“You jangan risau. I bukan lelaki yang macam itu. You boleh percayakan I. I cuma nak berkawan dengan you saja. Alang-alang you bagi I kad bisnes you tempoh hari dan I masih simpan, jadi I contactlah you,” jelas Afif panjang lebar. Berharap Hafiya tidak salah faham dengannya.

“Baiklah. I okey saja kalau you nak berkawan dengan I. Lagipun I tak ada ramai sangat kawan lelaki. Boleh bilang berapa kerat saja.” Beritahu Hafiya yang dia menerima dengan hati yang terbuka jika lelaki itu ingin berkawan dengannya. Manalah tahu bermula dengan sebuah persahabatan dan berakhir di pelaminan.

Eh, apa pula dia merapu ni? Jauh benar dia berangan.

“Terima kasih kerana sudi terima I sebagai kawan you. Dan I suka tengok you senyum. Manis.” Sempat Afif memuji Hafiya. Matanya tidak lepas memandang wajah wanita yang tidak lekang dengan senyuman.

Sweet talker juga you ya.” Tersipu malu Hafiya apabila dipuji oleh jejaka kacak yang sedang duduk di depannya.

Afif ketawa-ketawa dengan komen Hafiya. Dia hanya menjadi sweet talker dengan orang tertentu saja. Tidak semua wanita dia puji cantik.

“So, now we are friend?” Ingin bersalam tapi haram. Jadi, Afif mengambil bunga plastik yang berada di atas meja sebagai handshake. Tanda mereka menjadi kawan.

“Yes, we are friend.” Hafiya menyentuh hujung kelopak bunga sebagai tanda mereka sudah menjadi kawan.

“Jadi lepas ni kita tengok wayang jom. Ke you tak suka tengok wayang?” ajak Afif memandangkan waktu yang ada masih panjang.

“I bukan tak sudi nak teman you tengok wayang tapi lepas Zuhur I kena balik rumah papa I. Papa I nak jumpa.” Beritahu Hafiya yang terpaksa menolak pelawaan Afif memandangkan dia sudah berjanji dengan ayahnya untuk pulang ke sana.

“Oh, tak mengapa. Mungkin kita boleh menonton wayang lain kali,” ujar Afif yang mengerti akan keadaan Hafiya. Namun agak kecewa jugalah kerana dia sudah merancang untuk menonton wayang bersama dengan Hafiya.

“Boleh. Nanti you mesej saja I. I banyak masa terluang kecuali I terpaksa outstation.”

“Yang kita terlanggar di lapangan terbang hari tu you pergi outstation la ya?” soal Afif ingin tahu. Kalau melihatkan gaya Hafiya tempoh hari bukan seperti orang pergi bercuti.

“Ya, betul. I pergi Sabah hari tu.” Angguk Hafiya. Teringatkan kejadian tempoh hari, dia terasa ingin marah pada diri sendiri kerana berjalan tidak melihat ke depan gara-gara ingin kejar kapal terbang.

Tapi pada masa yang sama dia bersyukur juga kerana insiden itu, dia dapat berkenalan dengan jejaka yang tampan ini.

Mereka terus berbual dan bercerita serba-sedikit tentang diri masing-masing sebelum Hafiya meminta diri untuk pulang memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 1 tengah hari. Tidak mahu terlambat tiba di rumah ayahnya.

 

Tuesday, August 8, 2023

HURT SERIES 5: MENGAPA ADA DUSTA?

 


BAB 2


PESANAN yang diterima daripada aplikasi whatsapp dibuka. Berkerut dahi Hafiya sebaik saja membaca mesej daripada nombor yang dia tidak kenali. Siapa pula yang menghantar mesej padanya tanpa memperkenalkan diri? Dia sudah terlalu serabut dengan kerja dan klien. Kerana malas hendak memikirkan siapakah pemilik nombor telefon tersebut, dia hanya membiarkan mesej itu tidak dibalas.

Hari ini dia terpaksa mengadap kemarahan bosnya kerana kesilapan yang dilakukan oleh rakan sekerjnya dalam menyiapkan proposal kerja. Nasib baiklah dia cekap untuk menyelesaikan semua itu.

Sekali lagi notifikasi telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan masuk melalui aplikasi whatsapp. Malas-malas Hafiya mengambil iPhonenya itu.

 

Hi, kenapa tak balas wassap I? You dah lupakan I ke? I lelaki yang you langgar di airport tempoh hari. I Afif.

 

Terbuntang mata Hafiya sebaik saja membaca pesanan itu.

Oh, my! Dia mesej aku ni sebab ada barang dia yang rosak ke?” bicara Hafiya sendirian. Dia sedang berfikir apa yang hendak dia balas sekarang ini.

“Okey, tenang Hafiya. Kau jangan gelabah sangat.” Pesannya pada diri sendiri. Tanpa membiarkan sang jejaka menunggu lama, pantas jari-jemari Hafiya menari pada skrin iPhonenya memandangkan lelaki itu masih lagi dalam talian.

 

Errr... I masih ingat. Maaf tak balas wassap you tadi. I sibuk tadi. Ada apa ya you wassap I?

Barang you ada yang rosak ke?

Kalau ada yang rosak, I akan ganti balik. You cakap jer berapa.

Insya-Allah, I akan ganti.

 

Selepas menghantar butang hantar, Hafiya rasa hendak ketuk kepalanya bagi fikirannya betul. Kenapa dia perlu balas mesej lelaki yang bernama Afif seperti itu? Buatnya lelaki itu minta ganti rugi empat ribu, mana dia nak cekau duit sebanyak itu?

Entah apa ada dalam bagasi lelaki itu tempoh hari pun dia tidak tahu. Harap-harap cuma baju sajalah.

Ting! Ting!

Notifikasi masuk lagi. Sebelum membuka aplikasi whatsapp, Hafiya menjenguk notifikasi yang terpapar di skrin terlebih dahulu. Dia menarik nafas lega kerana lelaki itu mengajaknya untuk berjumpa dan berbincang terlebih dahulu. Tanpa bertangguh, terus Hafiya bersetuju untuk berjumpa. Dia tidak mahu bertangguh.

Cepat dia selesaikan masalaha itu, dia tidak perlu berhubung dengan lelaki yang bernama Afif itu.

Setelah bersetuju untuk berjumpa di Kafe Daun KL, Hafiya meletakkan kembali telefonnya. Nasib baik sekarang ini waktu rehat. Kalau waktu kerja, memang dia membiarkan saja mesej tersebut memandangkan pengurusnya sangat pantang apabila stafnya menggunakan telefon ketika bekerja jika tiada kaitan dengan urusan pejabat.

Petang itu, Hafiya bergerak ke Village Grocer untuk membeli barang basah dan juga barang dapur yang sudah kehabisan stok. Memandangkan dia hanya tinggal sendirian, maka dia akan membeli mana yang perlu sahaja. Lagipun, hujung minggu biasanya dia akan melepak ke rumah bff forevernya iaitu Issabella.

Memang menjadi rutinnya berkunjung ke rumah Issabella jika wanita itu tidak bekerja pada hujung minggu. Jika tidak, dia mereput sendirian di rumah atau pulang ke kampung arwah ibunya di Langkawi kerana mahu lari dari kesibukan kota raya.

Nada dering Kings & Queens nyanyian Ava Max berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Dengan pantas Hafiya melihat nama pemanggil sebelum menjawab panggilan itu. Panjang umur Issabella. Baru saja dia teringat akan wanita itu.

“Ya, beb. Ada apa?” soal Hafiya sebaik saja menjawab salam Issabella.

“Kau ada di mana? Aku nak pergi rumah kau ni kejap lagi.” Beritahu Issabella di hujung talian yang baru saja tamat shiftnya. Tamat saja waktu kerjanya, terus dia mencari bff forevernya.

“Aku tak sampai rumah lagi ni beb. Ada di Village Grocery beli barang dapur yang dah habis,” beritahu Hafiya sambil tangan sibuk memilih rempah-ratus yang terletak di rak.

“Kalau macam itu aku pergi rumah kau lepas maghrib la beb. Masak sedap-sedap ya,” pesan Issabella dengan tawa kecil. Memandangkan masakan Hafiya sedap, memang dia akan meminta teman baiknya memasak untuknya.

“Yalah. Jumpa kau nanti.” Setuju Hafiya tanpa banyak soal kerana sudah masak dengan perangai teman baiknya itu. Dia menyudahkan mencari barang-barang dapur yang diperlukan sebelum membuat bayaran.

Selesai saja urusannya itu, Hafiya bergegas pulang ke rumah. Nasib baik Village Grocery tidak terlalu jauh daripada rumahnya. Tidak perlu dia mengadap jalan sesak lama-lama.

Ting tong!

Ting tong!

Dua kali loceng rumah ditekan oleh Issabella menanti Hafiya membuka pintu untuknya. Selepas solat maghrib, terus dia bertolak ke rumah teman baiknya itu bersama dengan tote beg yang berisi pakaiannya. Dia membuat keputusan untuk bermalam di rumah Hafiya memandangkan esok dia tidak bekerja. Nasib baiklah pengawal keselamatan di unit kondominium Hafiya tinggal sudah mengenalinya. Jadi, tidak perlulah temannya itu turun ke bawah untuk menjemputnya.

“Ya, sekejap!” jerit Hafiya yang bergegas keluar dari dapur. “Tak reti menyabar betul perempuan ni.” Sempat dia membebel pada Issabella yang menekan loceng berkali-kali.

“Assalamualaikum.” Dengan cerianya Issabella menghulurkan salam pada Hafiya sebaik saja wanita itu membuka pintu rumah.

“Waalaikumussalam. Masuklah kalau kau tak malu,” jemput Hafiya dengan ayat gurauan pada penghujung ayatnya.

“Memang aku tak malu pun. Jadi, aku masuklah.” Balas Issabella dan melangkah masuk ke dalam rumah Hafiya seperti gaya seorang model.

“Kau masak apa beb? Aku dah lapar ni,” soal Issabella sebaik saja melabuhkan duduk di atas sofa. Melepaskan lelah buat seketika walaupun dia naik ke tingkat atas menggunakan lif.

“Datang sini terus cari makanan. Bukan nak tanya aku sihat ke tidak,” bebel Hafiya sebagai tanda gurauan. Dia tidak kisah pun jika Issabella datang ke sini untuk makan sekalipun. Saja hendak mengenakan wanita itu kerana sudah lama Issabella tidak ke rumahnya.

“Kau masih berdiri di depan aku ni kira sihatlah. Kalau kau sakit, takkanlah kau masih boleh memasak untuk aku,” balas Issabella bersahaja. Bila berjumpa dengan Hafiya, susah untuk dia bercakap serius.

“Menyampah aku! Dahlah, jom kita pergi makan. Aku dah siap masakkan untuk kau. Dah hidang pun.”

Hafiya terus melangkah ke dapur diikuti dengan Issabella.

“Wow. Banyak kau masak. Ini yang aku suka datang rumah kau ni dan bila kau ada di rumah aku. Perut aku sentiasa kenyang,” ujar Issabella dengan nada teruja sambil mengusap perutnya yang sudah berkeroncong lapar sebaik saja melihat masakan Hafiya. Masakan Hafiya memang menjadi kegemarannya kerana masakan teman baiknya sangat sedap. Dia yang pandai memasak pun kalah.

“Tak payah nak puji lebih-lebih. Aku dah lali dengan pujian kau tu,” cebik Hafiya yang memang tidak makan dengan pujian Issabella. Telinganya sudah puas mendengar ayat pujian daripada teman baiknya itu. Tak ada maknanya hatinya akan kembang setaman dek pujian itu.

Issabella ketawa dengan kata-kata Hafiya. Ada-ada saja sahabat baiknya ini.

“Jomlah kita makan. Aku dah lapar. Nanti kita sambung gaduh kejap lagi.” Tanpa menunggu Hafiya, Issabella mula menjamah masakan teman baiknya itu. Sangat sedap!

 

 

Side Note: Saya akan update bab seterusnya apabila saya tidak sibuk. Tak janji akan update setiap hari tapi akan cuba update jika ada masa free. Sila tinggalkan komen anda untuk bab seterusnya. Terima kasih.

 

Tulusly,

Hezy Rose.